PERSISME untuk Palestin

INILAH MASANYA. WALAUPUN AGAK TERLEWAT

Mahasiswa perlu bersatu dalam menunjukkan persaudaraan sejagat yang ampuh. Mahasiswa perlu berdiri teguh bersama keberanian dan kebenaran agar hasrat yang diperjuangkan dapat dicapai. Ayuh kita nyatakan kecintaan kepada saudara kita di Palestin. Mereka sedang mengemis simpati dan doa daripada kita. Hari demi hari bedilan kejam tentera zionis merampas kebahagiaan yang menjadi hak asasi rakyat Palestin. Di dalam kekalutan ini mungkin ada sesuatu yang boleh kita lakukan sebagai bukti kecil kerbersamaan jiwa kita yang turut merasai penderitaan mereka.

Ada cerita yang mengatakan bahawa ibu-ibu di Palestin kini terpaksa merebus rumput untuk dijadikan makanan kepada anak-anak mereka. Si ibu terpaksa mencabut rumput di jalanan kerana sumber makanan yang terhad akibat disekat dan dimusnahkan oleh tentera zionis. Ibu-ibu Palestin ini terpaksa bertarung nyawa untuk berkeliaran mencari makanan setelah suami mereka menjadi mangsa kezaliman tentera Yahudi. Ramai juga ibu yang keluar mencari makanan untuk anak mereka tetapi tidak pulang kerana menjadi santapan peluru Israel. Dikhabarkan juga lebih seratus orang kanak-kanak telah menjadi mangsa kerakusan Israel dalam merobek tubuh Gaza yang hanya merupakan sebidang tanah gersang dan miskin. Ada dikalangan kanak-kanak tersebut yang hancur dek bedilan peluru pepandu pesawat Israel dan ada juga yang mati akibat kelaparan. Kenapa perlu si Ibu dan si Anak menjadi mangsa dalam perbalahan tentera ini?. Si ibu tidak menggalang senjata dan si anak kecil terpaksa menanggung derita.

Pertubuhan OIC masih dalam usaha perbincangan untuk mencari langkah terbaik dalam berhadapan dengan kegentingan di tebing Gaza tersebut. Malaysia pula sedang berkira-kira untuk meluluskan rang pemulauan barangan Israel dan Amerika Syarikat. Mungkin di sinilah kita boleh mencelah untuk memberi sedikit sumbangan sebagai bukti yang kita juga ingin berperanan dalam membela nasib saudara kita di Palestin.

Antara inesiatif yang boleh dilakukan adalah seperti:

1. Memboikot semua barangan buatan Israel dan Amerika Syarikat serta sekutu kutunya

2. Memberi sumbangan kewangan ataupun sebarang material lain kepada rakyat Palestin melalui pertubuhan Amal yang berdaftar dan diiktiraf di peringkat nasional.

3. Menyebarkan maklumat mengenai kondisi semasa rakyat Palestin kepada rakan agar semua pihak sentiasa bersimpati dan mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

4. Bagi organisasi seperti Persatuan Mahasiswa atau Badan Dakwah boleh melakukan himpunan Amal bagi menyatakan simpati kepada rakyat Palestin dan sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Malaysia yang masih berusaha untuk membantu saudara kita di Palestin.

Mungkin masih terdapat alternatif lain yang boleh kita lakukan sebagai langkah pembelaan kita terhadap nasib rakyat palestin. Apa yang dinyatakan di sini hanyalah sekadar cadangan mudah bagi memberi laluan kepada mereka yang ingin berbakti kepada masyarakat Gaza yang sedang ditindas.

Sebagai penutup, penulis agak tertarik dengan pandangan seorang sahabat dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Kota Kinabalu yang menyatakan bahawa :

"Kita mungkin merasa berat untuk memberi sumbangan kepada sahabat kita di Palestin, namun kita perlu merasa malu kerana dalam keadaan yang tidak kita sedari rakyat Palestin yang sedang menderita itu sebenarnya sedang memberi sumbangan kepada kita. Sumbangan yang bagaimana?. iaitu sumbangan peringatan untuk kita mensyukuri nikmat kedamaian dan keharmonian yang kita rasakan sekarang. Dan amat memilukan apabila sumbangan ini mereka berikan dengan pengorbanan yang begitu tinggi. Oleh itu kita perlu berusaha untuk membalas sumbangan besar mereka ini"
-
Pena menyulam madah

Sekian.

Demonstrasi memang sampah, tapi sampah jua memiliki nilai.




0 comments: