Masalah Ahli

Mendepani kondisi ahli jemaah yang tidak menentu. Apa Yang Sepatutnya Kampus Lakukan?

Kampus perlu mengkaji pergerakan asas seperti:


Satu.(Tarbiyah)

Sebelum kita merevolusi Usul 20 ajaran Al Imam Hassan Al Banna, maka perlu diteliti samada ahli sudah memahaminya atau tidak. Jangan sampai kita melakukan reformasi terhadap suatu perkara yang tidak kita fahami. Kampus perlu bijak menyesuaikan keadaan agar tidak terpengaruh dengan desakan arus perdana. Penerapan asas perlu diperkasakan melalui sudut tarbiyah agar ahli benar-benar memahami pasak pendirian perjuangan jemaah. Isu ini memang lapuk dan sering dikesampingkan, namun tragedi kebocoran tanzim dan kelemahan sterategi memerlukan muhasabah dalam bidang yang lapuk ini. Halatuju tarbiyah perlu dimurnikan semula agar tidak bermatlamatkan mana-mana pihak tetapi hanya untuk Islam.

Memetik bicara Hujjatul Islam Imam Al Ghazali dalam kitab Penawar Hati. Beliau mengingatkan bahawa manusia sering tidak menyedari bahawa hati mereka sedang memburu dunia disebalik ibadah yang dilakukan. Maka tidak hairanlah jika dipersoalkan bahawa tarbiyah pada hari ini tidak sebisa dahulu yang mampu melahirkan mujahidin yang begitu tegar dalam perjuangan. Hati pejuang muda perlu diisi dengan kefahaman yang baik melalui tarbiyah yang jelas dan berhalatuju. Dalam erti kata yang mudah, ramai pejuang kampus yang bertakbir apabila dilaungkan kalimah perjuangan, namun berapa ramai yang boleh menjawab persoalan asas seperti konsep zuhud dan ikhlas???. Isu ini ditimbulkan bukan untuk mengongkong, tetapi sekadar menampung lompang rialiti yang ada.


Dua.(Pengisian Ilmu)

Setelah hati pejuang kampus disibukkan dengan kecintaan kepada Islam, maka tidak perlu dikhuatiri tahap kejituan jihad yang akan dilahirkan. Tidak perlu diarah kerana hati pejuang muda ini akan terarah dengan sendiri untuk membela agama yang semakin terhimpit. Maka diwaktu ini semangat yang lahir perlu diisi dengan tambahan ilmu agar setiap inci perjuangan sentiasa didasari pada kehujahan yang kukuh.

Merenung kata-kata khalifah Abu Bakar As Siddiq : “Barangsiapa yang Allah inginkan baginya kebaikan, maka Allah akan fakihkan ia dalam bidang agama”.
Hal ini jelas menceritakan bagaimana ilmu mengenai agama perlu dikuasai atau setidak-tidaknya dipelajari oleh setiap pendokong perjuangan Islam.

Amanah ini perlu terlebih dahulu dipikul oleh setiap pimpinan perjuangan di kampus agar anak didik jihad dapat menimba teladan dan pengajaran. Tidak kira bagaimana peritnya sumber yang ada, setiap pimpinan perlu merangkak untuk mempersiapkan diri dengan ilmu yang diperlukan dalam pasaran jihad. Setiap amalan yang dilakukan tanpa ilmu boleh dianggap sebagai debu yang bukan sekadar mencemar alam tetapi boleh mengakibatkan mata perjuangan menjadi kabur.


Tiga. (Praktikal)

Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Istilah ini timbul apabila wujud segelintir insan yang tidak tahu untuk mengiplementasi ilmu yang telah dipelajari. Menghayati demonstrasi melalui penceritaan adalah tidak sama bagi mereka yang pernah berada dalam situasi sebenar. Pengajarannya ialah, setiap ilmu yang diberi kepada anak didik jihad perlu diasuh secara praktikal. Sebagai contohnya ilmu mengenai perdebatan, pidato, ceramah, dan berkempen perlu didedahkan dengan cara yang lebih efektif. Latihan melalui bengkel-bengkel yang sudah biasa dilakukan kurang memberi kesan akibat suasana palsu yang dicipta.

Jika kita merenung kaedah pembelajaran seorang juruterbang, setelah menguasai teori secara simulasi maka mereka terpaksa menerbangkan pasawat ke langit dengan ditemani guru yang cukup berpengalaman. Mungkin kaedah ini perlu dicuplik dan diciplak bagi membolehkan setiap penggerak kampus mengetahui cara-cara untuk mengaplikasikan setiap bait ilmu yang telah dipelajari.

Wallahu’alam.

Coretan fikrah : Asriabdullah

0 comments: