Zaman ini memerlukan Gerakan kita. Abaikan kata orang lain.

Sedikit mengenai PRK

Seusai pilihanraya kampus, nyata Pro Aspirasi masih teguh di hati rakyat. Biarpun sokongan terhadap mereka semakin merosot, namun kemenangan mereka perlu dijadikan kayu ukur untuk menilai prestasi gerakan kita. Namun kali ini saya tidak berhasrat untuk bercerita panjang soal politik kampus yang pada pandangan saya terlalu luas untuk dilontar secara penulisan. Secara rumusan, saya katakan bahawa Mahasiswa Pro UMNO masih selesa kerana mereka sudah berjaya mencipta keturunan demi keturunan yang buta, mandul dan bacul.

PRK Gambaran Kesungguhan Gerakan Kita

Kalah atau menang sebenarnya bukanlah perkara yang perlu kita gusarkan. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana kita sebagai gerakan mahasiswa bersedia untuk mengisi masa kekalahan ataupun masa kemenangan. Bagi saya, setelah bertahun ditewaskan dengan sejarah yang begitu perit, gerakan mahasiswa masih kurang mempelajari apa yang dikatakan sebagai "berubah untuk memerintah". Metod aktivisme yang masih sama dan ditambah dengan perkembangan kualiti yang terlalu perlahan mengakibatkan suasana kampus mahupun negara tidak merasa impak kehadiran gerakan mahasiswa. Hakikatnya yang bertempik akan terus bertempik dan yang gemar memerhati akan menjadi pemerhati yang setia. Ahli gerakan tidak perlu mempersoalkan mengapa usaha selama ini seolah-olah tidak mendatangkan hasil, namun kita perlu terlebih dahulu menilai sejauh mana gerakan ini meresap didalam jiwa dan minda setiap ahli. Apakah kita mampu menafikan bahawa masih wujud minda pesimis dalam kalangan ahli gerakan sendiri terhadap gerakan ini? Sesungguhnya kita sememangnya perlu menghormati percanggahan pandangan, namun janganlah percanggahan itu dijadikan alasan untuk membunuh gerakan.

Suasana Zaman Ini Yang Kejam Semestinya Memerlukan Kita

Mungkin nada penulisan ini sedikit berbaur emosi dek kerana terbawa-bawa isu semasa yang melanda negara. Kepincangan kefahaman mengenai demokrasi mengheret rakyat Malaysia untuk selesa berteduh dibawah kepimpinan zalim yang berselindung disebalik perlembagaan. Terkadang secara peribadi merasakan seluruh rakyat Malaysia seakan-akan pasrah dengan keadaan dan terpaksa menjalani kehidupan seperti biasa demi menjaga periuk nasi dan keluarga. Satu persatu isu kezaliman melintasi kaca televisyen dan rakyat seolah-olah terpaksa menelan segala macam benda yang disumbat ke dalam benak mereka. Perkara ini terus berlaku dan kezaliman terus berputar dengan mangsa yang berbeza mahupun berulang.

Peristiwa Memali, Anwar Ibrahim, Royalti Minyak Terengganu, Kenaikan harga minyak, Altantuya Sharibuu, Teoh Beng Hock, royalti minyak kelantan, dan kini Anwar Ibrahim kembali. Walaupun episod seterusnya masih tidak diketahui siapa, di mana dan bagaimana, namun yang pasti kekejaman itu tetap akan berlaku. Maka apakah segala kekejaman ini mendorong kita untuk tidur lebih lena tanpa memikirkan nasib Agama dan umat? Saya yakin setiap gerakan yang wujud menjadikan segala episod kezaliman ini sebagai sumber kebangkitan. Namun momentum perubahan bukan hanya bergantung kepada penubuhan sesuatu gerakan, Perubahan menuntut kepada sebuah gerakan yang memiliki penggerak yang benar-benar sedar tentang tasawur perjuangan dan kewajipan untuk berjuang.

Konflik Gerakan Yang Pelik

Amat pelik dan menghairankan apabila golongan yang mengaku menjunjung perjuangan masih mampu untuk berpangku tubuh dan melihat kezaliman ini berputar tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Sememangnya sebagai jihadist yang bijak menilai situasi, kita tidak seharusnya melatah dengan keadaan sehingga melakukan tindakan yang "gelojoh". Namun apakah kerana terlalu ber"sterategi" kita kelihatan seperti tidak lansung bertindak untuk mendepani kebejatan ini?. Lebih menyedihkan apabila wujud ahli gerakan yang lebih gemar untuk berfalsafah mengkritik golongan yang berjuang sedangkan mereka sendiri begitu liat untuk turun bertarung secara berdepan dengan kezaliman. Biarpun ada betulnya segala kritikan yang dilempar kepada golongan yang dikatakan "gelojoh"ini, namun janganlah kritikan itu bersifat melampau sehingga mampu mematikan semangat yang seharusnya dipandu dan bukannya diserang dengan persepsi yang meliar. Bagi pandangan saya, tindakan yang dikatakan "gelojoh" itu perlu ditafsir secara positif kerana semangat itu lahir daripada dasar yang murni dan niat yang suci.

Abaikan Konflik, Kita Perlu Terus Berpencak

Menilai keadaan zaman yang semakin pincang, maka saya meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap keupayaan mahasiswa untuk mencorak kembali hakikat kebenaran. Mahasiswa tidak terikat dengan kepentingan politik, kerjaya, rumah tangga, mahupun sebarang kepentingan individu yang lain. Bagi yang mahasiswa yang biasa, Akademik adalah segalanya. Bagi yang sedikit luar biasa, aktiviti kemahasiswaan menjadi kerja sampingan untuk mengumpul merit ko kurikulum. Namun sebagai mahasiswa ahli gerakan, mungkin kehidupan kita tergolong dalam kategori ekstra luar biasa sehingga ada dikalangan manusia yang melabelkan kita sebagai pemuda tidak normal. Biarlah kita dilabelkan sebagai gila, tidak siuman, pemberontak, pembangkang atau apa juga gelaran yang mereka sukakan, namun label itu akan menjadi inspirasi untuk perjuangan ini diteruskan.

Memang mahasiswa sedang menggila, dan kami sedang menggilakan kebenaran yang hakiki. Mahasiswa sememangnya tidak siuman, dan kami tidak siuman bagi mereka yang sanggup berdiam terhadap kezaliman. Kami akan terus membangkang dan memberontak sekiranya Agama tidak dijulang dan nilai kemanusiaan terus dibenam dengan kekejaman dan kezaliman.







0 comments: