Ulama' Dan Profesional Ulama

Istilah Ulama Profesional merupakan satu wacana yang perlu sentiasa dihangatkan perbincangan mengenainya. Kalimah Profesional Ulama perlu ditukar kepada Ulama Profesional kerana budaya mengulama'kan golongan profesional hanya akan menjadi bencana besar untuk umat Islam. Kelahiran ulama' mi celup atau mi segera ini perlu diselia sebaik mungkin agar tidak mendatangkan komplikasi kepada gerakan Islam sedia ada.

Frasa Ulama hanya boleh diberikan kepada ahlinya. Siapakah ahlinya?? sudah tentu mereka yang fakih di dalam bidang agama. Siapakah golongan yang fakih dalam bidang agama? sudah tentu mereka yang mendalaminya, memahami usulnya, memahami tasawurnya, memahami hukum hakamnya, menguasai bahasa Al Quran, serta mampu menyampaikan dan mengamalkan keseluruhan isi Al Quran Sunnah yang dipelajarinya.

Kenapa Isu Ini Dibangkitkan???

Tidak salah untuk golongan profesional dilabelkan sebagai ulama', namun darjat itu mestilah bersesuaian dengan falsafah ilmu yang dimilikinya. Kita perlu ingat bahawa sarjana Islam di zaman silam banyak terdiri daripada individu profesional dalam bidang tertentu. Namun kefakihan mereka dalam bidang agama sememangnya tidak dapat dinafikan sehingga mereka mampu menjadi titik rujukan ummah.

Penulis merasa khuatir apabila frasa Ulama begitu mudah diberikan hanya kerana seseorang itu mampu berceramah sambil memetik ayat Al Quran dan hadith lalu didengar oleh ratusan manusia dihadapannya. Hanya kerana sesorang itu bergraduasi pengajian Islam, bahasa Arab, Syariah, Usulluddin dan sebagainya, individu tersebut terus diberi gelaran ulama tanpa menilai puluhan aspek-aspek yang lain. Apa yang lebih merisaukan ialah apabila golongan profesional seperti Jurutera, Doktor, Arkitek, Wartawan, dan sebagainya begitu mudah dilabelkan sebagai ulama hanya kerana sering bersolat jemaah subuh, mampu berceramah sambil berdalil, dan berkopiah haji.

Apakah Pandangan Ini Terlalu Pesimis Terhadap Kewujudan Profesional Ulama??

Tidak, pandangan ini tidak bermaksud untuk merendahkan mana-mana pihak. Apa yang termaktub ini sekadar inesiatif dalam memastikan kalimah Ulama itu terus terpelihara dari dijadikan begitu murah oleh golongan tertentu. Sebenarnya adalah tidak mustahil untuk menyaksikan kelahiran profesional ulama dalam kalangan umat pada hari ini. Namun biarlah gelaran itu kena pada tempatnya.

"sesiapa yang Allah inginkan baginya kebaikan, maka Allah fakihkan ia dalam bidang Agama"Hadith Riwayat Abu Daud

secara rumusannya, pejuang muda di luar sana perlu sedar diri dengan status masing-masing. Jika kita tidak mahir dalam sesuatu bidang, maka serahkanlah pada yang ahli. Apatah lagi dalam bidang agama yang begitu kompleks, dengan sekadar ilmu agama celup yang kita miliki, maka janganlah kita begitu lantang dalam menghukum dan berhujah. Amat menyedihkan apabila banyak dari kalangan ustaz celup yang bukan sahaja berani mempertikaikan, bahkan mengingkari suruhan Ulama.

Kita sememangnya menyedari betapa gerakan Islah pada hari memerlukan pelapis Ilmuan yang ingin kita gelarkan sebagai ulama'. Namun ketandusan ini tidak memberi makna kita perlu gopoh dalam mencari dan membina hasrat tersebut. Peruntukkanlah masa untuk mendalami ilmu Agama secara bersungguh-sungguh kerana ruang dan peluangnya sudah terlalu banyak.

0 comments: