Beri Masa Untuk Pilihanraya Kampus (PRK).



Dalam satu semester, masa seseorang mahasiswa sememangnya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan samada program tersebut berbentuk akedemik mahupun bukan. Setiap jiwa mahasiswa sentiasa terisi dengan pengisian masing-masing berdasarkan matlamat dan halatuju tersendiri. Bagi yang mencintai aktiviti kemahasiswaan, maka masanya akan cuba dipenuhi dengan pelbagai bentuk aktiviti kemahasiswaan. Bagi yang memfokuskan akedemik pula, sudah pastilah pusat fotostate, perpustakaan, dan study group menjadi destinasi harian. Tidak kurang juga bilangan mahasiswa yang cenderung kepada kedua-dua aspek akedemik dan aktiviti kemahasiswaan. Apa juga kecenderungan seseorang mahasiswa itu, terdapat waktu-waktu tertentu yang memerlukan seluruh mahasiswa memberi fokus dan kecenderungan yang sama.


Kecenderungan yang pelbagai ini dilihat menjadi titik pemisah dan boleh menyebabkan sesuatu aktiviti yang dijalankan oleh pihak Universiti mahupun mana-mana persatuan lain kelihatan lesu. Mahasiswa lebih gemar memacu halatuju sendiri sehingga kurang memberi perhatian kepada keadaan dan suasana sekeliling. Dalam konteks Pilihanraya Kampus yang sedang melanda seluruh IPTA Malaysia, tumpuan seluruh mahasiswa amat diperlukan bagi memastikan salah satu daripada agenda besar Universiti ini dapat dijalankan dengan sebaik mungkin. Selain peperiksaan akhir (Final Exam),detik Pilihanraya Kampus merupakan satu keadaan yang memerlukan sokongan padu mahasiswa untuk menjamin kejayaannya.


Pilahanraya Kampus merupakan sebuah aktiviti kemahasiswaan yang diadaptasi daripada sistem politik Kenegaraan (Kepartian). Disinilah jiwa dan semangat patriotik dapat diasah dalam jiwa mahasiswa untuk tampil kehadapan dengan lagak seorang pemimpin yang berkarisma dan berkredibiliti. Calon-calon yang berjiwa besar ini cuba terjun ke lambah kepimpinan kerana merasakan diri mereka bertanggungjawab terhadap sesuatu yang perlu diubah atau dirombak. Kalah menang bukan menjadi perhitungan tetapi kesungguhan mereka untuk membela masyarakat kampus sudah layak untuk diberi pujian. Maka seluruh mahasiswa perlu memberi sokongan kepada mereka yang berjiwa besar ini agar semangat yang membara tersebut akan terus mencipta revolusi yang akan membawa faedah kepada semua pihak.


Mahasiswa perlu memberi sokongan yang padu sepanjang proses pilhanraya kampus ini dijalankan. Persepsi negatif yang pernah telintas difikiran tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kita memulaukan proses Pilihanraya Kampus ini. Kita pernah melakukan penilaian dan kesimpulan terhadap kepimpinan pelajar yang lepas. Maka atas dasar inilah kita perlu memberi sokongan penuh terhadap calon-calon pemimpin yang bertanding agar penilaian yang lepas dapat kita ubah menjadi sesuatu yang lebih baik dan cemerlang. Sekiranya kepimpinan yang lepas dikatakan kurang mesra masyarakat, maka pilihanraya kali ini undilah pemimpin yang mesra kepada semua. Jika pemimpin yang lepas disimpulkan sebagai kurang berani berhadapan dengan pentadbiran, maka kali ini undilah pemimpin yang memiliki karisma yang lebih berkualiti.


Sesungguhnya undi kita merupakan sumbangan dalam mencatur masa hadapan kampus ini. Apakah kita ingin membiarkan generasi akan datang mewarisi kedhaifan yang kita rasakan pada hari ini?.


Ayuh mahasiswa, berikan sedikit masa anda untuk Pilihanraya kampus.


0 comments: