FUTUR

FUTUR : Lumrah Dalam Perjuangan

Introduksi

Futur atau lemah semangat merupakan satu kejadian lumrah yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang bergelar penggerak jihad. Apabila seseorang itu telah memakai lencana jihad maka ia perlu sedar bahawa ia telah mengubah keseluruhan kehidupannya. Penggerak jihad tidak boleh selalu mengidamkan kehidupan biasa yang penuh dengan tawa riang dan tidur berulit mimpi yang selesa. Keinginan ini akan mengakibatkan lunturnya semangat untuk berjuang kerana tidak mampu untuk menongkah perubahan sebagai seorang pejuang.

Kiasan Sejarah Futur

Semasa berlakunya perang Mu’tah pada tahun ke lapan Hijrah bersamaan Ogos 629 masihi, pasukan muslimin yang dibarisi 3000 orang tentera merasa gentar untuk berhadapan dengan bilangan tentera musyrikin yang terlalu besar iaitu seramai 200,000 orang. Peperangan ini dicatatkan sebagai peperangan terbesar yang pernah berlaku semasa hayat Rasulullah.

Tentera muslimin tidak pernah menjangkakan bahawa mereka akan berhadapan dengan musuh yang terlalu ramai. Analogi berhadapan dengan 200,000 orang musuh adalah ibarat seekor tikus yang menanti masa untuk dipijak sang unta. Keadaan ini menyebabkan lahir rasa takut dalam sebahagian tentera Islam di bawah pimpinan Zaid Bin Harithah. Oleh yang sedemikian, tentera Islam mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan langkah yang perlu dilakukan bagi mengatasi delema ketakutan yang membelengu mereka. Daripada mesyuarat tersebut maka lahirlah cetusan fikiran yang antara lain mencadangkan agar tentera Islam menulis surat kepada Rasulullah untuk memohon bantuan tentera ataupun sebarang perintah lain daripada Rasulullah. Ramai yang bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan jiwa-jiwa mereka semakin menggeletar mendengar derapan kaki musuh yang bagaikan gergasi berjalan.

Semasa tentera Islam diambang keghairahan untuk berundur, maka bangkit seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abdullah Bin Rawahah lalu mengungkapkan sebuah pidato yang cukup heroik dan membungkam hati tentera muslimin. Beliau berkata

“Wahai sahabat ku, apa yang tidak kalian cari dalam di rombongan ini sepatutnya merupakan sesuatu yang kita cari iaitu mati syahid. Kita tidak berperang dengan manusia kerana jumlah. Kita tidak berperang dengan manusia kerana kekuatan, dan kita tidak berperang dengan manusia kerana kelengkapan. Kita tidak akan memerangi mereka melainkan kerana agama Islam, dan kerana agama inilah Allah memuliakan kita. Maka wahai sahabat ku ayuhlah kita berangkat, kerana disana hanya ada salah satu daripada dua kebaikan yang menanti kita iaitu kemenangan ataupun syahid”.

Semangat yang luntur kembali membara apabila mendengar ungkapan hikmah seorang sahabat yang begitu menggegar. Lantas tentera Islam yang berbekalkan impian syahid terus mara menghadapi tentera musuh di medan jihad. Di dalam peperangan tersebut antara insan yang gugur syahid untuk menemui kekasihnya adalah Abdullah Bin Rawahah.

Manifestasi Daripada Sejarah

Daripada kisah diatas kita dapat membuat beberapa kesimpulan yang boleh dijadikan panduan untuk penggerak jihad pada hari ini. Dalam peperangan Mu’tah tersebut wujud dua kriteria utama yang menggambarkan intipati sifat tentera-tentera Islam. Sifat yang pertama ialah golongan yang mengharapkan bantuan tentera daripada Rasulullah kerana gerunkan bilangan tentera musuh. Manakala sifat yang kedua pula ialah golongan yang tidak wujud dalam falsafah hidup mereka untuk berundur dan memalingkan bucu pedang daripada pihak musuh.

Dua sifat diatas turut berlaku dalam era perjuangan moden ini. Golongan pemikir Islam menyifatkan ada dua istilah baru yang boleh kita gunakan bagi dua kriteria tersebut.

CAMPERS adalah istilah untuk golongan pertama yang pada mulanya bersemangat tinggi untuk melaksanakan jihad tetapi mula merasa lelah dengan tribulasi yang menduga perjuangan mereka. Golongan ini masih mampu mengambil risiko namun kebiasaannya risiko tersebut adalah yang sangat rendah. Sekiranya dibiarkan berlarutan, golongan ini mampu hanyut dan berpaling dari halatuju jihad akibat semangat perjuangan yang pudar.
Istilah ini diistinbatkan daripada kisah sebahagian tentera Islam dalam perang Mu’tah yang mengharapkan bantuan tentera tambahan daripada Rasulullah.

CLIMBERS. Inilah istilah yang sepatutnya tercatat dalam prinsip hidup setiap penggerak Jihad. Climbers merupakan golongan yang sentiasa memiliki motivasi yang tinggi untuk istiqamah dalam perjuangan Islam. Mehnah dan ujian dianggap sebagai gula dan garam yang menerbitkan lagi rasa enak dalam perjuangan mereka. Mereka tidak hanya mampu memotivasikan diri sendiri namun turut membakar semangat jihad sahabat seperjuangan. Abdullah Bin Rawahah merupakan individu yang secara lansung menceritakan identiti Climbers yang perlu dicontohi oleh setiap perindu syahid. Kekuatan tentera musuh yang ramai tidak dianggap halangan tetapi dijadikan jambatan yang memudahkan lagi untuk beliau bertemu Allah melalui jalan syahid.

Kesimpulan

Kelemahan dalam perjuangan akan tetap berlaku dan boleh menimpa sesiapa sahaja. Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan memurnikan niat dalam pejuangan dan menjadikan Al fahmu sebagai dasar utama. Perjuangan atas dasar semangat sukar untuk diramal kemandiriannya kerana elemen ini ibarat layang-layang yang bergantung pada sokongan angin. Namun gerakan jihad yang didasarkan kepada Al fahmu akan membibit iman yang tinggi dan sukar untuk digoyah kerana pasaknya yang begitu teguh. Oleh itu marilah bersama kita memantapkan tarbiyyah didalam jiwa bagi memperkasakan jihad dalam arena perjuangan.

0 comments: