Sekadar perkongsian Usrah

KEPIMPINAN MELALUI PERSEPSI AD-DEEN (Siri I)

Pengertian :

Kepimpinan dalam Islam merupakan usaha menyeru manusia kepada kebaikan dan melarang manusia daripada keburukan.Manakala pemimpin pula merupakan seorang ahli dalam kumpulan yang diharap dapat menggunakan pengaruh untuk melaksana dan mencapai matlamat kumpulan.Pemimpin yang amanah ialah seorang yang mampu memimpin kedudukan dan bukan seseorang yang menggunakan kedudukan untuk memimpin.

Ciri-ciri kepimpinan Islam :

1) Setia (Wala) -
Pemimpin dan pengikut terikat dengan wala terhadap Allah S.W.T.

2) Matlamat Islam yang menyeluruh(global)-
Pemimpin melihat matlamat organisasi bukan saja berdasarkan kehendak kumpulan
tetapi dalam skop objektif Islam yang luas.

3) Mengikut Syariah dan Akhlak Islamiah. -
Pemimpin sentiasa terikat dengan peraturan-peraturan Islam dan boleh terus
memegang amanah kepimpinan selagi mana boleh mengikut perintah syariah.
Semasa mengendalikan tugas dan tanggungjawab, dia mestilah mengikut
adab-adab Islam terutamanya semasa berhadapan dengan musuh.

4) Memberi Thiqah. -
Pemimpin menerima kuasa sebagai amanah daripada Allah yang disertai
tanggungjawab yang besar. Para pemimpin disuruh oleh Allah S.W.T. supaya
melaksanakan tanggungjawabnya terhadap Allah S.W.T. dan menunjukkan kebaikan
kepada para pengikutnya. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: Ertinya:
“Orang-orang yang Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya
mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang
ma’aruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar, dan kepada Allahlah
kembali segala urusan.” (Surah al-Maidah : 8)

PRINSIP ASAS KEPIMPINAN ISLAM :

1. Konsep Syura : Ia merupakan prinsip pertama dalam kepimpinan Islam. Para pemimpin Islam wajib melaksanakan syura dengan orang yang dapat memberikan pandangan yang baik. Ertinya: “Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah as-Syura: 38)

2. Konsep Adil : Pemimpin hendaklah berlaku adil dalam menjalankan tugasnya tanpa melihat kepada bangsa, warna kulit ataupun agama. Sifat-sifat buruk seperti dendam, hasad dan sebagainya bukan menjadi sifat pemimpin Islam. Walaupun terhadap orang yang dibencinya namun tidak menghalangnya melakukan keadilan dan memberi hak yang saksama terhadap orang yang dipimpinnya. Allah telah berfirman: Ertinya: “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maidah : 8)

3 Konsep Bebas Beri Pandangan : Pemimpin Islam mestilah menyediakan ruang yang membolehkan orang yang dipimpinnya bebas memberi pandangan dan idea yang membina. Peluang diberikan sepenuhnya kepada orang yang dipimpin menyampaikan pandangan secara bebas dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan. Kedudukan sebagai seorang pemimpin bukan menjadi halangan untuk menjelaskan kebenaran. Inilah yang menjadi amalan umat pimpinan Khulafa al- Rasyidin yang sanggup menegur peminpin dengan amaran mata pedang jika pemimpin mereka melakukan kesilapan. Tegasnya, kepimpinan Islam bukanlah satu bentuk kepimpinan yang zalim. Islam mewajibkan seseorang pemimpin mesti bersikap adil, berunding dan sentiasa hormat menghormati antara pemimpin dan yang dipimpin. Seseorang pemimpin bertanggungjawab bukan sahaja kepada para pengikutnya tetapi yang lebih berat ialah tanggungjawab terhadap Allah S.W.T.

KESIMPULAN AWAL :


Kita selaku umat Islam perlu sentiasa berusaha untuk memperkasakan diri dengan sifat kepimpinan yang sebenar. Hanya kepimpinan melalui Islam dapat mencorak masyarakat sejajar dengan hasrat Al Quran Dan As Sunnah. Kepimpinan Islam yang cemerlang akan bertindak sebagai mangkin utama dalam melahirkan generasi mukmin yang berbitara. Mudah-mudahan dengan usaha ini kita akan sentiasa berada di bawah rahmat dan naungan Allah S.W.T dalam mengecapi zaman kegemilangan Islam kali kedua.

“Pimpinlah Diri Kamu, Kamu Akan Memimpin Dunia”


www.bingkisanaku.blogspot.com untuk BADAR SMK(A)Kota Kinabalu

0 comments: