SATU TAMPARAN UNTUK KITA



Ditampar memang terlalu sakit. Tidak ada insan yang berlapang untuk ditampar. Namun sekiranya kita sedang memandu kenderaan dan kita mengantuk, maka kita perlu ditampar untuk mengelak kemalangan. Semakin mengantuk, maka semakin kuat tamparan yang perlu diberikan.

Wahai pejuang, bagaimanakah kita sanggup duduk terperap di bilik, menonton filem, bersembang kosong, melayari internet, mengumpat, berketawa tanpa batas, membuat assignment, bergayut bersama telefon, dan merajuk kerana bertengkar dengan sahabat.

Lalu kita menghadiahkan perkara ini untuk jemaah :
kita sibuk untuk ke mesyuarat perjuangan,
Kita mohon untuk berehat akibat tekanan jemaah,
Kita mohon masa untuk siapkan assignment,
Kita mohon untuk tidak hadir usrah akibat penat,
Kita mohon untuk tidak ke program kerana urusan keluarga,
Dan kita terus memohon dan memohon.
Sedarlah Pejuang, kita sudah memohon terlalu banyak perkara untuk urusan peribadi....

Maka ayuh kita renung sejauh mana sumbangan kita untuk Jemaah,
Apa yang telah kita berikan kepada Jemaah?
Apakah seimbang neraca pemberian dan permohon kita terhadap Jemaah?

Jika orang terdahulu sudah menyiapkan gagasan Tarbiah kampus yang kita tumpangi pada hari ini, maka apa yang telah kita siapkan?
Jika orang terdahulu telah menyiapkan gagasan ekonomi, maka apa yang telah kita siapkan?

Jika orang terdahulu sudah mengasaskan gagasan akademik dan kebajikan, maka apa yang telah kita siapkan?

Atau kita tidak pernah terfikir untuk menyumbang sesuatu? atau kita sememangnya ditakdirkan sebagai golongan penumpang. Dan amat menyedihkan apabila wujud golongan penumpang yang tidak sedar diri. Tidak cukup dengan menumpang bahkan mereka merosakkan segala usaha orang-orang yang telah memberi tumpang.

Kita kerap mengkritik orang-orang terdahulu yang ceritanya tertulis dalam lembaran sejarah. Namun sedar atau tidak, selemah-lemah orang terdahulu, mereka pernah memerintah melaka. Maka kita selaku bijak pandai di zaman moden ini, apa yang telah kita perintah?.

Ayuh Pejuang, ini masanya untuk berubah. Sistem yang canggih tidak akan bergerak tanpa pejuang yang bernyawa. Kita berubah dalam aspek tarbiah, kita tingkatkan kebersamaan ruh kita kepada pencipta yang agung. Kita semarakkan semangat untuk menguasai siasah agar ruang dakwah kita lebih terbuka.

Kita pupukkan wahdah sesama kita. Apabila seorang terluka, semua memberikan penawarnya. Jangan ada lagi yang suka bersendirian kerana perkara tersebut bukan cara kita yang dihadiahkan sebuah jemaah.

AYUH PEJUANG, KITA BERUBAH, KITA HIJRAH MENUJU WAHDAH.




0 comments: