Indahnya kalau mereka mengerti

Meniti hari di celah ruangan yang subur dengan amal islami sememangnya suatu yang amat diingini oleh semua mujahid dakwah. Suasana Bi'ah Islamiah yang dihiasi amal soleh sudah pasti melentur jiwa-jiwa yang gersang untuk terus menikmati kerahmatan dan kasih sayang Tuhan. Perkara ini menjadi idaman setiap mujahid dakwah yang tidak pernah jemu untuk melaungkan kalimah Dakwah dan Islah.

Fikiran sedikit berkecamuk apabila memikirkan mengenai dua benua yang terlalu berbeza keadaannya. Ada benua yang gersang dan tandus dan ada pula benua yang subur dengan pelbagai semaian Iman dan Islam. Sedih apabila mengingatkan tegarnya pejuang kalimah Allah di tanah gersang yang cukup tandus akibat kekontangan Iman. Mereka membawa panji Tauhid dalam keadaan dhaif namun tidak pernah merasa lelah apatah lagi mengalah. Biarpun merangkak gerakan mereka tetap bergerak sehingga Allah mempamerkan semaian dakwah yang sudah mula bertunas. Sudah namanya mujahid dakwah, tunas kecil itu tidak pernah diabaikan bahkan menjadi pendorong semangat untuk terus memperkasa usaha amal dan jihad.

Namun berbeza pula di benua yang subur ini. Seperti ada yang tempang dicelah tanaman yang hidup subur dan segar. Tanaman yang subur itu seperti tidak dipelihara dengan baik sehingga kelihatan seperti semak yang menyakitkan mata memandang. Mungkin mereka terleka menikmati manfaat kebun tersebut sehingga terlupa untuk mencantas lalang yang tumbuh. Buah-buahan yang terlalu banyak gugur ke tanah sehingga menjadi busuk dan berulat. Daun-daun kering bertaburan di merata tempat sehingga sukar dikesan serangga berbisa yang mungkin bersembunyi dan berselindung. Amat dikhuatiri andainya bau busuk buah yang gugur akan menganggu pekebun-pekebun lain sehingga mereka melemparkan pelbagai tohmahan dan cercaan kepada kebun yang semakin semak ini. Mungkin pada waktu itu sudah agak terlewat untuk kebun ini dibersihkan semula kerana dikhuatiri binatang berbisa akan mencederakan pekebunnya.

Oleh itu mujahid dakwah, janganlah kita memandang remeh terhadap jejak langkah perjuangan ini. Biarpun jalannya nampak selesa, namun tidak salah untuk kita menyangka bahawa jalan itu dipenuhi duri. Janganlah kita gemar untuk mencari keselesaan yang hanya akan menjarakkan peluang untuk kita merasa keperitan perjuangan Rasulullah. Hal ini tidak memberi makna bahawa kita perlu mencari kepayahan dan keperitan dalam perjuangan. Namun jika perkara itu perlu sebagai mangkin perjuangan, maka apakah salah jika kita menciptanya????

Namun percayalah bahawa tekanan dan kepayahan pasti hadir jika perjuangan ini benar-benar tulus dan suci.

0 comments: