Amaran Menteri Pengajian Tinggi : satu lagi hambatan terhadap mahasiswa

Amaran dan halangan : Politik pra-matang Menteri Pengajian Tinggi

Tidak cukup dengan pencemaran demokrasi dalam pilihanraya kampus yang lalu, kini Menteri pengajian tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sekali lagi melangkah ke belakang apabila memberi amaran kepada mahasiswa agar tidak terlibat dengan Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Tanpa hujah yang rasional, Menteri Pengajian Tinggi pada pandangan penulis telah mengeluarkan kenyataan pra-matang apabila memberi amaran kepada mahasiswa agar tidak terlibat dengan kempen yang akan berlangsung. Menteri Pengajian Tinggi seolah-olah tidak pandai membaca mood politik mahasiswa yang semakin tidak senang dengan posisi beliau sebagai ‘Kepala’di Kementerian Pengajian Tinggi. Perkembangan ini menjadikan Dato’ Seri Mohamed Khaled semakin tenggelam berbanding Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang dilihat lebih dekat dengan aspirasi baru mahasiswa. 

Amaran dan halangan : Membantutkan pendidikan politik untuk pemimpin muda.
Seharusnya dalam suasana politik yang semakin rencam dan mengelirukan, Menteri Pengajian Tinggi selaku individu yang bertanggungjawab perlu memberi kelonggaran kepada mahasiswa untuk lebih mengenali politik dalam erti kata yang sebenar. Mahasiswa yang mengenal politik dari jauh tidak akan memiliki tahap capaian yang sama berbanding mahasiswa yang turun sendiri ke medan politik secara langsung. Mahasiswa perlu diberi peluang untuk membuat tafsiran secara mandiri setelah mereka terdedah dengan pesta kempen yang bermacam ragam dan cara. Biarkan mahasiswa mengetahui apakah erti kempen kotor, kempen saraf, kempen wang, kempen bersih dan kempen adil. Rencam inilah yang akan melahirkan pemimpin muda yang matang dan memiliki matlamat kepimpinan yang jelas. Limitasi terhadap kebebasan mahasiswa untuk turut berkempen akan membantutkan proses kematangan mahasiswa dalam memahami dan mengurus fahaman politik. Adalah tidak wajar bagi sebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi menghalang rakyatnya daripada menjiwai dan mengamalkan sistem tersebut.

Amaran dan halangan : Membunuh masa depan demokrasi
Pandangan Menteri tidak sepatutnya terlalu sempit dan hanya tertumpu kepada mahasiswa yang turun sebagai anti kerajaan ataupun pro pembangkang. Bagi penulis, mahasiswa perlu dibenarkan untuk turun ke medan politik kepartian sebagai agen semak dan imbang sekaligus mengukur tahap pengamalan demokrasi di Malaysia. Pro kerajaan ataupun Pro pembangkang adalah tidak penting jika diukur pada faedah yang bakal dimiliki oleh mahasiswa hasil daripada pengalaman yang diperolehi secara lansung di medan demokrasi. Menteri sepatutnya memahami bahawa suasana politik masyarakat Malaysia di masa akan datang ditentukan oleh kematangan politik mahasiswa pada hari ini. Jika kefahaman mahasiswa mengenai politik dibiarkan kontang, maka sudah pasti mereka bakal menjadi anggota masyarakat yang pasif dan tidak tahu untuk menghargai demokrasi. Kefahaman politik yang dimaksudkan oleh penulis ialah, kematangan mahasiswa untuk menilai tahap demokrasi secara mendalam sekaligus bijak mengurus perbezaan politik dan tahu bertindak bagi mewujudkan suasana demokrasi yang lebih terbuka. Apakah suatu masa nanti kita ingin menyaksikan kekacauan politik akibat kegagalan rakyat menghormati semangat demokrasi?.

Amaran dan halangan : Patriotisme yang terhalang
Sebagai menteri yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin perlu bertindak secara telus atas dasar cintakan Negara dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang didasari kecenderungan politik beliau. Sifat prejudis Menteri Pengajian Tinggi terhadap mahasiswa ini akan mengakibatkan membarahnya persepsi negatif yang menyifatkan mahasiswa sebagai mangsa kekalutan politik Barisan Nasional. Menteri sepatutnya melihat kebangkitan mahasiswa sebagai harapan kepada Negara dan bukannya mengukur kebangkitan tersebut sebagai ancaman kepada parti. Pada perkiraan penulis, Menteri Pengajian Tinggi perlu menilai dari segenap sudut sebelum menghukum mahasiswa yang berkempen dengan persepsi yang negatif. Jika benar mahasiswa terlibat dengan agenda kempen yang ‘tidak sihat’, maka perlu ada pemantauan yang sewajarnya dilakukan. 

Kesimpulan.
Saya kira, isu ini tidak memerlukan kupasan yang bersifat terlalu akademik kerana logik yang biasa juga boleh mengukur samada limitasi tersebut bermoral ataupun tidak. Saya percaya mahasiswa sudah cukup matang untuk bertindak secara rasional tanpa perlu campur tangan daripada pihak luar. Sudah tiba masanya untuk pihak Menteri Pengajian Tinggi memberi kepercayaan kepada mahasiswa untuk menyumbang secara terus dalam memperbaiki sistem demokrasi Malaysia. Saya mengakui bahawa pilihanraya tidak boleh dijadikan alat tunggal untuk mengukur tahap demokrasi di Malaysia, namun saya juga meyakini bahawa tanpa pilihanraya yang bersih dan adil, demokrasi pasti mati. Saya bukan hanya berbicara soal untuk melahirkan pengundi yang cemerlang, namun saya juga mempersoalkan apakah relevan amaran Menteri Pengajian Tinggi jika kita ingin melahirkan pemimpin politik yang terbilang.

0 comments: