Hening Subuh Untuk Gaza

Di pagi hening, sewaktu dingin subuh menusuk rongga temulang. Aku yakin di waktu itu ramai hamba hamba Tuhan masih asyik dengan lena yang dibuai mimpi indah. Tidak kira samada si kecil, si muda, atau si tua sudah pasti tertawan dengan keheningan subuh yang begitu syahdu sehingga Tuhan yang menciptanya kerap dibelakangkan. Namun tidak di sini, jika bagi mereka subuh itu hening, namun bagi aku subuh terlalu bingit dan tidak ada lagi kesyahduan. Jika semalam mereka lena di waktu subuh didalam dakapan dan dodoian ayah, namun pada subuh semalam juga aku mendakap ayah ku yang tidak lagi bernyawa, aku hanya sempat mendodoikan ayah dengan kalimah syahadah. Nyata subuh ku terlalu berbeza berbanding mereka.

Mungkin kerana aku anak Gaza

Selesai mengurus jenazah ayah, paman ku mengesat air mata yang laju mengalir di pipi ku. Sebak dada ini tak tertahan kerana kehangatan tangan ayah yang sering membimbing ku sudah hilang untuk selamanya. Namun hati ku kembali terubat apabila melihat wajah ummi yang begitu tenang tanpa air mata. Mungkin air mata ummi sudah kering sewaktu meratapi pemergian dua kakanda ku sepurnama yang lalu. Lantas air mata ummi bagaikan permata yang tidak akan dibazirkan lagi oleh perasaan. Aku masih ingat pesanan ummi kepada dua jasad kaku yang cukup aku cintai,

“ Hamid, Hasyim, tunggu ayah dan ummi di sana”

Dua kakanda ku terkorban dalam satu ledakan di masjid sejurus selesai menunaikan solat subuh. Aku masih ingat malam itu mereka berdua pulang lewat ke rumah dengan membawa dua guni besar berisi serpihan batu. Ummi bertanya kepada mereka dengan nada tegas dan memberi amaran agar mereka tidak pulang lewat lagi ke rumah. Namun dengan penuh ceria dan dihiasi senyuman mereka menjawab

“ummi tidak perlu khuatir, walaupun kami tidak pulang, kita tetap akan bertemu sebagai sebuah keluarga. Namun di sana kita lebih bahagia”

Mendengar jawapan itu, ummi hanya mampu tersenyum. Selesai mereka menjamah sedikit jamuan yang ummi sediakan dan belum pun sempat mereka merehatkan tubuh yang kelihatan begitu letih, mereka sudah meminta izin kepada ummi untuk keluar berjemaah subuh di masjid. Dan pagi itulah aku mendengar satu ledakan yang cukup ngeri sehingga tubuh kakanda ku berkecai bersama runtuhan masjid. Di saat akhir sebelum kakanda ku di kebumikan sebagai syuhada, aku sempat melihat ketulan batu yang masih tergenggam erat di tangan mereka. Genggaman itu seakan-akan takkan terlepas sehinggalah mereka mempersembahkan batu itu kepada Tuhan mereka.

Kini aku yakin ayah sudah bertemu dengan kakanda ku. Dan aku juga pasti mereka sedang menanti aku dan ummi untuk ke sana. Mungkin kerana inilah wajah ummi begitu tenang. Mungkin ummi tidak sabar untuk menunggu subuh pada esok hari. Subuh yang telah memisahkan ayah dan kakanda daripada aku dan ummi. Dan mungkin subuh esok akan mempertemukan semula aku, ummi, kakanda dan ayah sebagai keluarga yang lebih bahagia di sisi pencipta yang maha esa.

Ya Allah, jadikan subuh esok rahmat kepada aku dan ummi.

sekalung ingatan untuk ayahanda dan kekanda

* Umar Zaidi bin Hussein : Syuhada 45 tahun
* Hamid bin Umar Zaidi : Syuhada 12 tahun
* Hasyim Bin Umar Zaidi : Syuhada 10 tahun

Nukilan
adik Solehuddin Al Falestini Al Qassami
8 tahun

sumber : Laduni





0 comments: