Sedikit Pandangan Untuk Bola Sepak Malaysia

KITA JANGAN TERLALU BERI TEKANAN

Penulis cukup terhibur apabila dapat menyaksikan kelincahan allahyarham supermokh walaupun hanya melihat aksi tersebut di kaca komputer melalui laman web youtube. Aksi tahun 1970an itu benar-benar memukau sehingga saya merasakan tidak ada perbezaan diantara Harimau Malaya dengan pasukan antarabangsa yang lain.

Aksi sebelum kelahiran penulis itu amat menakjubkan apabila pasukan gergasi negara lain berjaya ditundukkan meskipun pasukan Harimau Malaya baru sahaja menjengah ke dunia antarabangsa. Mengalahkan Amerika Syarikat pada 1972 dalam kejohanan Olimpik, menewaskan Korea Utara pada Sukan Asia 1974, membenam pasukan Arsenal dengan dua gol berbalas kosong pada tahun 1974, dan mengikat pasukan England ‘B’ dengan jaringan satu sama pada tahun 1978 merupakan suatu sejarah yang cukup berharga untuk pasukan Bola Sepak Negara.

Apa yang lebih menarik ialah kejayaan pasukan Negara pada ketika itu terlalu berkait rapat dengan kualiti pemain yang cukup bertenaga seperti Allahyarham supermokh, R.Arumugam atau gelarannya Spiderman, dan Hasan Sani yang digelar sebagai lipas Kudung. Mereka mencorak kebolehan peribadi yang cukup tinggi sehingga membawa Malaysia ke puncak yang cukup gemilang. Pada waktu itu juga kejohanan seperti Pesta Bola Merdeka merupakan lubuk yang menjadi batu loncatan kepada pasukan Negara untuk bergelar juara.

Seperti biasa nada kekecewaan tidak dapat dielakkan apabila berbicara mengenai situasi terkini bola sepak tanah air. Sejarah yang ditonton sering kali mengundang kecaman kepada generasi penerus Harimau Malaya yang masih berjuang sehingga ke hari ini. Seluruh masyarakat seakan-akan menjadi pengadil yang menyaksikan dan menilai kekalahan demi kekalahan yang ditempa. Perkara ini seterusnya membawa segala macam komentar negatif yang menghempap pasukan kebangsaan sehingga motivasi yang diharapkan bertukar menjadi kecaman demi kecaman. Maka hal ini sudah pasti memberi tekanan maksima kepada pasukan muda Negara yang semakin buntu dalam mencari penawar kekalahan.

Apakah tekanan ini merupakan cara yang terbaik untuk dijadikan agen pembaik pulihan pasukan bola sepak Malaysia? Kita perlu menyedari bahawa pasukan Harimau Malaya telah diberikan tekanan moral sejak kemeruduman tahun 1990 an dan sehingga kini kebuntuan yang sama masih berlaku. Penulis merasakan kebuntuan yang tidak ada penyelesaian ini mungkin disebabkan tekanan melampau yang telah meruntuhkan motivasi para pemain muda Negara. Jika dahulu gelaran sebagai pemain Malaysia sudah pasti mengundang kebanggaan dalam diri para pemain, namun hari ini para pemain muda Malaysia sering mendapat kecaman akibat daripada kelemahan yang berlaku biarpun kelemahan tersebut tidak dihasilkan pada zaman mereka.

Sememangnya kita wajar mengkritik kesilapan yang berlaku, tetapi janganlah kritikan tersebut berbaur penghinaan yang boleh menjatuhkan motivasi pemain muda Negara. Masyarakat perlu mencuba cara baru setelah melihat tekanan yang diberikan selama ini hanya mengundang kepada kebuntuan yang berpanjangan. Kenapa tidak ada lagi gelaran diberikan kepada pemain muda Negara seperti mana yang diberikan kepada supermokh? Mungkin gelaran seperti inilah yang memberi motivasi kepada Allahyarham sehingga beliau terus mencatat nama dipersada antarabangsa. Masyarakat perlu memberi peluang kepada pemain muda ini untuk membuktikan sesuatu dengan memberi sokongan yang padu dan meletakkan keyakinan yang tinggi kepada mereka. Dengan cara ini akan membuatkan mereka lebih bersemangat untuk menggalang kepercayaan seluruh warga Malaysia yang tidak boleh dipersiakan.

Secara peribadi, penulis dapat melihat potensi-potensi muda yang memiliki kridibiliti yang tinggi untuk bergelar lagenda baru bola sepak Malaysia. Nama-nama seperti Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, Safee Sali dan Hardi Jaafar merupakan potensi muda yang perlu diberi peluang untuk membuktikan sesuatu. Jika Allahyarham Mokhtar Dahari menggunakan lebih daripada sepuluh tahun untuk mencipta sejarah, maka kita perlu peluang yang sama untuk generasi muda ini.

Sedikit pandangan untuk pendokong Bola Sepak Negara, penulis ingin memetik bicara seorang penganalisis yang mengatakan prestasi bola sepak Negara tidak akan berubah selagi mana bola sepak tidak dijadikan budaya dalam masyarakat. Beliau mengatakan inilah intipati yang boleh dicungkil daripada lagenda supermokh yang menjadikan bola sepak sebagai budaya hidup yang perlu diamal dan dijaga. Ini juga intipati amalan pemain antarabangsa seperti Ronaldinho yang sejak kecil menjadikan bola sepak bukan sekadar hobi tetapi sebagai budaya harian.

0 comments: