PERTEMUAN KUNING MALAM MERDEKA, PERINGATAN BUAT KERAJAAN MALAYSIA
PERTEMUAN
KUNING MALAM MERDEKA, PERINGATAN BUAT KERAJAAN MALAYSIA
Setiap rakyat Malaysia yang
mengimpikan sebuah Pilihanraya yang bersih dan adil semestinya menyokong penuh
penganjuran Janji Bersih yang dijadualkan akan berlangsung pada malam ambang
Merdeka ini. Pertemuan aman berbaju kuning ini merupakan satu lagi acara
solidariti rakyat Malaysia untuk menyuarakan tuntutan agar pihak kerajaan
menunaikan janji membersihkan sistem Pilihanraya. Penganjuran Janji Bersih di ambang
merdeka ini tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman kepada sambutan
kemerdekaan kerana Hari Kemerdekaan adalah milik setiap rakyat Malaysia. Oleh
itu terpulang kepada setiap rakyat Malaysia untuk menjiwai sambutan kemerdekaan
samada ingin berbaju kuning, biru, hijau mahupun merah. Apa yang penting ialah
sambutan kemerdekaan mestilah penuh etika dan tidak melanggari batas tatasusila
yang sudah sebati dengan budaya rakyat Malaysia.
Melihat kepada lemahnya komitmen
kerajaan dalam melaksanakan transformasi terhadap sistem pilihanraya, adalah
wajar untuk rakyat meneruskan desakan secara konsisten. Oleh itu pertemuan
kuning malam ambang Merdeka ini sangat bersesuaian dengan tema sambutan
kemerdekaan peringkat persekutuan iaitu Janji Ditepati. Kerajaan Malaysia tidak
seharusnya berpuas hati dengan laungan transformasi dan perlaksanaan beberapa
inisiatif seperti TR1MA dan BR1MA, sedangkan masalah pokok yang lebih penting
untuk masa depan demokrasi masih tidak diselesaikan.
Pihak Kerajaan perlu memberi
tumpuan kepada permasalahan yang lebih utama iaitu melaksanakan tuntutan
pilihanraya yang bersih dan adil. Pilihanraya merupakan hak hakiki setiap
rakyat yang perlu dijaga dan dihormati. Membiarkan pilihanraya berlangsung
dengan penuh kecelaruan merupakan pengkhianatan yang serius terhadap hak
rakyat.
Pilihanraya yang tidak bersih
seolah-olah menutup peluang rakyat untuk memilih kepimpinan Negara secara adil
setelah mereka membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan sedia ada.
Sekiranya Kerajaan benar-benar menjunjung prinsip rakyat diutamakan, Kerajaan seharusnya
jujur dalam menyediakan ruang demokrasi yang adil untuk rakyat memilih pemimpin.
Pilihanraya yang bersih dan adil juga akan menjadi satu evaluasi yang telus
untuk mengukur tahap penerimaan rakyat terhadap segala usaha yang telah
kerajaan lakukan.
Sekiranya Kerajaan Malaysia tidak
menyemarakkan usaha menyuburkan demokrasi, maka sudah pasti semangat demokrasi
dalam kalangan rakyat juga akan menjadi suram. Alexander Woollcott seorang
tokoh sejarah Amarika pernah membuat satu kenyataan yang disiarkan dalam New
York Megazine yang mengatakan demokrasi hanya akan berfungsi, sekiranya manusia
menggunakannya dengan baik. Oleh itu apabila pilihanraya dibiarkan tercemar,
maka tidak hairan sekiranya rakyat memilih jalan raya sebagai alternatif
demokrasi yang lain.
Setelah 55 tahun merdeka, adalah
tidak wajar untuk kerajaan Malaysia terus membiarkan sistem pilihanraya
berjalan dalam keadaan yang cukup meragukan. Lebih parah apabila pilihanraya
ini dibiarkan kotor dalam keadaan cabang-cabang demokrasi yang lain juga masih
tidak hormati seperti sekatan terhadap kebebasan media, limitasi terhadap hak
berhimpun dan masih ada tahanan tanpa bicara yang belum dibebaskan.
JIka Kerajaan ingin sambutan 55
tahun kemerdekaan menjadi lebih bermakna, maka Kerajaan perlu bersedia untuk
membuat perubahan besar dalam arena demokrasi Malaysia. Mengulangi cerita yang
sama pada setiap 31 Ogos hanya menimbulkan rasa bangga pada sejarah, tetapi tidak
memberi sebarang makna sekiranya Negara dibiarkan berada dalam keadaan
demokrasi lapuk.
Adalah amat dirisaukan sekiranya
kerajaan membiarkan Negara terlalu lama berada dalam keadaan demokrasi usang,
rakyat mungkin akan hilang percaya pada pilihanraya. Akhirnya rakyat terpaksa
memilih jalan-jalan demokrasi yang lain seperti mana yang digunakan oleh rakyat
mesir dalam menumbangkan regim diktator Hosni Mubarak.
Oleh itu keberadaan lapisan
rakyat berbaju kuning pada malam ambang merdeka diharap dapat mengingatkan
pihak kerajaan agar segera mengambil inisiatif untuk memulihkan keadaan
demokrasi Malaysia. Hal ini perlu dimulakan dengan melaksanakan tuntutan BERSIH
agar kepercayaan rakyat terhadap pilihanraya dapat dipulihkan.
Sekian
Tulisan ini disiarkan Harakahdaily bertarikh 14/8/2012