Jauhnya mahasiswa kampus ketinggalan (siri I)

Front mahasiswa peringkat nasional sudah lama mengibarkan panji jihad terkini iaitu perjuangan kenegaraan secara kolektif. Mendengar kalimah ini maka terloponglah sebilangan besar penggerak jihad kampus yang selama ini lena dalam kancah perjuangan tersendiri. Amat menghairankan apabila masih wujud mahasiswa yang mampu berdiam diri melihat kebejatan moral yang semakin meruncing. Berpeluk tubuh dan memaling pandangan terhadap kebobrokan seakan-akan lupa kepada pertanggugjawaban seorang khalifah. Tuntasnya, perkara ini berlaku kerana tidak ramai jihadist kampus yang berani merempuh arus kuno sistem pendidikan kampus.

Mengapa Jurang Fikrah ini wujud????

Apabila ditanya mengapa jurang ini wujud, secara pasti penulis menjawab bahawa kampus itu sendiri bertanggungjawab terhadap permasalahan ini.

Tapi dimana salahnya???

Yang salah adalah sistem perkaderan yang jumud dan lesu. mengapa perlu kita biarkan sistem perkaderan kita dihimpit dengan cara jumud yang telah menyebabkan merudumnya prestasi jihad gerakan mahasiswa pasca 2000 ke atas. Saya tidak katakan jumud pada tamrin dan usrah, namun kaedah perlaksanaan tarbiah itu secara keseluruhanya terlalu beku tanpa praktikal teori.

Tamrin mendidik ahli dengan mengada-adakan ujian dan cabaran secara retorik daripada nuqaba' yang belum pasti melalui segala ujian dan cabaran yang diceritakannya. Bagaimana ahli hendak menjiwai segala pembawaan tarbiah jika nuqaba hanya tahu bercerita berdasarkan pengalaman lampau dengan tidak membawa ahli kepada hakikat realiti. Nuqaba' hanya tahu bercerita dan bersembang, ahli pula tidak dilalukan pada fasa praktikal yang sebenar bagi menguji tahap kefahaman ahli yang ditarbiah. Maka lahirlah sistem tarbiah yang retorik dan cukup berkesan untuk melahirkan ahli yang penakut dan berpotensi besar untuk futur di medan jihad.

Usrah pula menjadi medan sufi yang tidak terkawal dengan skop perbincangan yang jumud. Melatih ahli untuk dekat dengan Pencipta tanpa dijelaskan natijah hati yang telah ditarbiah oleh pencipta. Apakah usrah kita hanya untuk melahirkan pekerja masjid yang rajin bersolat malam dan setia membantu kerja-kerja masjid? Memetik bicara seorang tokoh yang telah mengarang kitab Fi Zilalil Quran, segala tarbiah ruhaniyah hanya akan berhasil apabila kekuatannya sudah sebati dengan panca indera. Apabila solat malam sudah sebati dengan kegarangan jihad di pagi hari, apabila qiyamullai sudah sebati dengan keghairahan dakwah di pagi hari, maka itu menjadi petanda bahawa qiyam itu mendatangkan hasil. Solat malam itu berjaya meratakan iman diseluruh pelosok anggota tubuh jihadist sehingga mereka tegar melaksanakan amanah kekhalifahan.

Ada juga usrah yang gemar membincangkan perkara-perkara teoritikal yang tidak disusuli dengan penjelasan secara realiti. Sebagai contohnya, apabila Naqib menyentuh aspek ujian dan cabaran dalam perjuangan, yang diceritakan terlalu banyak adalah kisah Imam Hassan Al Banna. Tidak salah untuk menyingkap kisah tragis Asy Syahid, namun lebih molek jika para ahli di bawa kepada alam sekeliling yang lebih dekat. Ini menuntut para Nuqaba' untuk rajin membaca dan mengkaji hakikat dakwah seranta. Kenapa tidak diceritakan proses ujian dan cabaran di tanah melayu yang kemudiannya berubah menjadi Malaysia. Kenapa tidak diceritakan kepada ahli mengenai anak tempatan yang telah syahid di bumi sendiri mahupun di tanah orang. Mengapa tidak diceritakan mengenai kisah setempat yang juga dihuni oleh mujahidin yang saban hari sedang bergelumang dengan ujian dan cabaran. Jika Naqib tidak rajin mencari dan mengkaji, maka hasilnya akan memadai dengan kelahiran ahli yang lesu dan tidak bermaya.

(bersambung...)
Episod seterusnya, Menyingkap jalan keluar daripada kepompong jumud menuju negarawan sejati




1 comments:

  1. Memang ada betulnya seperti yang akh katakan. Apabila tamrin dibuat, mad'u sudah bersiap sedia untuk double standard walau sekeras mana tamrin tersebut. Pendek kata, dalam tamrin mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk didoktrinkan kerana tamrin selalunya akan berakhir dengan selamat. Maka, iman tidaklah terlalu teruji. Mungkin dari aspek mengeratkan ukhwah tamrin boleh lah dianggap berfungsi. Cuma,kadang-kadang dalam usrah mungkin para naqib memberi contoh assyahid bukanlah kerana apa, cuma sebagai sokongan bahawa jalan yang ditempuh adalah jalan yang paling tepat dan sempurna. Hal ini seterusnya akan memberi persediaan kepada minda mad'u untuk mempercayai assyahid diabad 20 ini-asyisyi(smakkian 2006)