Jadikan Ummah Sebagai Cermin Dakwah

Tugas kita adalah mengislahkan semula kehidupan umat yang semakin tersasar jauh daripada syariat yang sebenar. Mereka hidup selesa dalam keadaan biasa tanpa mereka sedari bahawa yang biasa itu adalah bukan hakikat yang benar. Maka mereka tidak menemui alasan mengapa perlu adanya perubahan. Namun ada juga umat diluar sana yang menyedari bahawa perubahan merupakan suatu yang amat kritikal memandangkan kebejatan norma yang semakin memuncak. Namun terlalu banyak penghadang yang menyebabkan semangat reformasi tersebut sekadar ditelan sebagai perkara sarwa yang kurang bermakna. Wujud juga golongan yang anti perubahan kerana perubahan hanya akan membawa ancaman kepada mereka. Mereka pencatur kebejatan dan mereka juga yang memelihara kehancuran.

Tiga golongan di atas sentiasa berlegar di sekitar kita. Ada yang mendabik dada menjulang kemungkaran, ada juga yang tertunduk mengangguk akur pada kefasikan dan ada juga yang berdiam serta membisu akibat kejahilan. Mungkinkah kita terselit dicelah-celah golongan ini ???. Jika tidak, di mana agaknya kedudukan kita???. Tepuk kepala tanya minda, tepuk dada tanya jiwa.

Maka sunatullah menjadikan Da'ie sebagai pengubat bagi segala kerosakan yang berlaku. Seantero lipatan sejarah telah menceritakan betapa kerap Allah mengutuskan para Da'ie untuk memulihkan keadaan umat yang semakin parah. Bezanya di zaman kita tidak ada perlantikan rasmi dari Allah untuk mengiktiraf seorang Da'ie menjadi Nabi ataupun Rasul. Maka tidak perlu ditunggu lagi datangnya Nabi ataupun Rasul untuk mengubat umat di zaman ini. Memadailah dengan kita sebagai insan yang diberi anugerah untuk memahami konsep 'Izzatul Islam yang perlu dijaga dan diperjuangkan.

Perkara ini menjadi asas kepada gerakan kita setelah tersedar dari bayangan duniawi. Maka bergeraklah di atas landasan ini. Paculah apa juga tindakan asalkan perkara asas ini tidak dikesampingkan. Lakukanlah apa juga reformasi mahupun transformasi asalkan pasak perjuangan ini tidak diabaikan.

Jadikan Umat Sebagai Cermin Gerakan Kita. Lihatlah kesan dakwah pada ummah dan bermuhasabah untuk menilai natijah. Jika Dibenci bukan bermakna tidak berjaya. Jika diterima jadikan mangkin untuk terus berusaha.

0 comments: