PERSISME : AYUH ERATKAN SOLIDARITI, KITA REMPUH BENTENG TIRANI, DI SANA RAKYAT SEDANG MENANTI.

Mahasiswa Pencorak Suasana Negara.

Benarkah anda boleh mencorak suasana Negara ?, adakah mahasiswa memiliki kuasa luar biasa yang mampu menentukan kondisi Negara kita?. Jawapannya terletak pada kematangan minda mahasiswa sebagai golongan intelek yang merdeka. Bagi mereka yang memiliki fikrah luar biasa sudah pasti mengatakan mahasiswa bukan sekadar mampu mencorak Malaysia, namun turut berkeupayaan untuk menggegar Dunia.

Dalam helaian kali ini penulis ingin membawa sekalian mahasiswa untuk menerobos ke ruangan sejarah bagi menyemak semula integriti sebenar yang dimiliki oleh mahasiswa. Berikut merupakan beberapa petikan kebangkitan mahasiswa yang boleh disemak dalam lampiran sejarah dunia.

KOREA SELATAN
Sejarah telah menceritakan bahawa Kebangkitan Gwangju pada tahun 1980 adalah dipelopori oleh Gerakan Mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Chonnam. Golongan mahasiswa telah mengadakan demonstrasi besar-besaran menentang pentadbiran Diktator Choon Doo Hwan yang mengambil alih pemerintahan setelah Presiden ditembak mati. Kebangkitan yang berlaku telah menarik perhatian jutaan rakyat yang akhirnya menyebabkan pengishtiharan darurat pada ketika itu. Pihak tentera bertindak ganas dengan memukul dan menggeledah setiap rumah untuk mencari aktivis mahasiswa yang dikatakan sebagai pemimpin rusuhan. Maka berlakulah pertempuran besar diantara pihak tentera dan rakyat yang telah menggamit jumlah korban mahasiswa yang begitu ramai.

IRAN
Akibat tidak tahan dengan kaedah pemerintahan yang korup dan kejam, maka golongan mahasiswa telah membanjiri jalan-jalan utama di Iran mendesak perubahan drastik sistem pemerintahan Negara. Demonstrasi 1978 ini merupakan kebangkitan pertama rakyat dalam menentang kerajaan Shah Iran. Gerun dengan tekanan yang begitu hebat, Kerajaan Shah mengutuskan pihak tentera untuk menguraikan demonstrasi berkenaan . Tanpa belas simpati pemerintah telah mengarahkan golongan tentera untuk merempuh himpunan mahasiswa dengan menggunakan kereta kebal. Namun demi reformasi yang diperjuangkan golongan mahasiswa tidak lansung berganjak lantas menyebabkan tapak demonstrasi berkenaan bertukar menjadi lautan darah. Sehingga kini peristiwa berkenaan masih diperingati sebagai penghormatan kepada golongan mahasiswa yang terkorban sebagai pejuang rakyat.

MALAYSIA
Sejarah kebangkitan bermula apabila gerakan mahasiswa Universiti Malaya pada tahun 1970-an telah berjaya menjadi "suara hati" kepada "rakyat marhaen" pada ketika itu. Isu Hamid Tuah yang ditangkap tanpa belas kasihan dan isu kebuluran rakyat Baling yang tidak berkesudahan telah menjadi medan kepada mahasiswa untuk mempamerkan semula aksi Tok Janggut dalam membela nasib rakyat. Pada masa itu nama-nama pemimpin mahasiswa seperti Syed Hamid Ali, Nordin Selat, Sanusi Osman, Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais dan Ibrahim Ali bangkit dengan nada suara yang luar biasa untuk membantah penindasan pemerintah kepada rakyat bawahan. Maka penyudahnya pemimpin mahasiswa berjiwa rakyat ini dihumban ke dalam penjara ISA atas alasan menggugat ketenteraman Negara.

Namun segalanya kini tinggal sejarah. Jika dahulu golongan mahasiswa bukan sekadar menjadi agen untuk bersuara tetapi turut menjadi tentera yang membela nasib rakyat. Maka tidak hairanlah istilah kelesuan terus membelengu golongan mahasiswa pada hari ini. Penulis kerap mendengar alasan demi alasan yang diberikan oleh pemimpin mahasiswa hari ini yang menyifatkan kelesuan tersebut sebagai tohmahan tidak berasas. Mungkin benar zaman sudah berubah dan sistem demokrasi Negara juga sudah bercambah dengan begitu baik. Namun perkara ini tidak boleh dijadikan penghadang untuk mahasiswa menutup mata terhadap isu rakyat yang masih tidak selesai. Apa peranan mahasiswa dalam isu kemiskinan rakyat pedalaman sabah yang masih ketinggalan dalam segenap aspek kehidupan. Apakah mereka tidak memiliki hak untuk diperjuangkan seperti rakyat baling?. Apa pula peranan mahasiswa dalam isu bahasa melayu yang semakin dipinggirkan?. Apakah mahasiswa tidak menyedari bahawa adat istiadat bangsa kita sedang dirobek oleh bangsa asing akibat kaedah sekular pemerintah. Apakah minda mahasiswa hari ini begitu lemah sehingga tidak langsung turut campur dalam isu politik yang bergolak seperti di Negeri Perak.

Hakikatnya jika mahasiswa mengatakan mahu untuk beraksi, penulis yakin bahawa lapangannya masih terbuka luas. Kita perlu kembalikan kepercayaan rakyat yang mungkin telah kecewa akibat mahasiswa yang berdiam terlalu lama. Rakyat sedang menanti golongan muda yang pada suatu ketika dahulu pernah membawa sinar gemilang yang cukup membahagiakan hati rakyat. Penulis tetap optimis bahawa mahasiswa berdiam bukan kerana menyendiri, tetapi sedang mengumpul sterategi untuk melancarkan kebangkitan kali ke dua. Ayuh, kita eratkan solidariti, kita rempuh banteng tirani, di sana rakyat sedang menanti.

AYUH ERATKAN SOLIDARITI, KITA REMPUH BENTENG TIRANI, DI SANA RAKYAT SEDANG MENANTI.


0 comments: