NAJIB DAN ISA

Ya, memang benar Najib sudah melepaskan 13 orang tahanan ISA. Najib juga menyebut undang-undang ISA akan dikaji semula demi kepentingan semua. Saya berikan satu analogi untuk kita renungkan bersama.

Seorang anak kecil sedang mengamuk dengan ibunya kerana ibunya enggan membelikan mainan kapal terbang kawalan jauh yang berharga 300 ringgit. Si anak menangis begitu kuat dan berguling-guling di atas lantai pasaraya sambil disaksikan orang sekeliling. Si ibu yang kalah malu memujuk anaknya dengan membelikan sebuah kereta kawalan jauh dengan harga 60 ringgit. Si anak terus berhenti menjerit dan tidak lagi menuntut mainan kapal terbang itu tadi.

Persoalannya adakah kita anak kecil yang tidak tahu menilai sandiwara politik?. adakah kita sanggup mengubah mentaliti perjuangan hanya kerana mendapat gula-gula penutup mulut dari orang yang dituntut?.

Perlu diingat bahawa matlamat kita terlalu besar dan matlamat tersebut sepatutnya tidak bergegar walaupun sedikit dengan tawaran murahan daripada golongan desperado. Pasak Thabat dan Tajarrud perlu digenggam selagi mana kita berhadapan dengan apositor yang terkenal sebagai penghambat dunia Dakwah.

ISA langsung tidak bernilai jika dibandingkan dengan tuntutan sistem perundangan Islam. ISA terlalu murah jika dibandingkan dengan harga negeri Perak yang dirampas. ISA tidak bernilai jika dibandingkan dengan isu Altantuya yang masih tidak berjawapan.

Mungkin juga analoginya seperti ini,

Seorang pemburu pernah mengali sebuah lubang untuk dijadikan perangkap kepada mangsanya apabila dikejar dengan harapan mangsanya akan terjatuh ke dalam lubang tersebut. Namun setelah berfikir berpuluh-puluh kali, timbul risau di hati pemburu andai lubang tersebut memakan tuan. Maka demi keselamatan dirinya, pemburu tersebut menimbus kembali lubang yang telah digali dan mengatur kaedah perangkap yang lebih mesra tuan.

Komentar ini diberikan hanyalah sebagai peringatan agar kita tidak leka dengan pencapaian semasa. Kita sebagai pencinta Dakwah perlu sentiasa berhati-hati dengan permainan musuh yang kerap mengambil kesempatan di atas ketinggian toleransi yang dimiliki oleh pencinta Agama Allah. Jika timbul pertikaian berkaitan hal ini, penulis menyeru agar individu yang mempertikai menyemak kembali lembaran sirah dan sejarah.

Walaupun begitu, konsep Husnuzhan iaitu bersangka baik perlu terus diamalkan disamping berwaspada dengan sebarang ancaman yang mendatang. Konsep Husnuzhan ini terlalu penting kerana kita sebagai manusia tidak memiliki hak untuk menutup ruang taubat yang menjadi hadiah istimewa kepada umat manusia. Sejauh manapun keterlanjuran Najib, beliau tetap manusia yang tidak terkecuali daripada konsep Ghafur dan Rahim yang menjadi sifat suci bagi Al Khaliq yang maha esa.

Jika musuh menghulur salam, maka kita sambut dengan genggaman yang erat. Namun kita perlu bijak menilai andai musuh menyembunyikan pisau kecil di dalam genggamannya. Oleh itu sebelum terluka, tangan kita perlu dialas dengan sarung tangan yang tebal agar kita terjerat dan musuh tidak terasa.

AYUH PEJUANG MUDA, TERUSKAN BERFIKIR.







0 comments: