Kenangan Zaman Sekolah : Sekadar perkongsian

Introduksi :

Derap langkah perjuangan ini sentiasa dihiasi ranjau berduri. Kulit muda para pejuang ini sememangnya tidak tertahan menanggung tusukan duri yang terlalu berbisa. Namun kita sebagai jiwa yang ingin mendokong telah diasuh untuk tidak mengeluh. Qudwatunna Rasulullah merupakan insan yang memilih penderitaan dalam kehidupan baginda. Namun baginda sekadar mengadu kepedihan dan kesakitan yang dialami kepada kekasihnya yang sejati. Setiap dikalangan kita sememangnya memahami keresahan jiwa yang dialami oleh para pejuang mentah. Kita tahu disebalik senyuman dan kegembiraan yang terukir itu ada sesuatu yang tersembunyi. Penulis kerap kali melihat para sahabat yang mengesat air mata di pertiga malam secara bersendirian. Hiba memang tidak dapat disembunyikan apatah lagi disaat pengaduan kepada Rabbul 'Izzati.

Cerita Zaman Sekolah :

Ada pengalaman menarik yang ingin penulis kongsikan sewaktu bersekolah di SMK Agama Kota Kinabalu. Penulis pada ketika itu sedang menuntut dalam tingkatan lima dan terlalu hampir dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Penulis memiliki beberapa orang sahabat yang memiliki karekter yang cukup luar biasa pada perkiraan penulis sebagai pelajar yang masih mentah. Mereka merupakan pimpinan pelajar merangkap ahli Badan Dakwah Dan Rohani yang memainkan tugas utama dalam menggerakkan dakwah di sekolah.

Mereka juga bertanggungjawab dalam memastikan surau sekolah sentiasa diimarahkan dengan aktiviti ilmiah dan kerohanian. Maka sudah pasti kehidupan mereka sedikit berbeza dengan pelajar yang lain. Penulis begitu jarang melihat mereka turun ke padang pada waktu petang untuk bermain. Pada waktu kebenaran keluar ke bandar penulis tidak pernah melihat mereka bersantaian seperti pelajar yang lain. Penulis kerap kali diminta untuk membelikan barang keperluan memandangkan masa mereka yang suntuk untuk menguruskan hal berkenaan.

Berkat usaha mereka penulis bersama sahabat yang lain dapat mempelajari ilmu hadith di surau pada hari isnin. Pada hari selasa akan diadakan kuliah sirah antara magrib dan isyak. pada hari rabu akan diadakan usrah umum yang membabitkan semua pelajar. Pada hari khamis diadakan majlis bacaan Yasin dan surah Al-Kahfi. Pada malam jumaat pula para pelajar di sediakan pengisian usrah mengikut kumpulan yang telah diatur. Setiap sabtu para pelajar diarah untuk ke masjid berdekatan sekolah bagi mengikuti pengisian sirah yang diadakan di masjid berkenaan. Pada hari ahad pula penulis sebagai salah seorang naqib usrah akan menyertai liqa' persediaan naqib yang dikendalikan oleh seorang murabbi yang dijemput daripada luar. Pada waktu lain seperti cuti hari sabtu dan ahad, para pelajar disediakan dengan kelas Hubbul Quran bagi mempersiapkan diri dengan ilmu tafsir, hafazan dan qiraat.

Tidak banyak pelajar yang sedar tentang suatu perkara yang terlalu besar tetapi kerap disisih pandang. Perkara tersebut ialah pengorbanan para sahabat yang terpaksa menggadaikan naluri remaja hanya semata-mata ingin memimpin sahabat yang lain ke jalan Allah. Penulis tahu merekalah yang menguruskan segala aktiviti ini. Penulis yakin bahawa Jiwa mereka sudah pasti teringin untuk bebas seperti sahabat lain yang memiliki masa untuk membaca komik, menulis surat cinta, menonton kartun Dragon Ball, keluar ke bandar untuk bersantai, dan bermacam lagi aktiviti yang sepatutnya dilakukan oleh remaja seperti mereka. Namun mereka cukup berbeza.

Para sahabat itu tidak pernah mempamerkan keresahan di wajah mereka sewaktu bertemu dengan sahabat yang lain. Mereka sering tersenyum membuatkan orang disekeliling mereka turut merasa senang. Sememangnya penulis juga cukup terkesan dengan akhlak mereka yang menjadi idaman semua orang. Allah telah mentakdirkan penulis untuk mengetahui sesuatu yang sangat bermakna semasa ditempatkan sebilik bersama mereka. Mungkin inilah rahsia kekuatan mereka yang secara jelas mempamerkan kebenaran istilah singa di waktu siang dan 'abid di waktu malam. Dalam kesyahduan malam yang suram, penulis pernah terdengar rintihan yang terlalu mengusik jiwa. Rintihan pengubat jiwa itu lantas memberi kesedaran bahawa disekeliling kita ada jiwa-jiwa hamba yang terlalu mencintai darjat kehambaannya. Rintihan itu terlalu panjang dan berulang-ulang dan penulis hanya mampu mengingati sebahagian daripada rangkapnya. Setiap malam pada waktu yang sama penulis dapat mendengar desikan syahdu mereka yang sehabis usaha cuba menyembunyikan kehibaan yang terlalu mendalam.

"Ya Allah, Hamba ini terlalu lemah, tubuh hamba ini terlalu kerdil, dosa hamba ini menggunung, ilmu hamba ini terlalu dangkal, dan kami terlalu hina Ya Allah. Namun Ya Allah, biarkan kami untuk merasa penderitaan yang lebih. Biar kami merasa kelaparan bagaimana laparnya Nabi Muhammad. Biar kami merasa dibenci bagaimana asingnya Nabi Muhammad. Biar kami dihina bagaimana seksanya Nabi Muhammad dipulau. Kami tidak sabar untuk mengalas perut kami yang lapar dengan batu. Kami merindukan makanan yang sedikit biarpun hanya separuh tamar. Kami ingin tidur diatas batu biarpun belakang kami akan terluka. Kami mencintakan rasa sakit seperti sakitnya Rasulullah di Thaif dan Uhud. Ya Allah ambillah pengorbanan dari hamba mu ini. Akan kami kerah seluruh qudrat dalam mendaulatkan Agama Mu. Akan kami pulangkan seluruh pinjaman mu semata-mata kerana redhamu Mu. Agar Ya Allah, dapat kami rasakan bagaimana gembiranya kerehatan Rasulullah sewaktu bertemu dengan Mu. Kerehatan dari kelaparan yang dialami baginda, kerehatan dari kesakitan yang dirasakan Baginda, kerehatan dari penderitaan yang menyeksa Baginda. Ya Allah hanya engkaulah tempat kami mengadu dengan sebenar pengaduan. Jangan kau palingkan wajah mu dari kami Ya Allah. Jika engkau palingkan rahmat Mu dari kami Ya Allah, siapalah lagi yang akan mendengar pengaduan dari hamba mu ini. Ya Allah, hanya engkau tempat kami bergantung harap. Ya Rasulullah, sesungguhnya kami sangat merindui mu. Kami akan sentiasa memastikan kelopak mata ini basah kerana cinta kami kepada mu. Kami junjung kasih dan cinta mu kepada kami dan kami sahut dengan genggaman jihad yang tidak mengenal istilah henti. Moga pengorbanan kami ini akan menjadi laluan untuk kami dapat bertemu dengan mu biarpun sekadar pandangan dari jauh. Ya Rasulullah kami benar-benar merindui mu".

Rintihan itu terhenti dan kedengaran dengusan yang terlalu halus akibat tangisan yang mengalir. Penulis dari birai katil yang jauh turut merasakan seolah-olah ada sesuatu yang menekan jiwa sehingga perasaan yang kosong terasa begitu mampat.



1 comments:

  1. salam...indahnya zaman smakk tika dahulu..semoga smakk kembali gemilang..doakan kami..wslm