ISA : Kisah Untuk 1 Malaysia ( siri 2)

Mat Sah Satray, seorang tahanan ISA selama 7 tahun masih belum dibebaskan hingga ke hari ini. Beliau ditahan di rumahnya pada 17 April 2002 atas tuduhan terlibat dengan aktiviti subversif Jemaah Islamiah atau lebih dikenali sebagai JI. Seperti biasa ISA masih gagal membuktikan secara jelas keterlibatan Mat Sah dengan pergerakan JI. Namun itulah ISA, undang-undang untuk menghukum tanpa bicara. Agen pemuas nafsu mereka yang bacul, buta iman dan mandul sifat kemanusiaan.

Mungkin nada penulisan ini berbaur pesimistik yang dianggap tidak bersesuaian dengan mustawa intelek seorang mahasiswa. Namun adalah tidak dapat disembunyikan lagi betapa menggelegaknya hati apabila melihat kezaliman demi kezaliman yang berlaku tanpa ada pembelaan. Ditahan selama 7 tahun tanpa sabit kesalahan dan diperlakukan seperti binatang adalah suatu perkara yang amat memalukan bagi sebuah Negara merdeka seperti Malaysia. Adalah amat tidak bermaruah apabila Kerajaan Malaysia mengutuk kezaliman penjara Guantanamo walhal dalam masa yang sama ISA masih dibiarkan menzalimi rakyat.

Ditahan selama tujuh tahun adalah menyerupai hukuman penjara yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kepada seorang ibu yang telah membunuh anak kandungnya. Apabila telah terbukti wanita itu bersalah menurut garis panduan undang-undang , maka hakim memutuskan untuk memenjarakan ibu tersebut selama 6 tahun 10 hari. Datuk Abdul Rahim Uda selaku hakim terbabit mengakui begitu sukar untuk mensabitkan kesalahan dan memenjarakan ibu berkenaan kerana perasaan belas dan kasihannya kepada ibu tersebut yang dianggap mengalami tekanan hidup yang amat dasyat.

Oleh itu, apakah Mat Sah Satray tidak berhak memperolehi keadilan yang sama?, Setelah dipenjara 7 tahun, apakah telah terbukti sekiranya ada mangsa yang dibunuh atau dicederakan oleh Mat Sah? Bagaimana dengan keadaan Isteri dan anak Mat Sah yang dinafikan hak kekeluargaan mereka?, Apakah layak untuk manusia memainkan peranan Tuhan dengan memisahkan kasih sayang seorang ayah dengan anaknya tanpa hujah dan alasan?

Nyata sekali hukuman yang dikenakan ISA ke atas Mat Sah lebih dasyat berbanding hukuman yang dikenakan kepada ibu yang membunuh anak kandungnya sendiri. Bahkan tidak terhenti di situ, ISA turut menghukum anak dan isteri Mat Sah yang terpaksa hidup bergelimang sengsara dan perasaan yang terus dihimpit tekanan. Lebih menyedihkan apabila semua hukuman ini terpaksa dilalui oleh Mat Sah dan keluarganya tanpa sekalipun beliau disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Jika kita memiliki norma kemanusiaan yang biasa, sudah pasti kejadian ini tidak mampu diterima akal yang secara azalinya sentiasa mementingkan sebab dan punca. Namun ISA secara terang dan nyata amat bertentangan dengan norma ini. Mungkinkah ini menunjukkan bahawa ISA dan pelakunya adalah bukan manusia yang datang dari luar bumi seperti Dajal yang dijanjikan di akhir zaman. Kisah Mat Sah ini hanya sekelumit cerita duka daripada puluhan lagi kisah sengsara yang perlu kita rungkaikan.

Ingatlah mahasiswa bahawa kita adalah agen perubahan. Kita mampu mencetus ke arah pembinaan sebuah bangunan pencakar langit. Maka kita juga mampu untuk meruntuhkan mahligai kezaliman yang telah sekian lama bertapak di kemunting. Di sana ada insan teraniaya yang sedang terkurung dan dizalimi. Dia terpisah daripada Isteri tersayang dan anak tercinta. Apa yang pasti dia semestinya menunggu kehadiran kita untuk membela.

Asriabdullah
KUIS 09


0 comments: