Futur Oh Futur

Kita perlu bersiap untuk melahirkan kader yang memiliki potensi pemikiran luar biasa. Luar biasa? Apakah potensi yang dibina selama ini tidak mencukupi?. Jawapannya sukar untuk diputuskan. Namun apa yang penting ialah kita perlu sedari bahawa kaedah sedia ada masih perlu diperkasakan dari segenap ruang dan aspek.

Pemikiran JIK perlu dipupuk padu dengan fikrah harakah secara meluas bagi menghasilkan persediaan yang selari antara dua alam yang berbeza iaitu alam kampus dan dunia luar. Apabila berbicara mengenai fikrah, maka persoalan ini tidak lari daripada perbincangan Tarbiah dan juga Siasah.

Sebagai pendokong perjuangan Islam, setiap daripada kita sudah memahami halatuju perjuangan dan segala macam rintangan yang bakal melintang di sepanjang laluan dakwah ini. Bezanya, jika dahulu kita hanya menekankan cubaan dalam kampus seperti akademik, hep, aspirasi dan sebagainya, kini mungkin sudah tiba masanya kader dakwah ini diperkenalkan terus kepada mehnah yang lebih mencabar. ISA, Penjara, Fitnah Liwat, Ugutan bunuh, Diekori, Fitnah Rasuah, Dipukul, Dicabul dan bermacam lagi rialiti yang menunggu kader dakwah diluar sana.

Maka apakah kaedah tarbiah kita sudah bersedia? Jika kita hanya membiarkan jundu-jundu muda ini bermain dalam gelanggang yang biasa tanpa pendedahan awal, maka tidak hairan jika ramai yang hilang akibat kejutan dakwah di medan yang sebenar.

Pandangan ini diberikan apabila melihat situasi genting perjuangan yang semakin menggamit pengorbanan tetapi dalam masa yang sama tentera untuk mengisi saff perjuangan semakin kurang. Keadaan ini bertambah runcing apabila kelahiran kader mutakhir ini gagal memenuhi pasaran dakwah yang bukan sekadar memerlukan pemikiran yang tajam tetapi juga jiwa Rabbaniah.

0 comments: