ISA : Kisah Untuk 1 Malaysia ( siri 2) 0 comments

Mat Sah Satray, seorang tahanan ISA selama 7 tahun masih belum dibebaskan hingga ke hari ini. Beliau ditahan di rumahnya pada 17 April 2002 atas tuduhan terlibat dengan aktiviti subversif Jemaah Islamiah atau lebih dikenali sebagai JI. Seperti biasa ISA masih gagal membuktikan secara jelas keterlibatan Mat Sah dengan pergerakan JI. Namun itulah ISA, undang-undang untuk menghukum tanpa bicara. Agen pemuas nafsu mereka yang bacul, buta iman dan mandul sifat kemanusiaan.

Mungkin nada penulisan ini berbaur pesimistik yang dianggap tidak bersesuaian dengan mustawa intelek seorang mahasiswa. Namun adalah tidak dapat disembunyikan lagi betapa menggelegaknya hati apabila melihat kezaliman demi kezaliman yang berlaku tanpa ada pembelaan. Ditahan selama 7 tahun tanpa sabit kesalahan dan diperlakukan seperti binatang adalah suatu perkara yang amat memalukan bagi sebuah Negara merdeka seperti Malaysia. Adalah amat tidak bermaruah apabila Kerajaan Malaysia mengutuk kezaliman penjara Guantanamo walhal dalam masa yang sama ISA masih dibiarkan menzalimi rakyat.

Ditahan selama tujuh tahun adalah menyerupai hukuman penjara yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kepada seorang ibu yang telah membunuh anak kandungnya. Apabila telah terbukti wanita itu bersalah menurut garis panduan undang-undang , maka hakim memutuskan untuk memenjarakan ibu tersebut selama 6 tahun 10 hari. Datuk Abdul Rahim Uda selaku hakim terbabit mengakui begitu sukar untuk mensabitkan kesalahan dan memenjarakan ibu berkenaan kerana perasaan belas dan kasihannya kepada ibu tersebut yang dianggap mengalami tekanan hidup yang amat dasyat.

Oleh itu, apakah Mat Sah Satray tidak berhak memperolehi keadilan yang sama?, Setelah dipenjara 7 tahun, apakah telah terbukti sekiranya ada mangsa yang dibunuh atau dicederakan oleh Mat Sah? Bagaimana dengan keadaan Isteri dan anak Mat Sah yang dinafikan hak kekeluargaan mereka?, Apakah layak untuk manusia memainkan peranan Tuhan dengan memisahkan kasih sayang seorang ayah dengan anaknya tanpa hujah dan alasan?

Nyata sekali hukuman yang dikenakan ISA ke atas Mat Sah lebih dasyat berbanding hukuman yang dikenakan kepada ibu yang membunuh anak kandungnya sendiri. Bahkan tidak terhenti di situ, ISA turut menghukum anak dan isteri Mat Sah yang terpaksa hidup bergelimang sengsara dan perasaan yang terus dihimpit tekanan. Lebih menyedihkan apabila semua hukuman ini terpaksa dilalui oleh Mat Sah dan keluarganya tanpa sekalipun beliau disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Jika kita memiliki norma kemanusiaan yang biasa, sudah pasti kejadian ini tidak mampu diterima akal yang secara azalinya sentiasa mementingkan sebab dan punca. Namun ISA secara terang dan nyata amat bertentangan dengan norma ini. Mungkinkah ini menunjukkan bahawa ISA dan pelakunya adalah bukan manusia yang datang dari luar bumi seperti Dajal yang dijanjikan di akhir zaman. Kisah Mat Sah ini hanya sekelumit cerita duka daripada puluhan lagi kisah sengsara yang perlu kita rungkaikan.

Ingatlah mahasiswa bahawa kita adalah agen perubahan. Kita mampu mencetus ke arah pembinaan sebuah bangunan pencakar langit. Maka kita juga mampu untuk meruntuhkan mahligai kezaliman yang telah sekian lama bertapak di kemunting. Di sana ada insan teraniaya yang sedang terkurung dan dizalimi. Dia terpisah daripada Isteri tersayang dan anak tercinta. Apa yang pasti dia semestinya menunggu kehadiran kita untuk membela.

Asriabdullah
KUIS 09


ISA : KISAH DUKA UNTUK 1 MALAYSIA 0 comments

"Ayah ditahan pada pukul 4.30 pagi 14 Desember 2002 ketika kami masih nyenyak tidur,kami adik beradik hairan kepana tiba-tib ayah mengucup pipi kami dan di belakang ayah ada ramai orang yang tidak dikenali menggeledah rumah kami dan terus membawa ayah pergi entah ke mana,"
- Fatin Abdullah Mat Nor, 10 tahun. anak kepada tahanan ISA Jemaah Ismaliyah

"Ini masuk tahun ke-7 suami Akak ditahan ISA. Selama itulah akak menyara lapan orang anak dengan menjual air soya, Anak-anak akak yang kecil, hari-hari tanya bila ayah pulang. Tak sampai hati nak mendengarnya. Tak tahu lagi macam mana nak jawab”
- Halimah Ishak. 46 tahun. Isteri kepada tahanan ISA

Suatu hari dia pulang dengan agak kesedihan. Selepas makan dan solat jemaah Zuhur saya ke biliknya. Dalam berbual air matanya mengalir. Katanya, dia terkenangkan betapa setia isterinya bersusah payah datang menemuinya sewaktu dia baru 10 hari melahirkan anak lelaki. Kerana tahu suami berhajatkan anak lelaki, dia tak sabar-sabar datang membawa anak itu untuk ditunjukkan pada dia.
- Tahanan ISA.

Aina Mardhiah Shahrial, seorang gadis remaja berusia 17 tahun, telah terjatuh dan nazak secara tiba-tiba. Ayahnya Shahrial merupakan tahanan ISA selama tujuh tahun, tidak dibenarkan pulang dengan segera. Akhirnya Shahrial hanya sempat menatap wajah kaku puteri sulungnya tanpa sebarang salam perpisahan
- Tahanan ISA.

“Abah duduk berteleku di sebelah jenazah, perlahan-lahan tunduk dan mencium pipi sejuk nenek. Abah mencium pipi kiri dan kanan, itulah ciuman terakhir Abah untuk nenek. Kuperhatikan Abah agak lama melekapkan hidungnya di pipi itu. Mungkin Abah tidak pernah terfikir, penahanan ISA ke atasnya akan menyebabkan perpisahan dengan ibu kandung kesayangan hingga ke akhir nyawa”.
- Cikgu Laila. Isteri tahanan ISA

Apakah kita masih mampu untuk memejamkan mata setelah mendengar pelbagai cerita kezaliman yang menimpa saudara-saudara kita ?. Apakah kita tidak terpanggil untuk membela anak kecil yang dinafikan haknya untuk bermanja dengan ayahnya ?. Apakah kita tidak merasa bersalah dengan kehidupan yang selesa sedangkan ada ibu-ibu sekeliling kita yang hidup menderita akibat terpisah dengan suami tercinta ?.

Ayuh, mahasiswa. Kita hidupkan peranan kita sebagai suara rakyat. Kita kembalikan roh perjuangan yang telah lama hilang. Kita adalah generasi intelek yang berjiwa merdeka. Kuasa kita adalah rakyat, dan rakyat sedang memerlukan kita. Buktikan kecintaan kita pada Negara dengan membersihkan tanah air ini daripada sebarang bentuk kezaliman. Mari kita penuhkan udara Malaysia dengan gempita bantahan terhadap ISA. Sudah tiba masanya untuk kita bangkit dengan suara yang padu dan jitu. Jika kita mampu untuk berbicara lantang membela saudara seagama di tanah Palestina, mengapa kita perlu merasa ragu untuk membela saudara di tanah air sendiri.

ISA adalah isu kita. Jika tidak dimansuhkan pada hari ini, adalah tidak mustahil suatu hari nanti ISA akan turut menghukum generasi kita yang tidak bersalah.

Ayuh Mahasiswa, kita sempurnakan perubahan.

Asriabdullah
KUIS 09




Seruan Untuk GMI (siri 2) 0 comments

Perasaan begitu gembira apabila menyaksikan pergerakan politik Malaysia yang semakin membangun. Sihat ataupun tidak adalah menjadi perkara kedua, apa yang penting ialah politik kita semakin berkembang maju dengan rakyat sudah cakna mengenai kepentingan politik dan pemerintahan. Penulisan ini tidaklah terlalu obses terhadap politik sebagai jalan perubahan kerana masih terdapat banyak jalan lain untuk membina sebuah reformasi. Namun dalam kondisi Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, politik sebagai jalan terbaik untuk mendokong apa juga cita-cita seperti 1 Malaysia mahupun Membangunan bersama Islam. Oleh itu politik sentiasa dicorakkan oleh sesiapa yang memegang tampuk kekuasaan. Maka bermula Mac 2008, Malaysia dipacu ke arah satu Malaysia manakala Kelantan, Kedah, Selangor, dan Pinang terus bergerak ke arah pembentukan negeri berkebajikan.

Fahami Siapa Kita?

Biarlah UMNO dan PR membawa halatuju dan kaedah pemerintahan masing-masing, apa yang perlu kita fikirkan adalah samada mahasiswa kini masih mampu untuk mencelah dalam keghairahan pembangunan politik ini. Kerna pada perkiraan rakyat, mahasiswa kini tidak lebih daripada anak emak dan ayah yang hanya membawa cita-cita emak dan ayah untuk membina kehidupan keluarga yang sempurna. Sememangnya itu merupakan kata akar kepada peranan mahasiswa sebagai cerdik pandai yang memikul hasrat keluarga, namun apakah mahasiswa boleh membutakan mata terhadap rialiti dunia yang telah lama memberi mandat baru kepada mahasiswa. Mandat ini secara jelas meletakkan harapan besar kepada mahasiswa agar memikul bebanan sebagai agen perubahan dan pembelaan rakyat.

Tamatkan perbincangan lapuk.

Kiranya memadailah sudah untuk mahasiswa berbicara mengenai pokok tarbiah, kerana perbincangan ini tidak akan pernah sudah memandangkan kitaran mad'u yang sentiasa datang dan pergi. Mad'u yang datang di proses sehingga menjadi Mujahid Dakwah dan yang pergi perlu dipastikan kemampuannya dalam menyerap tekanan Jihad. Maka perkara itu sentiasa berputar dalam sistem Tarbiah sejak sekian lama. Hari ini mahasiswa perlu berani membuka jendela baru. Jendela yang membawa golongan intelek muda ini ke lembah pemikiran dan pengamalan yang baru. Terpulang samada ingin membina sebuah jendela baru atau bersama mengisi ruang di jendela yang telah terbuka, yang penting sudah tiba masanya untuk mahasiswa khususnya ahli GMI berpadu tenaga untuk perubahan.

Berpadu Untuk Perubahan

Apakah kita selesa melihat perubahan demi perubahan berlaku tanpa keterlibatan kita. Apakah kita sanggup menikmati kedamaian dan keselesaan sedangkan wujud kelompok lain yang sibuk berpencak bagi membentuk perubahan. Rasanya kini sudah tiba waktunya untuk kita turut berpencak biarpun terpaksa menggunakan seni silat yang agak berlainan. Apa yang penting keseluruhan ahli GMI perlu turun ke medan pertempuran dengan persediaan yang rapi dan gerakan terancang. Master Plan Siasah perlu seragam di semua peringkat agar setiap fikrah ahli menuju ke matlamat yang sama. Hari ini adalah tidak sesuai lagi dengan amalan percaturan nafsi-nafsi yang digunakan selama ini. Selagi mana sistem nafsi-nafsi ini menjadi pegangan, maka wahdah yang diimpikan kelihatan terlalu kabur. Setiap demonstrasi, bengkel, konsert, himpunan, atau sebarang tindakan luar biasa perlu berada dalam satu garis perancangan yang ada titik pemula dan memiliki sasaran penamat biarpun peratus kesudahannya terlalu kecil. Adalah tidak bijak untuk sesuatu revolusi dilakukan mengikut musim dan firasat kepimpinan semata. Namun suatu musim boleh dimanipulasi sebagai peluang tambahan untuk mengukuhkan garis perancangan.

Kita Sebagai Tangan Kanan


Kita sememangnya sedia maklum wujudnya front yang sedang bertungkus lumus memurnikan mustawa pemikiran umat yang semakin kritikal. Lalu apakah kita tidak terpanggil untuk sama-sama menghulur bantuan walhal sudah bertahun kita ditarbiah berdasarkan matlamat yang sama. PAS sebagai wasilah politik Islam paling dominan dan Gamis sebagai front mahasiswa paling berkaliber sedang rancak mengatur arah tuju gerakan dengan pelbagai misi dan sterategi. Maka GMI perlu menjadi sebuah agensi yang bergerak secara bijak dalam membantu menyemarakkan perjuangan islah yang sedia ada. Tidak semestinya GMI perlu terlibat secara lansung kerana pasak perjuangan kampus masih menjadi autoriti yang perlu diutamakan. Biarpun terpaksa menggerakkan perjuangan dalaman, ia tidak menafikan keupayaan sesebuah GMI untuk beraksi diperingkat nasioal jika percaturan dilakukan dengan kaedah yang terbaik. Sebuah Plan Tindakan perlu dihasilkan secara rampang banyak mata agar GMI tidak ketinggalan daripada arus perjuangan global disamping tidak keciciran daripada matlamat yag asal. GMI perlu bertindak sebagi organisasi yang meramaikan, menggerakkan, menghidupkan, menyorak, menyokong, melindungi, disamping menyediaakan barisan pelapis perjuangan yang mapan secara teoritikal dan konklusif dalam tindakan.





UMNO perjuangkan Islam??? Lawak Antarabangsa 2009 0 comments

Adalah tidak diketahui samada pemimpinan UMNO memahami atau tidak takrifan sebenar frasa perjuangan Islam. Amat melucukan apabila Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Tuan Hj Muhyidin Bin Hj Mohammad Yassin mengungkit segala jasa UMNO dalam menubuhkan institusi Islam sepanjang pemerintahan UMNO selama ini. Bagi beliau, penubuhan segala macam institusi Islam tersebut membuktikan UMNO sememangnya memperjuangkan Islam dalam sistem pentadbirannya. Tambah melucukan apabila Tan Sri Muhyidin turut mencabar Ketua Menteri Kelantan Y.A.B Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat untuk membuktikan PAS lebih banyak memperjuangkan Islam berbanding UMNO.

Apakah Situasi Cabaran Ini Logik ???

1. Bagi yang memahami sudah pasti melihat cabaran Timbalan Perdana Menteri itu ibarat seorang pelajar tadika yang mencabar seorang guru matematik untuk menjawab permasalahan ilmu hisab. Adalah tidak mustahil untuk pelajar tadika itu menang di dalam pertandingan tersebut. Namun kemenangan itu mungkin kerana belas kasihan seorang guru yang merasakan tidak bijak untuk berdebat dengan seorang kanak-kanak yang masih mentah dan tidak berilmu.

2. Tabung Haji, Bank Islam, Pusat Zakat, Jakim, Perkim, dan bermacam lagi institusi Islam dijadikan modal oleh Timbalan Perdana Menteri untuk membuktikan betapa UMNO memperjuangkan Islam. Segala yang telah terbina sememang diterima dan diakui oleh semua pihak, namun persoalannya sejauh manakah pembinaan itu benar-benar mendokong intipati kandungan Islam? bahkan telah terbukti betapa institusi yang telah terbina itu tidak berjaya menjadi medan implementasi Islam yang sebenar. Skandal kewangan Tabung Haji, penyelewengan wang zakat, dan bisunya institusi Islam seperti Jakim dalam menjadi juru bicara Islam memperlihatkan kepada kita masalah halatuju Islam yang membelengu UMNO.

3. Jika institusi Islam menjadi mauduk cabaran Tan Sri Muhyidin kepada Kelantan, maka tidak salah kiranya Y.A.B Tuan Guru membalas semula cabaran dengan meminta UMNO untuk membuktikan PAS lebih banyak membina pusat maksiat berbanding UMNO. Tan Sri Muhyidin perlu membuktikan pemerintahan PAS lebih banyak membuka kelab malam berbanding pemerintahan UMNO. Tan Sri Muhyidin juga perlu membuktikan pemerintahan PAS lebih banyak membuka pusat jualan arak berbanding UMNO. Selain itu Tan Sri Muhyidin juga perlu membuktikan pemerintahan PAS lebih banyak membuka pusat hiburan berbanding UMNO.

4. Tajuk cabaran ini sebenarnya perlu dibuka kepada usul yang lebih meluas seperti
- Pemerintahan Islam tanpa Rasuah, Jenayah, Dan Hedonisma :UMNO atau PAS??
- Antara UMNO dan PAS, siapa pelopor kebajikan rakyat berteraskan Islam ?
- Antara UMNO dan PAS, siapa lebih dominan sebagai organisasi Islam?
- Al Quran dan Sunnah, perjuangan UMNO atau PAS ?


5. Jika Tan Sri Muhyidin meneruskan juga cabaran kepada PAS, maka seharusnya beliau dan kerajaan Malaysia memberikan perluang kepada PAS untuk mentadbir kerajaan pusat biarpun hanya untuk sepenggal. Setelah selesai sepenggal, biarkan rakyat membuat timbang tara yang adil bagi menilai siapa pendokong Islam yang sebenar. Adalah tidak logik dan adil untuk kerajaan pusat mencabar kerajaan negeri yang sememangnya memiliki autoriti terbatas dan terhad.

6. Cabaran Tan Sri Muhyidin ini juga dilihat sebagai bukti keyakinan beliau terhadap kekolotan media Malaysia yang berjaya menyembunyikan segala unsur kebajikan dan kelebihan parti pembangkang khususnya PAS yang telah sekian lama mentadbir Kelantan. Berbanding 11 berita gembira yang diumumkan PM baru-baru ini, di sini penulis ingin mengimbau semula Bajet Kelantan 2008 yang telah diluluskan.
- Peruntukan RM 4.3 juta untuk pembinaan rumah kos rendah
- RM 15 juta untuk pembinaan perumahan awam kos rendah
- RM 1 juta untuk kebajikan Non Muslim dan Orang Asli
- RM 500,000 untuk latihan belia dan wanita
- RM 2 juta untuk golongan Armalah
- RM 2 juta untuk anak yatim

Biarpun jumlah kebajikan ini bukan 11, namun kewujudannya lebih berdiri di atas dunia yang nyata.

Seruan Untuk GMI (siri I) 0 comments

Ahli GMI perlu sentiasa peka dengan peredaran pemikiran perdana yang semakin mencabar. Zaman ini amat menitik beratkan profesionalisma dalam setiap inci pemikiran dan tindakan. Jika ditelusuri senario umat dalam dan luar negara, peperangan politik semakin menggila sehingga melampaui norma pemikiran yang biasa. Setiap isi dunia seakan-akan dikuasai ahli politik sehinggakan apa sahaja yang berlaku sentiasa dikaitkan dengan sterategi politik.

Maka persoalan yang timbul ialah, apakah kita akan membiarkan politik menguasai agama atau agama menguasai politik? Apabila dunia sudah dijajah politik, maka sudah pasti Agama perlu menakluki politik untuk menguasia dunia. Apa yang pasti ialah kita sentiasa memperjuangkan agar Islam menguasai segalanya. Namun apakah wujud simbiosis diantara kekuatan kita dengan perjuangan ini? Persoalan ini perlu dijawab oleh setiap ahli GMI yang selama ini mendokong perjuangan Iman dan Taqwa.

Apabila skop dikecilkan ke dalam negara, penglihatan harus tertumpu kepada kondisi semasa GMI yang menjadi agen utama pengislahan umat secara ilmiah. Jika dibandingkan dengan kegilaan politik dunia, Malaysia tidak kurang hebatnya. Kerakusan kuasa kerap memperlihatkan Islam terus dikesampingkan sambil minda manusia terus bertuhankan politik. Demi cita-cita politik, agama ditolak dan ditarik mengikut keperluan semasa. Parti perjuangan Islam seperti PAS pula kian kehilangan punca apabila kelam kelibut dengan krisis dalaman yang sudah pasti menjadi intaian pihak musuh yang sentiasa menunggu peluang. Akhirnya umat dulu, kini dan selamanya terus alpa dengan kehidupan mereka yang dianggap sudah memadai dan mencukupi.

Maka daripada keadaan yang meruncing ini, dapat kita fahami bahawa wujud tuntutan kritikal kepada seluruh GMI akan memperkasa peranan sebagai agen pengislahan umat. Namun apakah peranan ini mampu dipikul sedangkan GMI masih dibelengu dengan masalah asas seperti halatuju dan solidariti yang masih kabur???

Futur Oh Futur 0 comments

Kita perlu bersiap untuk melahirkan kader yang memiliki potensi pemikiran luar biasa. Luar biasa? Apakah potensi yang dibina selama ini tidak mencukupi?. Jawapannya sukar untuk diputuskan. Namun apa yang penting ialah kita perlu sedari bahawa kaedah sedia ada masih perlu diperkasakan dari segenap ruang dan aspek.


Pemikiran JIK perlu dipupuk padu dengan fikrah harakah secara meluas bagi menghasilkan persediaan yang selari antara dua alam yang berbeza iaitu alam kampus dan dunia luar. Apabila berbicara mengenai fikrah, maka persoalan ini tidak lari daripada perbincangan Tarbiah dan juga Siasah.

Sebagai pendokong perjuangan Islam, setiap daripada kita sudah memahami halatuju perjuangan dan segala macam rintangan yang bakal melintang di sepanjang laluan dakwah ini. Bezanya, jika dahulu kita hanya menekankan cubaan dalam kampus seperti akademik, hep, aspirasi dan sebagainya, kini mungkin sudah tiba masanya kader dakwah ini diperkenalkan terus kepada mehnah yang lebih mencabar. ISA, Penjara, Fitnah Liwat, Ugutan bunuh, Diekori, Fitnah Rasuah, Dipukul, Dicabul dan bermacam lagi rialiti yang menunggu kader dakwah diluar sana.

Maka apakah kaedah tarbiah kita sudah bersedia? Jika kita hanya membiarkan jundu-jundu muda ini bermain dalam gelanggang yang biasa tanpa pendedahan awal, maka tidak hairan jika ramai yang hilang akibat kejutan dakwah di medan yang sebenar.

Pandangan ini diberikan apabila melihat situasi genting perjuangan yang semakin menggamit pengorbanan tetapi dalam masa yang sama tentera untuk mengisi saff perjuangan semakin kurang. Keadaan ini bertambah runcing apabila kelahiran kader mutakhir ini gagal memenuhi pasaran dakwah yang bukan sekadar memerlukan pemikiran yang tajam tetapi juga jiwa Rabbaniah.