11 September : Ulasan Ringkas Pertembungan Barat Dan Islam

Ulasan Ringkas Pertembungan Barat Dan Islam
Pada Era Milinium.



Introduksi :

Dalam membicarakan perihal pertembungan barat dan Islam ini, kita perlu menyulusuri beberapa persoalan bagi mencari pokok pangkal masalah yang berlaku.

Antara soalan-soalan tersebut adalah seperti :

1. Siapakah sebenarnya yang bertembung ?
2. Siapakah yang memulakan pertembungan?

Setelah mendapat jawapan bagi persoalan diatas, barulah kita dapat merungkai mengapa pertembungan terus berlaku tanpa ada garis nokhtah yang menamatkan pertembungan ini.


Persoalan I. : Siapakah Yang Sebenarnya Bertembung? :


Pihak yang terlibat di dalam pertembungan ini sudah pastilah Islam. Namun pihak yang bertentangan dengan Islam ini terlalu sukar untuk kita rangkumkan kerana sterategi mereka yang begitu terancang. Adakah yang menentang Islam ini adalah golongan Yahudi Israel, atau Amerika Syarikat, atau Belanda, atau Denmark, atau Russia, atau Perancis, atau Australia atau Keseluruhan Masyarakat Barat?

Pokok pangkalnya Al Quran telah menceritakan bahawa Yahudilah yang tidak pernah senang dengan Islam. Yahudi telah berjaya menabur duri di sekitar tanah Barat sehinggakan Islam berjaya dijadikan makanan buruan. Kuasa Barat seperti Amerika Syarikat hanyalah menjadi boneka kebijaksanaan Yahudi sehinggakan masyarakat dunia tidak dapat melihat keterlibatan Yahudi di dalam pertembungan ini. Yahudi berjaya membakar semangat masyarakat kafir di barat sehingga mereka bersatu dalam menyusun sterategi bagi memerangi Islam secara bersepadu.

Apakah mesej daripada hakikat ini?

Pertembungan hari ini bukan lagi pertelingkahan ideologi ataupun kebudayaan antara Muslimin dan Barat, tetapi sudah terlalu jelas bahawa gabungan kufar dari Barat semakin menunjukkan keghairahan untuk meruntuhkan Islam secara keseluruhan. Mereka ingin melangsaikan dendam yang telah tercetus sejak berkurun yang lalu. Mereka sudah puluhan kali ditewaskan Islam dan kini mereka optimis untuk tidak tertewas lagi. Namun bagi umat Islam yang berpegang teguh dengan Al Quran, kita perlu yakin bahawa tidak semua masyarakat Barat turut serta dalam pertembungan ini. Oleh itu golongan zimmi perlu kita hormati selagi mana mereka tidak mempamerkan ciri-ciri ofensif yang nyata.




Persoalan II : Siapakah Yang Memulakan Pertembungan?:

Persoalan ini perlu diperjelaskan melalui beberapa konsep yeng berbeza bagi memudahkan pembaca menilai siapakah sebenarnya pencetus kepada pertembungan ini.

Konsep Pertama : Sejarah.

Kita sedia maklum bahawa Nabi Muhammad S.A.W mendapat tentangan hebat daripada Musyrikin Mekkah sewaktu baginda melancarkan pengislahan ditanah arab itu.
Namun kita juga sedia maklum bagaimana penerimaan harmoni masyarakat Madinah semasa menyambut kehadiran Baginda yang berhijrah keluar dari tanah kelahirannya. Di tanah Madinah inilah terhidangnya jawapan mudah mengenai pertembungan antara Yahudi dan Islam.

Walaupun lembaran sirah banyak menceritakan kebiadaban Yahudi pada tahun-tahun sebelumnya, namun penulis lebih gemar untuk menyemak coretan sejarah yang berlaku semasa kegemilangan Islam Madinah. Bagi mereka yang gemar untuk mengkaji sejarah, jawapan yang terbit dari bibir mereka sudah pasti meyakini bahawa kaum Yahudi merupakan pencetus sebenar kepada pertembungan yang berlaku. Semasa masyarakat Aus dan Khazraj hidup dalam keadaan aman, muncul kaum Yahudi yang cuba memporak perandakan keadaan dengan meniupkan bara ‘asobiyah yang sudah terpadam hasil daripada kedamaian Islam. Tindakan ini hampir menyebabkan berlakunya pergaduhan dan pembunuhan sesama saudara dalam masyarakat Madinah. Namun keadaan genting itu berjaya diperdamaikan semula oleh Rasulullah yang merupakan ketua negara Madinah pada waktu itu.

Pernah juga berlaku semasa umat Madinah hidup dalam keadaan aman dan damai, terjadi sebuah peristiwa yang menyebabkan seorang pemuda Islam terbunuh kerana mempertahankan maruah seorang muslimah. Muslimah tersebut telah dipaksa oleh segolongan pemuda Yahudi untuk membuka penutup mukanya. Akhirnya berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan kematian pemuda Islam berkenaan. Banyak lagi peristiwa yang boleh diungkap bagi menceritakan kebiadaban Yahudi terhadap umat Islam. Sifat berang golongan Yahudi terhadap Islam ini berpunca daripada kegagalan mereka menerima hakikat bahwa Rasul akhir zaman tidak diturunkan dari kalangan mereka. Dalam kitab kaum Yahudi sendiri mengakui bahawa akan ada Rasul akhir zaman yang akan menamatkan era kegelapan jahiliyah kepada cahaya keimanan. Mereka mengharapkan agar Rasul tesebut akan lahir dari keturunan mereka namun Allah telah mencaturkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bukanlah insan pilihan yang berketurunan Yahudi.

Konsep Kedua : Realiti Moden

Jika kita mengatakan Islam pencetus keganasan di zaman Moden, maka apakah wujud bukti yang jelas terhadap pertuduhan ini. Masyarakat Barat menjadikan keganasan yang dicetuskan muslimin sebagai dalil pandangan pesimis mereka terhadap Islam. Mereka menjadikan peristiwa 11 September sebagai pokok pangkal kebangkitan Barat dalam menghapuskan kekejaman Islam. Dari saat itu juga nama Osama Bin Laden telah digembar-gemburkan sebagai duta keganasan yang terus dilindungi oleh negara-negara Islam. Hasil daripada usaha bersepadu pihak Barat ini berjaya melahirkan kalimah dan istilah yang melabelkan Islam sebagai Ibu keganasan Dunia. Maka pihak Barat dengan mudah membuat kesimpulan bahawa pertembungan hari ini adalah berpunca daripada ketaksuban penganut Islam yang gemarkan keganasan

Setiap bait fitnah yang dilemparkan Barat ini sebenarnya sudah terjawab dengan tindakan mereka sendiri.

1.Jika mereka mengatakan Osama Bin Laden duta keganasan Islam dalam peristiwa 11 September, maka apakah mereka tidak menghitung jumlah nyawa yang terkorban semasa kerakusan mereka merobek tubuh Afghanistan? Apakah setimpal jumlah kematian 11 September berbanding lautan darah di bumi Afghan?

2. Jika mereka melihat tragedi pengeboman di Bali sebagai salah satu intipati kekejaman Islam, maka apakah mereka membutakan mata terhadap jutaan nyawa rakyat Iraq yang dihukum tanpa perbicaraan?. Berapa ramaikah anak-anak kecil Iraq yang telah mereka rampas ayahnya?, dan berapa ramaikah isteri-isteri di Iraq yang telah kehilangan suami akibat kezaliman tentera Amerika?.

3. Jika Barat kerap mengatakan Islam sebagai punca keganasan, kenapa mereka tidak menerjah kaum Yahudi di Palestin seperti mana yang mereka lakukan terhadap Islam?. Walhal seluruh Dunia mengakui kezaliman Zionis Yahudi yang cuba merampas bumi Al Aqsa daripada masyarakat Islam Palestin.

Barat tetap tegar untuk berlindung disebalik peristiwa 11 September yang masih samar kesahihannya. Peristiwa ini mereka jadikan sebagai alat pemati hujah umat Islam yang cuba bangkit bagi mendedahkan kebenaran yang sebenar. Oleh itu secara lansung kita dapat memahami bahawa peristiwa 11 september ini juga merupakan sebuah retorik ciptaan Barat yang ketandusan modal untuk menyerang Islam. Maka siapakah yang sebenarnya menjadi punca kepada pertembungan antara Barat dan Islam di zaman Moden ini?.
Tepuk Dada Tanyakan Iman

Penutup : Pengislahan Semula Jiwa Umat Islam

Islam tidak pernah menganjurkan keganasan dalam perlaksanaannya sebagai sebuah sistem kehidupan. Apa yang mungkin berlaku pada dewasa ini adalah gambaran negatif yang dipamerkan oleh segelintir masyarakat Islam yang mungkin kurang memahami hakikat kerahmatan yang terkandung di dalam Islam itu sendiri. Namun umat Islam perlu sedar bahawa musuh-musuh Islam sentiasa mengintai ruang dan peluang bagi merebahkan Islam sehingga lumpuh dan tidak mampu untuk bangkit semula.

Islam merupakan agama rahmat yang mengimplementasikan mahabbah dan kecintaan sesama makhluk. Islam tidak hanya memerintahkan manusia untuk menghormati sesama manusia, tetapi turut mengarahkan umatnya agar mengasihi makhluk yang lain samada haiwan mahupun tumbuhan. Istilah peperangan dalam Islam hanya wujud apabila berlaku pencabulan hak seperti mana yang telah digariskan dalam Al Quran dan As Sunnah.

Dalam surah Al Baqarah ayat 190 – 195, Allah telah mensyariatkan etika peperangan yang perlu dipatuhi oleh setiap umat Islam.

“Dan Perangilah (kerana menegakkan dan mempertahankan) Agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”

Melalui ayat diatas para Syeikhul Islam telah menetapkan bahawa terhadap
dua sebab utama yang membolehkan umat Islam untuk berperang.

I. Menentang serangan musuh bagi mengelak berlakunya fitnah sehingga Agama hanya menjadi milik Allah
II. Membela orang-orang Islam yang lemah dan dizalimi oleh golongan kufar

Umat Islam hanya dibenarkan berperang untuk sebab diatas. Allah menyeru dengan keras agar umat Islam tidak memulakan perperangan. Apabila tercetusnya perperangan, maka terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh mujahidin Islam untuk membolehkan perperangan tersebut mendapat keredhaan Allah. Syarat-syarat tersebut adalah seperti :

1. Tidak boleh mengkhianati perjanjian
2. Dilarang menggunakan senjata secara membabi buta
3. Mesti memberi layanan baik kepada tawanan perang
4. Tidak boleh bertindak untuk membalas dendam
5. Dilarang membunuh orang cacat, orang tua, wanita, biarawan, paderi serta orang gila.
6. Tidak boleh menyerang dari belakang
7. Tidak boleh memenggal atau menyiksa mayat musuh
8. Tidak boleh membunuh orang awam dan dilarang memperkosa wanita
9. Tidak boleh membakar ladang dan membunuh petani dan pedagang.
10. Menepati perjanjian damai diantara pihak musuh.
Daripada syarat-syarat diatas jelas memperlihatkan kepada kita bagaimana kasih sayang Islam yang tidak menggemari peperangan. Maka segala pertikaian mengenai Islam yang wujud sejak mutakhir ini merupakan provokasi moden para musuh yang tidak pernah senang dengan Islam. Menjadi tanggungjawab kita sebagai mujahidin muda untuk bingkas bangkit dalam landasan jihad bagi memurnikan semula persepsi masyarakat terhadap Islam. Golongan pemuda perlu sentiasa subur dengan ilmu pengetahuan agar segala khilaf kefahaman mengenai Islam dapat kita atasi secara hikmah dan berkesan.

Pertembungan antara kufar dan Islam ini bukanlah perkara baru dan tragedi ini akan terus berlaku selagi mana umat Islam tidak kembali kepada sunnah sebenar. Barat akan terus selesa dengan cara mereka apabila menyaksikan hanya Ahmadi Neejat Dan Hassan Nasrullah yang begitu tegar menentang kekejaman mereka. Umat Islam secara keseluruhannya perlu kembali berpadu dibawah khalifah yang satu untuk memastikan kegemilangan suatu masa dahulu dapat digapai semula.

Wallahu’alam.


Coretan fikrah - Asriabdullah.Blogspot.com.



Sumber rujukan :

1. Hj Abdul Hadi Awang – Fikrah, Harakah, Dan Daulah
2. Fathi Yakan – Api Kebangkitan Islam & Cabaran Abad ke 21
3. Muhammad sa’id Ramadhan Al Buti – Fiqh Al Sirah jilid 2
4. Riduan Mohamad Nor – Penghinaan Terhadap Rasulullah S.A.W
5. Kolej Alam Syah Islamiah – Ayat-ayat Ahkam
6. Kolej Alam Syah Islamiah – Hadis-hadis Ahkam.

0 comments: