PEWARTAAN POCA 2013, SIMBOL KEBEBALAN KERAJAAN MALAYSIA 0 comments
PEWARTAAN POCA 2013, SIMBOL
KEBEBALAN KERAJAAN MALAYSIA
Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri
Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang disiarkan oleh media pada 31 Mac lalu,
Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasa) 2013, POCA, akan diwartakan pada hari ini, 2 April 2014.
Seperti yang dijangkakan, Kerajaan Malaysia terus bebal dan tidak mengendahkan desakan
banyak pihak agar akta ini tidak digubal.
Amat malang nasib Malaysia apabila tidak pernah
‘bercuti’ daripada akta-akta zalim yang mencabuli hak asasi manusia. Tidak
cukup dengan 60 tahun kezaliman ISA dan EO, kini Malaysia kembali dibelengu
dengan tiga akta drakonian iaitu POCA 2013 , Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah Pencegahan
Khas) DDA 1985. Selepas daripada hari ini, kita akan melihat akan ada rakyat
yang disyaki bersalah, ditangkap tanpa waran, dikurung selama 40 hari untuk
disiasat dan kemudiannya dihantar ke pusat tahanan selama dua tahun tanpa
mendapat hak pembelaan di mahkamah.
Persis seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
POCA menghukum seseorang tanpa orang tersebut dibuktikan bersalah oleh
mahkamah. Hal ini bercanggah dengan Perkara 10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi
Manusia Antarabangsa 1948.
Datuk Dr Wan Junaidi mengatakan POCA lebih adil
berbanding ISA kerana Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai kuasa untuk
mengeluarkan perintah tahanan seperti yang terkandung di dalam ISA. Dalam kenyataan sama yang disiarkan Harian
Metro bertarikh 31 Mac, Datuk Dr Junaidi memaklumkan kepada Parlimen kuasa
untuk mengeluarkan perintahan tahanan 2 tahun terletak sepenuhnya pada sebuah
Lembaga Pencegahan Jenayah yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan
nasihat Perdana Menteri.
Kerajaan dilihat cuba berselindung di sebalik nama
Yang di-Pertuan Agong kerana Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan telah
menetapkan setiap keputusan yang ingin dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong mestilah
dibuat selaras dengan nasihat Perdana Menteri.
Datuk Dr Wan Junaidi juga perlu faham pemansuhan
kuasa Menteri dalam POCA 2013 tidak akan menjamin keadilan selagi mana kuasa
untuk menetapkan hukuman tidak diserahkan kepada Mahkamah. POCA menghilangkan fungsi
mahkamah apabila kuasa mutlak diberikan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah untuk
mengeluarkan perintah tahanan 2 tahun ke atas orang yang disyaki.
Oleh itu, sebagai persediaan menghadapi sebarang
kemungkinan akibat akta zalim ini, SUARAM akan membuka sebuah talian hotline
untuk orang ramai melaporkan kes-kes yang melibatkan penggunaan POCA, SOSMA dan
DDA. Mana-mana Individu yang ditahan atau orang ramai yang mendapat maklumat
seseorang telah ditahan di bawah POCA, SOSMA atau DDA, boleh menghantar SMS nama penuh individu yang ditahan, tempat
ditahan, balai polis tempat individu tersebut di bawa, dan nombor telefon
individu tersebut ke talian hotline 011 1172 2557. SUARAM akan cuba menyediakan bantuan khidmat
nasihat guaman, konsultasi keluarga dan kempen serta advokasi terhadap
pihak-pihak bertanggungjawab.
Selain itu, sebuah Jawatankuasa akan dibentuk bagi
memimpin perjuangan menentang akta drakonian POCA, SOSMA dan DDA secara
konsisten. Jawatankuasa yang akan dibentuk pada penghujung April ini akan terdiri daripada gabungan Badan Bukan
Kerajaan, Peguam, Gerakan Mahasiswa dan Aktivis Individual.
Sekian.
Tulisan ini disiarkan Harakahdaily bertarikh 2 April 2014
Subscribe to:
Posts (Atom)