Dasawarsa Kebangkitan Mahasiswa
2009 dan 2010 akan mencipta sejarah baru untuk Malaysia. Sejarah yang bakal mewarnai buku-buku tulisan generasi akan datang. Peristiwa ini juga akan meniti di bibir manusia dan terus menjadi topik perbualan para pencinta sejarah. Biarpun hal ini bukan suatu perkara yang pasti, namun kebangkitan Mahasiswa pasca 09/10 tetap akan menjadi menjadi titik pemula untuk satu dasawarsa yang baru dan menjadi simbolik kepada kelahiran semula roh perjuangan 1970-1980. Dasawarsa ini juga akan mencetak helaian cerita yang bakal dipersenda seperti mana generasi terdahulu yang telah memulakan sejarah yang tidak pernah diiktiraf. Bahkan adalah tidak mengejutkan jika dasawarsa ini akan dikategorikan sebagai sejarah hitam Malaysia yang telah dinodai oleh Mahasiswa. Apa juga bentuk persepsi yang bakal timbul, kebangkitan ini tidak akan berhenti sehingga dasawarsa ini sempurna dengan sejarah demi sejarah yang baru.
Justifikasi.
1. Namun amat menyedihkan jika kebangkitan ini terlalu cepat mengalah pada waktu. Belum sempat roh revolusi sampai kepada rakyat, mahasiswa sudah lelah akibat ketandusan matlamat dan cara. Persoalan yang sering dilemparkan oleh mereka yang dengki kepada mahasiswa ialah, apakah aktivisma mahasiswa abad ini memiliki survival yang kukuh??? Mereka mencipta tanggapan bahawa golongan mahasiswa hari ini hanya membina tugu sementara dan akan roboh apabila tidak bergelar mahasiswa. Aktivis hanya mencari kepuasan dengan melepaskan semangat muda kerana menyedari risiko yang mendatang tidak sehebat mana. Hujah mereka berdasarkan pembawaan mahasiswa yang hanya berlegar di sekitar isu kampus dan terlalu kurang menyentuh sensitiviti masyarakat. Isu kampus selalunya akan mati di kampus dan kematian itu akan mengheret semangat aktivisma mahasiswa ke kubur yang sama.
2. Mahasiswa sering berteriak dengan laungan "student power" dan bermacam lagi istilah perjuangan. Namun apakah mahasiswa tidak menyedari bahawa "kuasa" yang sering dijeritkan itu tidak langsung menggusarkan tirani. Bahkan mereka memperbudakkan kebangkitan ini dengan memberi gula-gula untuk mendiamkan mahasiswa yang berbuat bising. Mahasiswa sudah mengusung keranda, menarik kuda, berbaring di jalanan, sehingga ada yang sanggup dipenjara, namun natijah untuk perjuangan itu masih menghampakan. Apakah sebenarnya motif keras kepala yang cuba dipamerkan oleh kerajaan zalim ini??? mereka seoalah-olah masih selesa dengan kebangkitan yang berlaku. Mungkinkah respon mahasiswa masih berada dalam lingkungan pagar yang mereka cipta sehingga mereka tidak merasa bimbang dengan kebangkitan ini.
Kesimpulan.
Timbul kerisauan apabila memikirkan survival kebangkitan mahasiswa zaman moden ini. Rencam cabaran dan persepsi terlalu banyak samada yang berpunca dari dalam gerakan ataupun pihak luar yang tidak pernah selesa dengan pembaharuan. Semua pihak yang menyedarai kondisi Malaysia pada hari ini seharusnya memberi sokongan penuh kepada idealisma mahasiswa agar pecutan ini tidak terhalang. Mahasiswa sebagai generasi muda hadir menawarkan diri sebagai pejuang keadilan dan kebenaran. Oleh itu menjadi peranan masyarakat yang cintakan Malaysia untuk memberi sokongan dan dorongan kepada pejuang muda ini.
Secara peribadi penulis tetap optimis kepada mahasiswa sebagai agen perobah. Apajua persepsi yang mendatang, penulis yakin bahawa persepsi tersebut akan bertindak sebagai "Recharge"
yang akan terus menyalakan api kebangkitan mahasiswa.