PELAN STERATEGIK : Setiap Langkah Perlu Berhalatuju


Seperti mana langkah harian kita yang memiliki destinasi tersendiri, begitulah juga dengan langkah kehidupan kita. Orang yang mundar mandir tanpa destinasi merupakan orang yang kurang bijak merancang perjalanan dan mangakibatkan banyak perkara terbazir. Sebagai umat manusia yang dikurniakan AD Din, maka sudah pasti destinasi terakhir kita adalah ingin bertemu dengan pencipta yang maha agung dan ingin hidup bahagia di Syurga yang abadi. Namun Syurga bukanlah suatu perkara yang boleh diperolehi semudah ia diperkatakan. Ada syarat dan tuntutan yang perlu kita penuhi bagi memberi sedikit jaminan untuk kita ke sana.

Apabila kita sudah jelas dengan halatuju yang terakhir, maka pergerakan perlu dicatur sebaik mungkin agar kita tidak tersesat dari landasan untuk ke destinasi tersebut. Sebenarnya setiap bait sejarah yang telah berlaku dalam kehidupan kita merupakan sorotan cerita yang agung . Sekiranya gabungan kisah ini disulam ke dalam bentuk yang zahir, maka akan terbentuk sebuah pelan tindakan yang mengajar kita untuk mencorak masa hadapan. Kisah zaman kanak-kanak, zaman persekolahan, zaman remaja, zaman dewasa dan menjelang zaman tua, semua cerita ini sebenarnya terangkum di bawah satu matlamat dan cita-cita yang suci. Di sebalik cerita-cerita inilah tersirat ribuan pelan tindakan kehidupan yang tidak kita sedari. Mungkin ada pelan tindakan yang berjaya dan mungkin juga ada yang kurang berjaya. Namun segalanya mengajar kita untuk mencatur pelan yang terbaik di masa hadapan.

Alangkah baiknya jika kita mampu mewujudkan pelan tindakan peribadi untuk kehidupan masing masing. Pelan yang dapat dizahirkan agar generasi akan datang dapat mengambil teladan dan panduan daripada pelan tersebut. Jika kita mampu, maka ayuh kita cuba mencoret pelan sterategik kehidupan kita seperti mana kita mencorak pelan-pelan untuk perkara lain. Pelan yang dimulakan dengan matlamat dan disusuli dengan misi dan sterategi. Mungkin kita bingung untuk mencoret pelan kita yang mungkin sudah terlalu tua. Maka ayuh mulakan perancangan untuk anak kita, untuk keluarga kita dan untuk kita.

Namun ingatlah bahawa kita tidak seharusnya berbangga jika pelan itu berjaya kita lakarkan secara hitam putih. Sesungguhnya pelan itu hanya sebahagian daripada usaha kita sebagai manusia, selebihnya terserah kepada Allah yang maha mengetahui.

0 comments: