ALANGKAH INDAHNYA JIKA HKR112 ADALAH BERSIH 4.0 0 comments


PANDANGAN : 13 JANUARI 2013
ALANGKAH INDAHNYA JIKA HKR112 ADALAH BERSIH 4.0

Hampir semua aktivis sosial akur bahawa Kerajaan Barisan Nasional perlu direhatkan untuk bermuhasabah. Setelah 55 tahun merdeka, Barisan Nasional kelihatan semakin buntu untuk membawa Negara ke arah yang lebih baik. Saya kira rakyat juga faham tentang hakikat ini. Biarpun media arus perdana cuba menyembunyikan segala pekung yang berlaku dalam pemerintahan BN, namun busuknya sudah terkeluar sehingga rakyat juga boleh menghidu bahawa Malaysia sedang direndung musibah.

Namun terlalu zalim untuk saya katakan yang BN tidak akan berubah dan perlu dikuburkan. Kerana belum tentu Pakatan Rakyat sebagai future Government akan kekal sebagai kerajaan pro rakyat dan boleh jadi BN akan jadi lebih mesra rakyat selepas bergelar pembangkang. Memetik ucapan tersohor Abrham Lincoln, All man can stand the adversity, but if you want to test a man’s character, give him power.

Saya terpanggil untuk mengulas mengenai Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 yang disifatkan oleh Pakatan Rakyat sebagai sebuah himpunan yang berjaya. Sekiranya ditanya kepada saya apakah KL112 berjaya ?, saya akan menjawab, KL112 hanya separuh berjaya. KL112 berjaya menunjukkan kebangkitan rakyat yang muak dengan sandiwara pemerintah. Tetapi KL112 kurang berjaya dalam memperlihatkan future government yang benar-benar bersedia.

Peluang menghimpunkan lebih 100,000 rakyat seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan masa depan. Rakyat yang hadir sepatutnya dibekalkan dengan persediaan yang cukup untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum dan Kerajaan baru selepas PRU ke 13. Dua elemen ini saya kira sepatutnya menjadi fokus utama HKR 112.

Namun saya cukup terkilan apabila rakyat yang hadir hanya diberikan sehelai risalah Pemantau yang disediakan Bersih 2.0 dan kemudiannya dihidangkan dengan ceramah demi ceramah yang diulang-ulang faktanya. Saya sempat mengikuti ceramah HKR di Johor, Penang dan Perak. Di setiap lokasi saya sering mendengar isi kandungan ceramah yang disampaikan oleh pemimpin politik adalah statik dan berulang. Sehinggalah ke Stadium Merdeka, ceramah yang sama masih diulang-ulang. Mungkin hujahnya untuk meraikan rakyat Selangor yang tidak berkesempatan untuk menganjurkan HKR Selangor, Namun ada puluhan ribu rakyat lain yang sudah mendengar ceramah yang sama. Saya kira tidak salah untuk ceramah itu diulang-ulang, tetapi adalah lebih baik sekiranya KL112 memberi tumpuan kepada penerangan yang lebih penting iaitu peranan rakyat semasa PRU 13 melalui inisiatif yang disediakan oleh Bersih 2.0. Agak merugikan apabila wakil Bersih hanya diberi masa 5 minit untuk berucap tanpa diberikan slot khusus untuk memberi penerangan mengenai Pemantau. Walhal untuk menjayakan Pemantau, Bersih memerlukan 10,000 sukarelawan rakyat.

Selain mengundi perubahan pada PRU 13, Bersih 2.0 telah menyediakan tugas alternatif yang memperanankan rakyat sebagai agen pemantau perjalanan PRU 13.  Tugas ini amat kritikal bagi mempengaruhi keputusan PRU. Oleh kerana ruang yang ada tidak dioptimakan untuk menyampaikan mesej Bersih, maka KL112 hanya berjaya memberi mesej politik dan tidak berjaya mengoptimakan peranan rakyat untuk berhadapan dengan PRU 13. Namun saya tidak menyalahkan Pakatan Rakyat secara total, kerana paling kurang PR telah berinisiatif untuk menghimpunkan rakyat berbanding banyak NGO yang sedang larut dalam mesyuarat.

Selain memberdaya peranan rakyat untuk berhadapan dengan PRU 13, saya kira KL112 juga seharusnya digunakan oleh PR untuk mempersiapkan rakyat mengenai tugas mereka selepas PRU 13. Kerajaan yang berjiwa besar tidak akan menghabiskan masa bertemu rakyat dengan menceritakan hal-hal buruk pihak lawan. Namun lebih dinamik jika rakyat dihidangkan dengan penerangan lebih terperinci mengenai Buku Jingga dan Dokumen Negara Berkebajikan. Kerana ramai rakyat yang hadir pada KL112 adalah mereka yang tinggal diluar bandar dan kurang mendapat akses kepada maklumat terkini Pakatan Rakyat. Oleh itu alangkah baiknya jika mereka dibentangkan mengenai janji dan tindakan yang akan dibuat oleh PR selepas mentadbir Malaysia. Saya kira perkara ini lebih relevan untuk diulang-ulang berbanding kutukan dan ulangan cerita-cerita negatif terhadap pihak musuh. Lebih-lebih bagi apabila rakyat sudah maklum mengenai kerosakan yang dibuat oleh regim Barisan Nasional.

Setelah meniliti ucapan-ucapan tokoh di Stadium Merdeka semasa KL112, saya mendapati hanya ucapan Dr Jayakumar daripada Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) mengandungi elemen memperkasa peranan rakyat selepas PRU 13. Beliau mengingatkan rakyat untuk terus menjadi agen yang kritikal terhadap pemerintah biarpun putrajaya ditadbir oleh kerajaan baru.  Ucapan beliau jelas memberi impak berbeza dalam kalangan rakyat apabila mood rakyat yang sedang diisi dengan kemarahan bertukar kepada mentaliti rakyat revolusioner. Ucapan beliau juga meningatkan rakyat kepada objektif sebenar kebangkitan rakyat iaitu bukan sekadar ingin menjatuhkan UMNO dan menjulang Pakatan Rakyat, tetapi yang lebih penting perjuangan untuk memastikan aspirasi rakyat terlaksana. Saya kira ucapan pemimpin Pro-Rakyat seharusnya sentiasa memperingatkan rakyat untuk berjuang mendapatkan hak tanpa mengira siapa juga yang memerintah.

Jika Pakatan Rakyat terus mengamalkan politik meruntuh dan memburukkan, maka Pakatan Rakyat juga akan dilihat tidak bersungguh dalam memimpin rakyat untuk bermentaliti politik baru. Menghayati ucapan Martin Luther King pada Ogos 1963, beliau hadir di tengah himpunan rakyat dan menyampaikan inspirasi perubahan disamping memperingatkan rakyat untuk jangan berpuas hati selagi tuntutan rakyat tidak terlaksana. We can never be satisfied as long as our bodies, heavy with the fatigue of travel, cannot gain lodging in the motels of the highways and the hotels of the cities. We cannot be satisfied as long as the Negro's basic mobility is from a smaller ghetto to a larger one. We can never be satisfied as long as a Negro in Mississippi cannot vote and a Negro in New York believes he has nothing for which to vote. No, no, we are not satisfied, and we will not be satisfied until justice rolls down like waters and righteousness like a mighty stream.    

Biarkanlah BN atau UMNO bersama media arus perdana berjalan ke belakang dengan politik kuno mereka. Biarkanlah UMNO terus duduk dan tertinggal akibat keengganan mereka untuk berubah. Biarkanlah UMNO terus terkebelakang dengan agenda perkauman, fitnah, dan diskrimasi mereka. Pakatan Rakyat perlu hadir dengan cara politik baru yang memimpin rakyat menjauhi politik benci dan mendekati politik ilmu, politik kesatuan dan politik kasih sayang. Namun ini tidak semua tidak akan tercapai jika peluang bertemu rakyat dihabiskan dengan menceritakan kegagalan UMNO.

Saya juga merasa kurang senang dengan cara pemimpin Politik masuk ke Stadium Merdeka sehingga mengganggu fokus hadirin kepada ceramah yang disampaikan. Beberapa mesej yang cuba disampaikan oleh beberapa tokoh NGO dilihat terganggu akibat pemimpin politik yang masuk lewat ke stadium. Hal ini disebabkan rakyat ingin melihat dan bersorak terhadap pemimpin politik mereka. Sudahlah masa yang diberikan kepada NGO hanya lima minit, masa yang singkat ini pula diganggu oleh pemimpin politik yang masuk ke stadium bagaikan selebriti.

Kesimpulannya, jika ditanya kepada saya, bagaimanakah sepatutnya KL112 berlangsung? Maka saya akan jawab, Bentangkan semula janji Buku Jingga, Bekalkan rakyat dengan dokumen Buku Jingga dan Negara Berkebajikan, Bina ikrar agar rakyat sentiasa memerhatikan Kerajaan Baru dan akan berhimpun semula selepas 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat untuk mengadili janji dan manifesto Pakatan. Yang lebih penting ialah, berikan ruang yang cukup kepada BERSIH untuk memberi penerangan mengenai Pemantau Rakyat. Namun mungkin ini sukar dilakukan kerana KL112 bukan BERSIH 4.0

Sudah tiba masanya Pakatan Rakyat mengamalkan cara politik yang jauh berbeza dengan UMNO. PR sama dengan BN apabila menghimpunkan rakyat dalam Stadium, Namun PR perlu berbeza dengan BN dalam usaha menjadikan rakyat sebagai pemerintah yang paling berkuasa. Diharap, para pemimpin PR selepas ini akan lebih ghairah membentangkan konsep Malaysia Baru kepada rakyat.

Sekian.



Tulisan ini disiarkan Harakahdaily bertarikh 14/1/2014