PEWARTAAN POCA 2013, SIMBOL KEBEBALAN KERAJAAN MALAYSIA 0 comments
PEWARTAAN POCA 2013, SIMBOL
KEBEBALAN KERAJAAN MALAYSIA
Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri
Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang disiarkan oleh media pada 31 Mac lalu,
Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasa) 2013, POCA, akan diwartakan pada hari ini, 2 April 2014.
Seperti yang dijangkakan, Kerajaan Malaysia terus bebal dan tidak mengendahkan desakan
banyak pihak agar akta ini tidak digubal.
Amat malang nasib Malaysia apabila tidak pernah
‘bercuti’ daripada akta-akta zalim yang mencabuli hak asasi manusia. Tidak
cukup dengan 60 tahun kezaliman ISA dan EO, kini Malaysia kembali dibelengu
dengan tiga akta drakonian iaitu POCA 2013 , Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah Pencegahan
Khas) DDA 1985. Selepas daripada hari ini, kita akan melihat akan ada rakyat
yang disyaki bersalah, ditangkap tanpa waran, dikurung selama 40 hari untuk
disiasat dan kemudiannya dihantar ke pusat tahanan selama dua tahun tanpa
mendapat hak pembelaan di mahkamah.
Persis seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
POCA menghukum seseorang tanpa orang tersebut dibuktikan bersalah oleh
mahkamah. Hal ini bercanggah dengan Perkara 10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi
Manusia Antarabangsa 1948.
Datuk Dr Wan Junaidi mengatakan POCA lebih adil
berbanding ISA kerana Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai kuasa untuk
mengeluarkan perintah tahanan seperti yang terkandung di dalam ISA. Dalam kenyataan sama yang disiarkan Harian
Metro bertarikh 31 Mac, Datuk Dr Junaidi memaklumkan kepada Parlimen kuasa
untuk mengeluarkan perintahan tahanan 2 tahun terletak sepenuhnya pada sebuah
Lembaga Pencegahan Jenayah yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan
nasihat Perdana Menteri.
Kerajaan dilihat cuba berselindung di sebalik nama
Yang di-Pertuan Agong kerana Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan telah
menetapkan setiap keputusan yang ingin dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong mestilah
dibuat selaras dengan nasihat Perdana Menteri.
Datuk Dr Wan Junaidi juga perlu faham pemansuhan
kuasa Menteri dalam POCA 2013 tidak akan menjamin keadilan selagi mana kuasa
untuk menetapkan hukuman tidak diserahkan kepada Mahkamah. POCA menghilangkan fungsi
mahkamah apabila kuasa mutlak diberikan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah untuk
mengeluarkan perintah tahanan 2 tahun ke atas orang yang disyaki.
Oleh itu, sebagai persediaan menghadapi sebarang
kemungkinan akibat akta zalim ini, SUARAM akan membuka sebuah talian hotline
untuk orang ramai melaporkan kes-kes yang melibatkan penggunaan POCA, SOSMA dan
DDA. Mana-mana Individu yang ditahan atau orang ramai yang mendapat maklumat
seseorang telah ditahan di bawah POCA, SOSMA atau DDA, boleh menghantar SMS nama penuh individu yang ditahan, tempat
ditahan, balai polis tempat individu tersebut di bawa, dan nombor telefon
individu tersebut ke talian hotline 011 1172 2557. SUARAM akan cuba menyediakan bantuan khidmat
nasihat guaman, konsultasi keluarga dan kempen serta advokasi terhadap
pihak-pihak bertanggungjawab.
Selain itu, sebuah Jawatankuasa akan dibentuk bagi
memimpin perjuangan menentang akta drakonian POCA, SOSMA dan DDA secara
konsisten. Jawatankuasa yang akan dibentuk pada penghujung April ini akan terdiri daripada gabungan Badan Bukan
Kerajaan, Peguam, Gerakan Mahasiswa dan Aktivis Individual.
Sekian.
Tulisan ini disiarkan Harakahdaily bertarikh 2 April 2014
ALANGKAH INDAHNYA JIKA HKR112 ADALAH BERSIH 4.0 0 comments
PANDANGAN
: 13 JANUARI 2013
ALANGKAH
INDAHNYA JIKA HKR112 ADALAH BERSIH 4.0
Hampir semua aktivis sosial akur bahawa Kerajaan
Barisan Nasional perlu direhatkan untuk bermuhasabah. Setelah 55 tahun merdeka,
Barisan Nasional kelihatan semakin buntu untuk membawa Negara ke arah yang
lebih baik. Saya kira rakyat juga faham tentang hakikat ini. Biarpun media arus
perdana cuba menyembunyikan segala pekung yang berlaku dalam pemerintahan BN,
namun busuknya sudah terkeluar sehingga rakyat juga boleh menghidu bahawa
Malaysia sedang direndung musibah.
Namun terlalu zalim untuk saya katakan yang BN
tidak akan berubah dan perlu dikuburkan. Kerana belum tentu Pakatan Rakyat
sebagai future Government akan kekal sebagai kerajaan pro rakyat dan
boleh jadi BN akan jadi lebih mesra rakyat selepas bergelar pembangkang.
Memetik ucapan tersohor Abrham Lincoln, All man can stand the adversity, but
if you want to test a man’s character, give him power.
Saya terpanggil untuk mengulas mengenai Himpunan
Kebangkitan Rakyat KL112 yang disifatkan oleh Pakatan Rakyat sebagai sebuah
himpunan yang berjaya. Sekiranya ditanya kepada saya apakah KL112 berjaya ?,
saya akan menjawab, KL112 hanya separuh berjaya. KL112 berjaya menunjukkan
kebangkitan rakyat yang muak dengan sandiwara pemerintah. Tetapi KL112 kurang
berjaya dalam memperlihatkan future government yang benar-benar
bersedia.
Peluang menghimpunkan lebih 100,000 rakyat
seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan
masa depan. Rakyat yang hadir sepatutnya dibekalkan dengan persediaan yang
cukup untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum dan Kerajaan baru selepas PRU ke
13. Dua elemen ini saya kira sepatutnya menjadi fokus utama HKR 112.
Namun saya cukup terkilan apabila rakyat yang hadir
hanya diberikan sehelai risalah Pemantau yang disediakan Bersih 2.0 dan
kemudiannya dihidangkan dengan ceramah demi ceramah yang diulang-ulang
faktanya. Saya sempat mengikuti ceramah HKR di Johor, Penang dan Perak. Di
setiap lokasi saya sering mendengar isi kandungan ceramah yang disampaikan oleh
pemimpin politik adalah statik dan berulang. Sehinggalah ke Stadium Merdeka,
ceramah yang sama masih diulang-ulang. Mungkin hujahnya untuk meraikan rakyat
Selangor yang tidak berkesempatan untuk menganjurkan HKR Selangor, Namun ada
puluhan ribu rakyat lain yang sudah mendengar ceramah yang sama. Saya kira
tidak salah untuk ceramah itu diulang-ulang, tetapi adalah lebih baik sekiranya
KL112 memberi tumpuan kepada penerangan yang lebih penting iaitu peranan rakyat
semasa PRU 13 melalui inisiatif yang disediakan oleh Bersih 2.0. Agak merugikan
apabila wakil Bersih hanya diberi masa 5 minit untuk berucap tanpa diberikan
slot khusus untuk memberi penerangan mengenai Pemantau. Walhal untuk menjayakan
Pemantau, Bersih memerlukan 10,000 sukarelawan rakyat.
Selain mengundi perubahan pada PRU 13, Bersih 2.0
telah menyediakan tugas alternatif yang memperanankan rakyat sebagai agen
pemantau perjalanan PRU 13. Tugas ini
amat kritikal bagi mempengaruhi keputusan PRU. Oleh kerana ruang yang ada tidak
dioptimakan untuk menyampaikan mesej Bersih, maka KL112 hanya berjaya memberi
mesej politik dan tidak berjaya mengoptimakan peranan rakyat untuk berhadapan
dengan PRU 13. Namun saya tidak menyalahkan Pakatan Rakyat secara total, kerana
paling kurang PR telah berinisiatif untuk menghimpunkan rakyat berbanding
banyak NGO yang sedang larut dalam mesyuarat.
Selain memberdaya peranan rakyat untuk berhadapan
dengan PRU 13, saya kira KL112 juga seharusnya digunakan oleh PR untuk
mempersiapkan rakyat mengenai tugas mereka selepas PRU 13. Kerajaan yang
berjiwa besar tidak akan menghabiskan masa bertemu rakyat dengan menceritakan
hal-hal buruk pihak lawan. Namun lebih dinamik jika rakyat dihidangkan dengan
penerangan lebih terperinci mengenai Buku Jingga dan Dokumen Negara
Berkebajikan. Kerana ramai rakyat yang hadir pada KL112 adalah mereka yang
tinggal diluar bandar dan kurang mendapat akses kepada maklumat terkini Pakatan
Rakyat. Oleh itu alangkah baiknya jika mereka dibentangkan mengenai janji dan tindakan
yang akan dibuat oleh PR selepas mentadbir Malaysia. Saya kira perkara ini
lebih relevan untuk diulang-ulang berbanding kutukan dan ulangan cerita-cerita
negatif terhadap pihak musuh. Lebih-lebih bagi apabila rakyat sudah maklum
mengenai kerosakan yang dibuat oleh regim Barisan Nasional.
Setelah meniliti ucapan-ucapan tokoh di Stadium
Merdeka semasa KL112, saya mendapati hanya ucapan Dr Jayakumar daripada
Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) mengandungi elemen memperkasa peranan rakyat
selepas PRU 13. Beliau mengingatkan rakyat untuk terus menjadi agen yang
kritikal terhadap pemerintah biarpun putrajaya ditadbir oleh kerajaan
baru. Ucapan beliau jelas memberi impak
berbeza dalam kalangan rakyat apabila mood rakyat yang sedang diisi dengan
kemarahan bertukar kepada mentaliti rakyat revolusioner. Ucapan beliau juga
meningatkan rakyat kepada objektif sebenar kebangkitan rakyat iaitu bukan
sekadar ingin menjatuhkan UMNO dan menjulang Pakatan Rakyat, tetapi yang lebih penting
perjuangan untuk memastikan aspirasi rakyat terlaksana. Saya kira ucapan pemimpin
Pro-Rakyat seharusnya sentiasa memperingatkan rakyat untuk berjuang mendapatkan
hak tanpa mengira siapa juga yang memerintah.
Jika Pakatan Rakyat terus mengamalkan politik
meruntuh dan memburukkan, maka Pakatan Rakyat juga akan dilihat tidak
bersungguh dalam memimpin rakyat untuk bermentaliti politik baru. Menghayati
ucapan Martin Luther King pada Ogos 1963, beliau hadir di tengah himpunan
rakyat dan menyampaikan inspirasi perubahan disamping memperingatkan rakyat
untuk jangan berpuas hati selagi tuntutan rakyat tidak terlaksana. We can
never be satisfied as long as our bodies, heavy with the fatigue of travel,
cannot gain lodging in the motels of the highways and the hotels of the cities.
We cannot be satisfied as long as the Negro's basic mobility is from a smaller
ghetto to a larger one. We can never be satisfied as long as a Negro in
Mississippi cannot vote and a Negro in New York believes he has nothing for
which to vote. No, no, we are not satisfied, and we will not be satisfied until
justice rolls down like waters and righteousness like a mighty stream.
Biarkanlah BN atau UMNO bersama media arus perdana
berjalan ke belakang dengan politik kuno mereka. Biarkanlah UMNO terus duduk
dan tertinggal akibat keengganan mereka untuk berubah. Biarkanlah UMNO terus
terkebelakang dengan agenda perkauman, fitnah, dan diskrimasi mereka. Pakatan
Rakyat perlu hadir dengan cara politik baru yang memimpin rakyat menjauhi
politik benci dan mendekati politik ilmu, politik kesatuan dan politik kasih
sayang. Namun ini tidak semua tidak akan tercapai jika peluang bertemu rakyat
dihabiskan dengan menceritakan kegagalan UMNO.
Saya juga merasa kurang senang dengan cara pemimpin
Politik masuk ke Stadium Merdeka sehingga mengganggu fokus hadirin kepada
ceramah yang disampaikan. Beberapa mesej yang cuba disampaikan oleh beberapa
tokoh NGO dilihat terganggu akibat pemimpin politik yang masuk lewat ke
stadium. Hal ini disebabkan rakyat ingin melihat dan bersorak terhadap pemimpin
politik mereka. Sudahlah masa yang diberikan kepada NGO hanya lima minit, masa
yang singkat ini pula diganggu oleh pemimpin politik yang masuk ke stadium
bagaikan selebriti.
Kesimpulannya, jika ditanya kepada saya,
bagaimanakah sepatutnya KL112 berlangsung? Maka saya akan jawab, Bentangkan
semula janji Buku Jingga, Bekalkan rakyat dengan dokumen Buku Jingga dan Negara
Berkebajikan, Bina ikrar agar rakyat sentiasa memerhatikan Kerajaan Baru dan
akan berhimpun semula selepas 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat untuk
mengadili janji dan manifesto Pakatan. Yang lebih penting ialah, berikan ruang
yang cukup kepada BERSIH untuk memberi penerangan mengenai Pemantau Rakyat.
Namun mungkin ini sukar dilakukan kerana KL112 bukan BERSIH 4.0
Sudah tiba masanya Pakatan Rakyat mengamalkan cara
politik yang jauh berbeza dengan UMNO. PR sama dengan BN apabila menghimpunkan
rakyat dalam Stadium, Namun PR perlu berbeza dengan BN dalam usaha menjadikan
rakyat sebagai pemerintah yang paling berkuasa. Diharap, para pemimpin PR
selepas ini akan lebih ghairah membentangkan konsep Malaysia Baru kepada
rakyat.
Sekian.
Tulisan ini disiarkan Harakahdaily bertarikh 14/1/2014
PANDANGAN :
MAHASISWA PARTISAN (SAYAP
PARTI POLITIK),
ANTARA HAK DAN KEPERLUAN
Mula mula Parti Keadilan Rakyat muncul dengan sayap
keadilan kampus, dan kini muncul pula idea Ketua Pemuda Umno yang juga ingin
menubuhkan Kelab Umno Kampus. Dari sisi positif, kewujudan kelab mahasiswa
sayap parti ini merupakan dimensi baru politik anak muda. Oleh itu penulisan
ini sekadar ingin memberi perspektif sepintas lalu mengenai pro dan kontra
perkembangan politik gerakan mahasiswa ini. Selama ini Gerakan Mahasiswa sememangnya
bergerak secara politikal, namun pindaan AUKU 2012 telah memberi ruang untuk
mahasiswa terlibat secara langsung dengan politik kepartian.
Dalam menilai suasana politik baru mahasiswa ini,
kita tidak boleh sekadar bersandar pada hujah ikut-ikutan. Penilaian yang
teliti perlu dibuat bagi memastikan mahasiswa benar-benar boleh berperanan
sebagai salah satu komposisi penting masyarakat. Gerakan Mahasiswa perlu jelas
halatuju yang ingin dicapai dan seterusknya meletakkan posisi yang sesuai samada
ingin terus menjadi gerakan Non Partisan,
Sayap Partisan atau terus berevolusi menjadi Parti Politik. Hal ini mungkin
sedikit janggal untuk lanskap politik Malaysia, namun tidak bagi Negara
membangun yang lain termasuk jiran terdekat Indonesia.
SEKILAS PERSEPSI PRO
Selepas pindaan AUKU 2012 diwartakan, anak muda
yang berada di institusi pengajian tinggi kini bebas untuk terlibat dengan
aktiviti politik kepartian setelah hampir 40 tahun mahasiswa dibiar menjadi
penonton bisu kepada permainan politik nasional. AUKU akhirnya telah menjadi
faktor penting yang telah menyebabkan kelahiran generasi masyarakat yang lesu
dan bersikap prejudis terhadap politik kepartian. Politik pilihanraya yang
menjadi teras demokrasi Malaysia menjadi terlalu asing bagi rakyat sehingga
menjadi terlalu sukar bagi pemain politik untuk membangkitkan minat rakyat
untuk terlibat secara langsung dalam proses demokrasi ini.
Walaupun terdapat faktor lain yang mematikan minat
rakyat terhadap politik pilihanraya atau kepartian, namun faktor-faktor
tersebut hanya bertindak secara tidak langsung seperti ugutan terhadap
kakitangan awam dan suasana politik bercelaru yang menyebabkan rakyat jemu
dengan perbalahan politik yang tidak sihat. Tetapi AUKU merupakan jentera yang
kemas dan terancang dalam mematikan kecaknaan anak muda terhadap politik
pilihanraya yang akhirnya melahirkan generasi malas mengundi. AUKU mencantas
potensi anak muda untuk meminati politik dengan menghalang mahasiswa untuk
mendekati politik kepartian. Natijahnya, masyarakat yang keluar daripada
Universiti menjadi terlalu sinikal dengan parti-parti politik yang disifatkan
sebagai kelompok berkepentingan demi mengejar kekuasaan.
Oleh itu penubuhan Kelab Mahasiswa sayap parti
politik di kampus merupakan satu solusi bagi memulihkan kecenderungan
masyarakat kampus terhadap politik pilihanraya. Inisiatif ini juga boleh dijadikan
alat untuk menguji sejauh mana ketulusan pihak Kerajaan dalam membuka ruang
kepada mahasiswa untuk terlibat dengan politik kepartian.
Kewujudan politik kepartian di kampus juga
membolehkan masyarakat kampus memahami selok belok politik Malaysia secara
langsung. Hal ini menjadi pendidikan tidak formal yang akhirnya melahirkan
generasi anak muda yang sebati dengan proses demokrasi yang matang. Namun, jika
aktiviti politik di kampus itu digerakkan oleh pemain politik dari luar, sudah
pasti mahasiswa yang menjadi golongan sasar akan berasa janggal akibat sentimen
yang telah berakar. Oleh itu, Politik kampus perlu digerakkan oleh
mahasiswa sendiri bagi membolehkan aktiviti kepartian itu lebih dekat dengan
masyarakat kampus.
Apabila politik kepartian dipelopori oleh mahasiswa
sendiri, manfaatnya bukan sekadar mampu menjadi wahana pendidikan politik
kepada masyarakat kampus, namun turut menjadi mekanisme melahirkan generasi
pelapis kepimpinan Negara.
Namun, apakah gerakan mahasiswa partisan ini satu keperluan pada masa
ini?.. TIDAK !!!.
KERANA :
MAHASISWA PERLU FOKUS PADA USAHA
MEMBERDAYA RAKYAT. (EMPOWERING THE
PEOPLE)
Sekiranya disemak kepada peranan mahasiswa dalam
sejarah, sememangnya semua pihak mengakui betapa signifikannya fungsi mahasiswa
sebagai juru bicara rakyat. Mahasiswa tidak boleh lari daripada peranan
memberdayakan rakyat mengenai konsep bernegara. Peranan ini merupakan perkara asas
yang perlu diutamakan bagi melahirkan rakyat yang sentiasa merasa
bertanggungjawab untuk menjaga dan membangunkan Negara. Hanya rakyat yang sedar
mengenai tanggungjawab ini mampu mengurus kefahaman politik dan mengamalkan
demokrasi secara bertanggungjawab.
Di tengah-tengah kecelaruan politik nasional,
mahasiswa menjadi lapisan akhir untuk rakyat meletak kepercayaan. Hal ini bukan
sahaja tertulis dalam sejarah Malaysia, tetapi juga tercatat dalam sejarah
Indonesia, Iran, Korea Selatan dan banyak lagi Negara Negara lain yang memiliki
sejarah gerakan mahasiswa tersendiri.
Tidak adil sekiranya parti politik hanya memberi
contoh gerakan mahasiswa luar Negara yang menjadi sayap parti politik sebagai
hujah untuk menyokong keperluan mewujudkan gerakan mahasiswa sayap parti di
Malaysia. Parti Politik seharusnya melihat bagaimana gerakan mahasiswa
berfungsi secara keseluruhan. Kebanyakan gerakan mahasiswa yang menjadi sayap
parti politik di luar Negara lebih memainkan peranan sebagai agen yang mempromosikan
polisi-polisi parti induk masing-masing seperti Oxford University Liberal Democrat menjadi agen penerangan kepada Parti Liberal Democrat.
Maka sudah pasti parti politik Malaysia juga
mengharapkan peranan yang sama untuk digerakkan oleh gerakan mahasiswa yang
dinaungi mereka. Hal ini perlu disedari dan dipertimbangkan oleh gerakan
mahasiswa yang berada di Malaysia. Biarpun ada suara yang mengatakan mahasiswa
masih boleh berperanan diluar skop parti walaupun menjadi sayap parti, namun
pertimbangan yang perlu dilakukan bukan sekadar disekitar “masih boleh
berperanan”, tetapi lebih penting ialah
sejauh mana peranan itu mampu memberi kesan terhadap objektif.
Sebagai contohnya, walaupun kebanyakan gerakan
mahasiswa di United Kingdom merupakan sayap kepada organisasi politik, namun
dalam isu-isu utama yang melibatkan kepentingan rakyat, mereka membentuk UK
National Union of Student (NUS) yang
dianggotai pelbagai organisasi mahasiswa daripada pelbagai aliran politik. NUS merupakan badan mahasiswa yang paling
vokal dalam mengutarakan isu-isu nasional dan antarabangsa. Hal Ini menunjukkan
biarpun dinaungi parti, namun gerakan mahasiswa di UK masih memiliki platform
yang kelihatan adil dan tidak bias kepada mana-mana kepentingan politik. Oleh
itu, gerakan yang tidak ditempel dengan kepentingan politik masih menjadi nadi
utama kepada gerakan mahasiswa United Kingdom.
Selain itu, Gerakan Mahasiswa juga perlu melihat
kepada lanskap politik Negara-negara luar sebelum meniru corak permainan
politik mereka. Antara Negara yang memiliki gerakan mahasiswa sayap parti yang
terkemuka adalah seperti United Kingdom, Georgia, Bangladesh dan India. 92 %
hingga 98 % rakyat ke empat-empat negara ini yang layak mengundi telah
mendaftar sebagai pengundi. Berbanding dengan Malaysia yang mencatat 73%
pendaftaran pengundi daripada jumlah yang layak mengundi.
Signifikan daripada fakta ini ialah, mungkin
masanya sudah sesuai untuk gerakan mahasiswa di United Kingdom, Georgia,
Bangladesh dan India melangkah kehadapan dengan terlibat secara langsung
dalam persaingan polisi parti politik
masing-masing. Hal ini kerana jumlah
pendaftaran pengundi yang tinggi menunjukkan rakyat Negara tersebut sedar dan
faham mengenai keperluan untuk mereka terlibat dalam arus politik nasional.
Oleh itu Gerakan Mahasiswa di sana boleh berevolusi daripada berperanan sebagai
pencerah mengenai hak dan demokrasi kepada pemudah cara untuk rakyat memilih
parti yang terbaik sebagai pemerintah.
Berbeza bagi Malaysia, masih ada peratusan besar
rakyat yang bersikap negatif terhadap keperluan untuk terlibat dengan arus
politik dan demokrasi. Hal ini didorong oleh pendidikan politik yang tempang
dan sistem politik bercelaru yang membingungkan rakyat. Keadaan tambah rumit
apabila parti yang memegang tampuk pemerintahan tidak berlaku jujur dengan
menafikan hak parti lain daripada menyampaikan polisi masing-masing melalui
saluran media yang adil. Hasilnya rakyat sentiasa terdidik dengan doktrin tidak
sihat yang menyebabkan lahir pemikiran ekstrim kepartian tanpa menilai pasak rasional
dan kebenaran.
Tidak cukup dengan kurangnya kecaknaan rakyat
terhadap politik, mahasiswa dalam universiti juga mengalami masalah yang sama.
Hakikatnya hanya 7 % mahasiswa yang benar benar cakna tentang situasi politik
Negara. Angka ini dinyatakan oleh Prof Abu Hassan Hasbullah dalam satu forum
yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia. Oleh itu masih ada 93
peratus anak muda di pusat pengajian tinggi yang perlu dibangunkan kesedaran
mereka mengenai tanggungjawab bernegara.
Perkara inilah yang perlu dinilai oleh gerakan
mahasiswa samada bersedia untuk menjadi suara parti politik, atau mahasiswa
masih perlu fokus kepada peranan memberdaya rakyat Malaysia sebagai komposisi
terpenting Negara.
MENJADI SAYAP PARTI , MAHASISWA
HILANG KEISTIMEWAAN KALIMAH “KEBENARAN”
Sebelum ini, Gerakan Mahasiswa sering mencanangkan
bahawa mahasiswa tidak ditunggang oleh mana-mana pihak dan hanya berpihak pada
kebenaran. Oleh itu, jika Gerakan Mahasiswa memilih untuk dinaungi parti
tertentu, apakah itu membawa maksud kebenaran hanya wujud pada parti
tersebut?.
Dengan menjadi sayap parti, mahasiswa sudah pasti
masih boleh berkata-kata atas paksi kebenaran, namun ruang untuk masyarakat
mempercayai kata-kata itu semakin sempit akibat kepentingan parti politik yang menempel.
Apabila mahasiswa bercakap soal
kebenaran, maka masyarakat yang sinikal akan menganggap ucapan itu sekadar
mempromosikan idea parti politik yang menaungi gerakan mahasiswa. Sememangnya
tidak salah untuk terus berkata benar sebagai sayap parti walaupun rakyat sukar
menerimanya. Namun sekiranya Gerakan Non Partisan itu lebih berkesan untuk
membuka hati rakyat bagi menerima idea pencerahan, mengapa perlu Gerakan
Mahasiswa menjadi sayap parti politik.
Gerakan Mahasiswa mungkin perlu lebih mirip kepada
konsep Badan Bukan Kerajaan yang tidak terikat dengan mana-mana kepentingan
politik. Sekiranya diteliti, antara faktor yang mendorong kesedaran rakyat di
Negara-negara seperti yang dinyatakan di atas ialah gerakan Badan Bukan Kerajaan
mereka yang aktif membangunkan kesedaran rakyat. Sebagai contohnya, Bangladesh
memiliki sbuah NGO yang tercatat dalam senarai 10 NGO terbaik dunia iaitu BRAC
(Bangladesh Rural Advancement Committee) yang memperjuangkan isu kemiskinan
rakyat Bangladesh dan juga masyarakat antarabangsa.
Mengapa perlu gerakan mahasiswa terburu-buru
mengambil contoh gerakan mahasiswa eropah dalam berilfiltrasi menjadi sayap
parti politik? Kenapa kita tidak melihat gerakan mahasiswa Gwangju, Korea
Selatan yang sehingga ke hari masih mempertahan status Non Partisan biarpun 98% rakyat Korea Selatan yang layak mengundi
telah mendaftar sebagai pengundi. Begitu juga dengan Kumpulan Aksi Mahasiswa
Muslim Indonesia (KAMMI) yang begitu keras mempertahankan status Non Partisan biarpun banyak pihak yang
cuba mengatakan mereka memiliki hubungan struktural dengan Partai Keadilan
Sejahtera, Indonesia. Sifat Non Partisan
inilah yang mendorong tercetusnya reformasi 98 yang menggulingkan pemrintahan koruptor
dan seterusnya mendidik rakyat Indonesia sehingga 99 % yang layak mengundi
telah mendaftar sebagai pengundi.
MAHASISWA PERLU TOLAK TOHMAHAN “PERJUANGAN
40 TAHUN AUKU KERANA MAHASISWA KETAGIH POLITIK”
Perjuangan AUKU selama 40 tahun bukan semata-mata
ingin menuntut hak mahasiswa untuk menjadi ahli politik. Hal yang perlu
difahami ialah perjuangan mahasiswa menentang AUKU ialah untuk memulihkan
status universiti sebagai gedung ilmu yang berautonomi dan tidak dimanipulasi
oleh undang-undang sempit yang menjaga kepentingan pemerintah.
Oleh itu Gerakan Mahasiswa perlu berhati hati dalam
berevolusi menjadi sayap parti politik. Gerakan Mahasiswa perlu terlebih dahulu
perlu menetapkan pendirian samada ingin mengiktiraf pindaan AUKU atau menolak
secara total undang-undang lapuk berkenaan. Sekiranya mahasiswa menolak pindaan
AUKU, namun dalam masa yang sama Gerakan Mahasiswa mengiktiraf ruang untuk
menjadi ahli politik, maka tindakan itu akan dilihat tidak konsisten dengan
pendirian. Hal ini sama seperti sikap tidak konsisten sesetengah gerakan yang
menolak Akta Perhimpunan Aman 2012 tetapi dalam masa yang memohon kebenaran
Polis untuk berhimpun secara aman.
Sikap gopoh menjadi sayap parti politik ini akan
mengiktiraf tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab yang selama ini
mengatakan perjuangan mahasiswa menentang AUKU hanyalah untuk kepentingan
politik parti tertentu.
MAHASISWA BERSEDIA MENJADI AGEN
PARTI, TETAPI PARTI POLITIK BELUM BERSEDIA MENERIMA MAHASISWA
Melihat kepada situasi semasa politik malaysia,
persaingan antara parti lebih cenderung kepada politik kuasa dan kekuatan.
Parti politik kurang mempertaruhkan pertandingan idea, tetapi lebih kepada
perebutan kuasa sehingga sanggup bermain kotor seperti politik wang, fitnah, dan samseng. Bilangan
pengikut yang ramai dijadikan dalil untuk menunjukkan kekuatan sesebuah parti
politik. Lebih parah apabila Parti Politik yang memerintah gagal membezakan
antara kepentingan rakyat dan kepentingan parti menyebabkan rakyat menilai
tujuan politik hanyalah untuk kekuasaan.
Politik di Malaysia juga menunjukkan persaingan
pra-matang apabila sering berlaku prejudis antara parti. Idea parti lawan
sering dilabel negatif walaupun idea itu boleh dibincangkan demi kepentingan
rakyat. Akhirnya imej yang terbentuk ialah parti politik sering bermusuhan
antara satu sama lain sehinggakan kepentingan rakyat dikorbankan. Sikap ini
merebak sehingga ke peringkat ahli dan penyokong parti menyebabkan prejudis yang
menebal antara satu sama lain.
Parti politik di Malaysia dilihat bukan sahaja
gagal mengurus hubungan antara parti, tetapi juga kurang berjaya dalam
menghidupkan budaya demokrasi di peringkat dalaman parti. Perbezaan pandangan
antara pemimpin sesebuah parti sering memperlihatkan bagaimana berlakunya
polemik tidak sihat sehingga mewujudkan blok blok yang berbeza. Blok yang
dimaksudkan disini ialah kumpulan kumpulan tertentu dalam sesebuah parti yang
dipisahkan dengan ideologi berbeza. Sememangnya
perbezaan adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, namun perbezaan yang berjaya
diurus tidak akan mewujudkan blok yang hanya melemahkan kesatuan sesebuah
parti. Idea berbeza sering dianggap
sebagai ancaman sehingga menyebabkan pembawa idea sering ditekan dan idea itu
dipinggirkan. Kegagalan mengurus perbezaan ini menyebabkan proses perkembangan
parti politik di Malaysia terlalu perlahan jika dibandingkan dengan parti
politik di Negara-negara membangun yang lain.
Terbukanya ruang untuk mahasiswa menjadi sayap
parti politik bermakna ruang untuk Parti Pemerintah mendiskriminasi parti lawan
juga semakin terbuka. Sekiranya sayap mahasiswa pembangkang dan sayap mahasiswa
kerajaan tertubuh seacra rasmi, maka persaingan tidak sihat juga berpotensi untuk
berlaku secara halal. Sudah pasti sayap mahasiswa parti kerajaan akan mempunyai
kelebihan yang sama seperti yang dimiliki parti kerajaan. Maka lanskap politik
mahasiswa juga akan tercemar dengan diskriminasi oleh pihak yang memegang
kuasa.
Oleh itu, memetik ucapan Dato S. Ambiga apabila
ditanya wartawan selepas pihak tidak bertanggungjawab melakukan aksi senaman
punggung dihadapan rumahnya, beliau mengatakan tindakan mengamalkan demokrasi
dengan cara tidak sihat seolah-olah membiarkan rakyat bermain di tepi cerun
yang licin (Slippery Slope). Hal ini
kerana ruang demokrasi yang digunakan secara membuta tuli hanya akan
menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebebasan yang ada.
Gerakan Mahasiswa perlu berperanan dalam mengislah
budaya politik dalam kalangan Parti Politik di Malaysia. Sekiranya gerakan
mahasiswa mampu memberdaya rakyat agar lebih celik demokrasi, maka keadaan ini
akan memaksa Parti Politik untuk lebih serius dalam mempraktikkan politik ilmu,
nilai dan prestasi. Semestinya tugas semak dan imbang ini akan lebih berkesan
sekiranya dilaksanakan atas kapasiti Non
Partisan dengan mengambil kira lanskap politik rakyat Malaysia.
KESIMPULAN
Memberdaya kesedaran rakyat untuk terlibat dengan
demokrasi berpaksikan ilmu, rasional, dan prestasi, merupakan tugas utama
Gerakan Mahasiswa di Malaysia. Sememangnya menjadi hak mutlak setiap Gerakan
Mahasiswa untuk memilih samada ingin menjadi pemain politik kepartian secara langsung.
Namun Gerakan Mahasiswa perlu membuat pertimbangan sewajarnya dengan mengambil
kira faktor keperluan dan keutamaan.
Gerakan Mahasiswa perlu memikirkan antara hak untuk
menjadi sayap parti dan keperluan memberdaya rakyat berpaksikan politik ilmu,
rasional dan prestasi.
Tulisan ini disiarkan Malaysiakini bertarikh 5/9/2012
Subscribe to:
Posts (Atom)