MENABUR BAKTI SEBAGAI KHALIFAH

Adalah di luar kemampuan untuk mengulas isu ini secara ilmuan yang fakih. namun sekadar perkongsian mungkin ada sesuatu yang boleh diceritakan.

Secara aqli, aulawiyat sudah pasti menginginkan kita untuk memberi minum kepada orang yang terlalu dahaga berbanding orang yang masih mampu bertahan. Begitu juga orang yang tenat perlu diberi rawatan terlebih dahulu berbanding orang yang sakit. Isu berbakti kepada bumi yang mentarbiah adalah tidak logik sama sekali, tetapi isu berbakti untuk bumi yang gersang adalah terlalu relevan. andai kata saya mendapat latihan Islam di tanah Madinah, adakah perlu untuk saya berbakti di negara tersebut hanya semata-mata untuk mengenang jasa.

Isu Sabah dan Sarawak merupakan isu tanah yang kekontangan pekerja Islam. Sangat sengsara melihat bilangan kecil da'ie di bumi borneo ini yang terpaksa memerah qudrat dalam memurnikan usaha dakwah. Mereka inilah yang sedang memohon untuk mendapat bantuan daripada sahabat yang datang dari semenanjung. Isu membalas budi kepada bumi yang mentarbiah hanyalah sebagai sentimen yang diwujudkan dalam meraih simpati sahabat yang datang dan ingin pulang.

Sekiranya kita melakukan penelitian, terlalu ramai golongan guru,ustaz dan ustazah yang mengajar di sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak yang datang dari semenanjung. Tidak silap jika saya katakan bahawa jumlahnya terkadang lebih besar berbanding guru-guru tempatan. Apa yang lebih menarik ialah daripada jumlah yang besar tersebut warga Kelantan dan Kedah merupakan muhajirin yang paling ramai. Apakah kehadiran mereka ini sia-sia atau ada amanah yang Allah takdirkan kepada mereka?. Namun amat menyedihkan apabila kehadiran gerombolan itu hanya datang untuk memenuhi keperluan peribadi dan pulang dengan perut yang sudah terisi. Amatlah rugi bagi mereka yang melepaskan rezeki dari Allah sedangkan tidak semua orang diberikan peluang yang sama.

Namun perlu dijelaskan bahawa konsep ini mungkin sedikit berbeza kepada mahasiswa dan golongan wanita. Telah termaktub peraturan ke atas kaum hawa bahawa mereka perlu taat kepada suami selagi mana arahan suami itu tidak bercanggah dengan syariat Allah. Bagi yang belum berkahwin pula memiliki sedikit kelonggaran untuk memilih namun keluarga perlulah dijadikan prioriti utama.

Bagi mahasiswa pula, Universiti mungkin hanya tempat singgahan sebelum berpindah ke destinasi yang diinginkan. Hal ini terpulang kepada jiwa yang telah Allah berikan autoriti untuk memilih samada kanan atau kiri,depan atau belakang. Jika kita menganggap Universiti hanya tempat untuk bertatih, maka perkara tersebut akan berlaku seperti mana yang kita anggapkan. Namun jika Universiti dianggap sebagai medan perjuangan, maka pantang pejuang berundur sebelum dipancung

Hakikatnya di mana jua tanah yang dijejak merupakan tempat singgahan sementara sebelum bertemu dengan Khalik yang mutlak. Oleh itu gemburlah tanah ini dengan perjuangan menegakkan kalimah Allah agar perjuangan kita walaupun tidak sama namun biarlah semirip dengan sirah pengorbanan Rasulullah S.A.W. Baginda berhijrah dari tanah Makkah yang paling baginda cintai dan kemudian pulang membawa panji kemenangan Aqidah dan Tauhid. Yakinlah bahawa sakinah Allah akan sentiasa mengiringi jiwa-jiwa yang berjuang demi AgamaNya.


0 comments: