Kuala Terengganu Medan Pakatan Rakyat

Secebis Rasa Dari Seberang.

"Kalau benar pakatan rakyat kuat, maka buktikan di Kuala Terengganu". Cabaran seorang sahabat kepada penulis. Mungkin berbaur sedikit pesimis dan emosi, namun cabaran itu mengetuk kepala menulis mengenai realiti yang sebenar. Pakatan Rakyat selama ini sibuk dengan kempen pujuk memujuk untuk membentuk kerajaan secara lompat melompat. Maka Pakatan Rakyat perlu jadikan Kuala Terengganu sebagai medan untuk membuktikan kekuatan disamping mengubat maruah yang sudah tercalar akibat kempen 16 September yang menghampakan.

Rakyat memang sudah jemu dengan pemerintahan yang sedia ada tetapi Pakatan Rakyat juga perlu ingat bahawa rakyat juga sudah jemu dengan alasan yang diberikan oleh pembangkang setiap kali kalah dalam pilihanraya. Kuala Terengganu perlu dijadikan medan pembuktian bagi menjawab segala persoalan yang membelengu Pakatan Rakyat.

Dalam pilihanraya kecil ini rakyat bakal menilai kesepaduan sebenar Pakatan Rakyat yang tidak berlogo. Dalam pelihanraya kecil ini rakyat bakal menilai kemampuan sebenar Anwar sebagai ketua pembangkang yang masih dirantai mahkamah. Dalam pilihanraya kecil ini juga rakyat bakal menilai keutuhan dasar keIslaman Pas yang seakan-akan sudah sedikit tercalar akibat toleransi pilihanraya Umum yang lepas. Maka semua persoalan ini perlu dijawab dengan sebaik mungkin oleh Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu.

Secara peribadi, penulis masih merindui situasi parlimen 1999 yang sehingga kini masih menjadi tontonan umum di laman web terbuka seperti Youtube biarpun hanya Pas yang mendominasi pembangkang pada ketika itu. Ke'izahan ulama seperti Almarhum Tuan Guru Ustaz Fadhil Nor berjaya membawa Malaysia ke gerbang rasional berlandaskan Islam biarpun berhadapan dengan tokoh sekular dari parti yang bertentangan. Ditambah lagi dengan kelibat YB Husam Musa, Mohd Sabu, dan Mahfuz Omar yang lantang berhujah berdasarkan fakta menjadikan parlimen seakan-akan dikuasai pembangkang.

Biarpun jumlah penguasaan pembangkang pada hari ini adalah jauh lebih besar berbanding tahun 1999, namun ke'izahan yang dirasakan pada tahun 1999 seperti tidak berulang. Parlimen sibuk dengan material duniawi tanpa ada perbincangan yang membawa kepada peningkatan pengetahuan agama. Penulis masih teringat antara isu yang dibawakan oleh Almarhum Tuan Guru Ustaz Fadhil Nor adalah isu Teroris dan Memali yang berjaya membuatkan seluruh dewan terpaku seakan-akan sedang mendengar kuliah agama.

Maka muhasabah ini penulis berikan khusus buat Parti Islam Se-Malaysia. Mungkin boleh dijadikan Kuala Terengganu sebagai medan penggiat Islamisasi Politik Malaysia.



0 comments: