Rialiti Daulah Islamiah abad 21 : Apakah semakin hampir? 0 comments


Kita sering berkata bahawa suatu hari nanti Islam pasti menang. Ramai pemikir Islam dan penganalisis barat seperti Alnold Toynbee meramalkan bahawa abad 21 adalah milik Islam. Roger graudy yang merupakan bekas pendokong ideologi Marxisme turut mengatakan bahawa "The Future Religion Will Be Islam" . Tapi apakah dalam keadaan umat Islam yang berpecah, kekalutan amalan sesat, ideologi politik bebas, Sosial yang mencengkam, hedonistik yang disanjung, pendakwah yang lemah dan ilmu yang tempang selari dengan matlamat kemenangan Islam tersebut.???. Maka kenyataan ini seharusnya memberi tamparan kepada umat Islam yang sedang terlena dan terleka. Kemenangan masih terlalu jauh bagi umat Islam yang kerap mengharapkankan takdir kemenangan dan tidak gemar berfikir. Kenyataan positif intelektual barat itu adalah terlalu benar jika didasarkan kepada intipati Islam dan bukannya umat Islam. Perkara ini menuntut kita untuk mengambil langkah drastik berperancangan bagi merialisasikan Sunnah kejayaan Islam.

Kita kerap berbicara mengenai Islam sebagai cara hidup. Namun apakah kita telah mewajahkan Islam sebagai cara hidup dalam erti kata sebenar?. Maka jawapannya ialah Islam hanya akan menjadi sistem yang sempurna apabila umat Islam sudah memiliki negara dan meletakkan Al Quran sebagai perlembagaan tertinggi. Dalam berbicara mengenai Daulah Islamiah, kita tidak boleh mengambil jalan pintas dengan hanya menceritakan mengenai kepentingan dan manfaat yang bakal terhasil. Oleh kerana kelam kabut ingin mencari mad'u, maka ramai para Da'ie mencipta pelbagai cereka mengenai perjuangan menegakkan Daulah. Sejauh mana Dai'e itu sendiri memahami konsep Al Islam Ad Din Wa Daulah, masih tidak dapat dipastikan. Dai'e terlebih dahulu perlu memahami konsep pencapaian Daulah berdasarkan rasional zaman yang telah berubah. Semestinya untuk mencapai sebuah Dunia Islam pada hari ini menuntut para penggerak dakwah untuk memiliki ilmu yang mendalam mengenai konsep kenegaraan secara global..

Ayuh kita renungkan jenaka berikut?

Apa mungkin cara yang logik untuk Islam menguasai Dunia pada hari ini? apakah perlu ada Hijrah ke dua untuk memulakan proses pencapaian Daulah di abad moden?. Atau Daulah hanya akan terbentuk jika ummah sudah bersedia untuk ke medan Qital? Apakah sistem perundangan negara-negara Islam yang ada pada hari memungkin kita untuk menegakkan daulah? Bagaimana akan tertegak Daulah jika di Algeria 73 peratus daripada umat Islamnya tidak tahu membaca? Apakah OIC boleh dianggap sebagai platform terbaik untuk mewakili umat Islam? Apakah Daulah yang terbentuk akan menerima Islamisasi sekularisme, Sosialisma dan Marxisme? Jika sudah berjaya, apakah mungkin nama bagi kerajaan Islam yang baru? apakah Uthmaniah, atau Ikhwaniah, atau hanya Islamiah?

Biarpun semua persoalan diatas terlalu abstrak untuk difikirkan, namun ianya logik untuk kita depani. Dalam keadaan ideologi manusia menjadi kitab rujukan umat, para Dai'e perlu mencari jalan bersepadu dalam mengislah kembali jiwa-jiwa yang mampat dengan hidangan zionisme. Maka konteks pembentukan Daulah tidak boleh disempitkan kepada penceritaan mengenai kepentingan dan manfaat semata-mata, namun ruang lingkup yang menyeluruh mengenai langkah rialistik ke arah pencapaian daulah perlu diberi perhatian. Sebagai contohnya, untuk mencapai Daulah pada hari ini sudah pasti akan menyentuh mengenai aspek perundangan civil dan syariah, pendidikan formal dan tidak formal, Islamisasi Ekonomi Marxisme dan Kapitalisme, Media Global, Pertubuhan Antarabangsa seperti PBB, OIC, NAM, ASEAN, dan pelbagai isu kenegaraan yang perlu dikuasai.

Maka atas dasar ini konsep negarawan Islam perlu menjadi agenda penting dalam melahirkan golongan pendakwah yang fleksibel. Jika golongan agama berasa kurang senang dengan istilah Profesional Ulama maka golongan agama perlu berkerja keras untuk melahirkan generasi Ulama Profesional. Penerapan konsep kenegaraan dalam agenda tarbiah dan dakwah dilihat sebagai wahana yang sangat signifikan bersesuaian dengan matlamat kemenangan Islam. Untuk menyesuaikan keadaan ini di medan kampus, maka para Nuqaba' perlu melakukan reform dalam aspek penyampaian usrah penguasaan thaqafah.

"masalah utama umat Islam pada hari ini adalah malas berfikir"
- Malek Bennabi, Negarawan Islam, Algeria.




Waqi' dan Sterategi 0 comments

Gerakan Mesti Ikut Waqi'???

Dalam menyentuh aspek dakwah berdasarkan Waqi', maka setiap jundu perlu jelas di mana sebenarnya titik rujukan untuk persoalan ini diselesaikan. Antara perkara yang perlu difahami ialah.

1. Siapa yang mencipta waqi'
2. Elemen yang mampu mengubah waqi'
3. Adakah benar waqi' yang biasa, dan apakah sesuai waqi' yang benar?
4. Apakah tuntutan sebenar Waqi' pada hari ini?
5. Bagaimana cara untuk merobah Waqi'?


Persoalan ini tidak akan mampu dijawab jika seseorang jundu belum menamatkan pembacaan dan pengkajian terutamanya mengenai buku harakiah yang berbentuk pendidikan. Buku-buku ringkas seperti Pendidikan Harakah Islamiah karangan said Hawa, Risalah Ta'lim karangan Hassan Al Banna dan bacaan lanjutan seperti The Clash Of Civilization karangan Samuel Huntington serta buku pengurusan abad 21 karangan Wan Liz Ozman perlu ditelaah sebaik mungkin agar para jundu dapat melihat tasawur sebenar gerakan umat pada hari ini.

Ini seterusnya akan mendatangkan satu hasil yang cukup luar biasa justeru mengetuk kepala para penggerak jihad mengenai hakikat waqi' yang perlu dicipta. Amat menghairankan apabila waqi' sering dijadikan alasan untuk sesuatu gerakan dakwah dikendurkan. Lebih menyedihkan apabila golongan ini bijak mengunakan segala macam kaedah fiqh untuk melindungi kebaculan yang membelengu mereka.

Demi menjaga nama, status, dan kegerunan terhadap ancaman Universiti, mereka mencipta alasan yang cukup unik untuk tidak bertempur secara pejuang. Lantas mereka menyatakan bahawa kononnya kita perlu bersterategi untuk menjaga dakwah nafas panjang. Masalahnya ialah, apakah ruang diberi oleh tuhan sebelum ini telah digunakan secara optima? dan apakah nafas yang telah digunakan sebelum ini mampu membawa hasrat dan cita-cita jemaah?.
Nafas panjang atau tidak sebenarnya bukanlah persoalan utama. Perkara yang penting ialah hanya Allah berhak menentukan sejauh perjuangan ini mampu bernafas. Tugas da'ie ialah mencipta gerakan dengan segenap ruang yang ada agar matlamat amal jama'ie dapat dirialisasikan.

Berikut merupakan sorotan kisah mengenai sterategi dakwah golongan terdahulu dan persoalan yang timbul berkaitan waqi'.

1. Dakwah sirriah Rasulullah dijaharkan setelah mendapat pandangan Omar Al Khattab dan wahyu daripada Allah.
Persoalan : Mengapa tidak diteruskan sahaja dakwah sirriah demi menjaga keselamatan Islam? bukankah bahaya jika dakwah di jaharkan sedangkan kekuatan umat Islam terlalu lemah? Jika Rasulullah terbunuh, apakah masih ada masa depan untuk Islam? apakah pandangan Omar tidak mengambil kira waqi' mekah yang dipenuhi kejahilan?

2. Setelah proses hijrah berjaya, rasulullah membina sebuah negara Islam dengan termaktubnya Piagam Madinah.
Persoalan : Apakah waqi' masyarakat Madinah ketika itu sesuai sedangkan golongan yahudi merupakan bangsa majoriti?

3. Imam Abu hanifah seorang ulama besar yang hidup dizaman Khalifah Islamiah, beliau telah syahid di racun akibat menolak jawatan untuk menjadi mufti pemerintah.
Persoalan : Apakah Imam Abu Hanifah seorang yang tidak memahami Waqi' sehingga beliau terbunuh? bukankan baik jika jawatan mufti diterima untuk menjaga dakwah nafas panjang?

4. Syed Qutb dihukum bunuh kerana ingkar terhadap seruan kerajaan.
Persoalan : Apakah Syed Qutb juga tidak memahami waqi'? bukankah jika dia menyahut seruan kerajaan beliau akan dapat hidup dan menjaga dakwah nafas panjang?
Masih terdapat banyak kisah yang menceritakan bagaimana manusia mampu memainkan peranan dalam membina waqi'. Waqi' sememangnya tidak dibina dalam masa satu hari mahupun satu tahun, namun gerak pemula untuk mencorak suatu waqi' boleh bermula pada bila-bila masa dan keadaan.

Gerakan Perlu Bersterategi?

Ramai yang mengatakan bahawa gerakan dakwah perlu bersterategi dan terancang. Sebarang tindakan yang mendatangkan bahaya dianggap tidak terancang dan bercanggah dengan waqi'. Amat melucukan apabila kalimah tersebut keluar daripada mulut jundullah yang masih terkial-kial untuk mencipta sebuah Grand design yang ringkas.

Siapa yang berani mengatakan bahawa 313 tentera Islam diperang Badar sebagai tentera yang bodoh kerana tidak mengukur kekuatan sendiri untuk bertempur dengan musuh?
Siapa yang berani mengatakan bahawa ketewasan umat Islam diperang Uhud sebagai kedangkalan sterategi Rasulullah?

Apa yang penting ialah, sterategi tetap sterategi dan ia perlu dicatur sebaik mungkin dengan kemampuan yang optima. Kejahilan seseorang tentang sterategi menyebabkan individu tersebut gagal membaca sebuah gerakan yang bersterategi.

Penutup...

Ya, perjuangan sememangnya amat perlu untuk mengambil berat soal waqi' dan sterategi. Namun bukan untuk berdiam dan akur pada waqi' yang membungkam. Sekiranya kita memandang hanya pada dakwah nafas panjang dikampus, maka mungkin resolusi yang terhasil juga sempit. Pejuang perlu mendongak dan melihat rialiti umat yang diperlukan oleh dunia sebelum kehadiran Mahdi dan nabi Isa. Bagaimanakah agaknya keadaan umat yang akan membantu gerakan Mahdi dan Isa dalam mengapuskan dajal laknatullah?. Apakah ciri-ciri golongan itu seperti kita? atau ciri-ciri kita dan bangsa kita hanya akan menjadi tempat untuk Dajal berlindung dan kita rela untuk melindung.

Apa yang penting dan perlu difahami ialah perjuangan biasa sudah semestinya tidak mampu menghasil sesuatu yang luar biasa. Dan sesuatu yang luar biasa takkan lahir daripada individu yang biasa, yang mana sering menonton wayang diwaktu lapang, kerap tidur diwaktu senggang, rajin bersembang kosong dimeja makan, selalu bergurau tanpa matlamat, suka bersembang soal wanita, sering membaca komik hiburan, kerap menonton tv, dan akhirnya gemar memberi alasan apabila diseru untuk berjuang.

muhasabah untuk penulis

Jauhnya mahasiswa kampus ketinggalan (siri I) 1 comments

Front mahasiswa peringkat nasional sudah lama mengibarkan panji jihad terkini iaitu perjuangan kenegaraan secara kolektif. Mendengar kalimah ini maka terloponglah sebilangan besar penggerak jihad kampus yang selama ini lena dalam kancah perjuangan tersendiri. Amat menghairankan apabila masih wujud mahasiswa yang mampu berdiam diri melihat kebejatan moral yang semakin meruncing. Berpeluk tubuh dan memaling pandangan terhadap kebobrokan seakan-akan lupa kepada pertanggugjawaban seorang khalifah. Tuntasnya, perkara ini berlaku kerana tidak ramai jihadist kampus yang berani merempuh arus kuno sistem pendidikan kampus.

Mengapa Jurang Fikrah ini wujud????

Apabila ditanya mengapa jurang ini wujud, secara pasti penulis menjawab bahawa kampus itu sendiri bertanggungjawab terhadap permasalahan ini.

Tapi dimana salahnya???

Yang salah adalah sistem perkaderan yang jumud dan lesu. mengapa perlu kita biarkan sistem perkaderan kita dihimpit dengan cara jumud yang telah menyebabkan merudumnya prestasi jihad gerakan mahasiswa pasca 2000 ke atas. Saya tidak katakan jumud pada tamrin dan usrah, namun kaedah perlaksanaan tarbiah itu secara keseluruhanya terlalu beku tanpa praktikal teori.

Tamrin mendidik ahli dengan mengada-adakan ujian dan cabaran secara retorik daripada nuqaba' yang belum pasti melalui segala ujian dan cabaran yang diceritakannya. Bagaimana ahli hendak menjiwai segala pembawaan tarbiah jika nuqaba hanya tahu bercerita berdasarkan pengalaman lampau dengan tidak membawa ahli kepada hakikat realiti. Nuqaba' hanya tahu bercerita dan bersembang, ahli pula tidak dilalukan pada fasa praktikal yang sebenar bagi menguji tahap kefahaman ahli yang ditarbiah. Maka lahirlah sistem tarbiah yang retorik dan cukup berkesan untuk melahirkan ahli yang penakut dan berpotensi besar untuk futur di medan jihad.

Usrah pula menjadi medan sufi yang tidak terkawal dengan skop perbincangan yang jumud. Melatih ahli untuk dekat dengan Pencipta tanpa dijelaskan natijah hati yang telah ditarbiah oleh pencipta. Apakah usrah kita hanya untuk melahirkan pekerja masjid yang rajin bersolat malam dan setia membantu kerja-kerja masjid? Memetik bicara seorang tokoh yang telah mengarang kitab Fi Zilalil Quran, segala tarbiah ruhaniyah hanya akan berhasil apabila kekuatannya sudah sebati dengan panca indera. Apabila solat malam sudah sebati dengan kegarangan jihad di pagi hari, apabila qiyamullai sudah sebati dengan keghairahan dakwah di pagi hari, maka itu menjadi petanda bahawa qiyam itu mendatangkan hasil. Solat malam itu berjaya meratakan iman diseluruh pelosok anggota tubuh jihadist sehingga mereka tegar melaksanakan amanah kekhalifahan.

Ada juga usrah yang gemar membincangkan perkara-perkara teoritikal yang tidak disusuli dengan penjelasan secara realiti. Sebagai contohnya, apabila Naqib menyentuh aspek ujian dan cabaran dalam perjuangan, yang diceritakan terlalu banyak adalah kisah Imam Hassan Al Banna. Tidak salah untuk menyingkap kisah tragis Asy Syahid, namun lebih molek jika para ahli di bawa kepada alam sekeliling yang lebih dekat. Ini menuntut para Nuqaba' untuk rajin membaca dan mengkaji hakikat dakwah seranta. Kenapa tidak diceritakan proses ujian dan cabaran di tanah melayu yang kemudiannya berubah menjadi Malaysia. Kenapa tidak diceritakan kepada ahli mengenai anak tempatan yang telah syahid di bumi sendiri mahupun di tanah orang. Mengapa tidak diceritakan mengenai kisah setempat yang juga dihuni oleh mujahidin yang saban hari sedang bergelumang dengan ujian dan cabaran. Jika Naqib tidak rajin mencari dan mengkaji, maka hasilnya akan memadai dengan kelahiran ahli yang lesu dan tidak bermaya.

(bersambung...)
Episod seterusnya, Menyingkap jalan keluar daripada kepompong jumud menuju negarawan sejati




Tuan Guru Nik Aziz Perlu Berundur (siri I) 0 comments

Kiranya sudah cukup lama T.G.NANM. memegang tampuk populariti sebagai pemimpin pembangkang yang paling dominan. Diakui sememangnya sudah terlalu banyak perubahan yang telah ditabur dalam usaha beliau mendatangkan model umat Islam yang sebenar. Namun perlu juga diakui bahawa zaman sedang berubah. Islam adalah perkara yang tetap akan tetapi pembawanya memiliki turun naik yang telah disunnahkan.

Kelewatan TGNANM melabuhkan tirai jawatan hanya akan mendatangkan komplikasi yang lebih rumit dalam kalangan penyokong fanatik yang tidak memahami wala dan qiyadah. Pada perkiraan penulis alasan ketiadaan pelapis dan pengganti sudah tidak relevan dengan taburan generasi muda jihadist yang semakin bercambah. Hanya peluang yang perlu diberikan agar potensi sebenar dapat ditonjolkan sekaligus menghentikan tradisi kebergantungan dengan kepimpinan lama.

Jika TGNANM risau akan masa yang mungkin tidak sesuai untuk beliau berundur, maka sekarang mungkin masa yang sangat sesuai. Mengapa?, kerana krisis dalaman yang berlaku dan juga situasi musuh yang seakan-akan semakin hilang hormat terhadap kepimpinan TGNANM. Ketika inilah TGNANM perlu meyakini keberlansungan Tarbiah yang dilaksanakan selama ini. Jika gerasi PAS sudah ditarbiah sebaik mungkin, maka tidak timbul persoalan untuk TGNANM risau untuk berundur. Orang yang ditarbiah sudah tentu sentiasa sudi menerima tunjuk ajar mahupun teguran daripada individu yang bergelar mantan pimpinan.


Merdeka menjelang lagi 0 comments

Sudah 52 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Bagi penulis, selaku manusia yang baru meyedari hakikat kemerdekaan selama 11 tahun, tidak banyak yang boleh penulis banggakan. Minda ini mencapai kematangan ditengah-tengah krisis reformasi yang telah melonjak akal keanakan pada ketika itu untuk memahami dunia politik. Lantas tafsiran radikal terus lahir dengan menyatakan politik DR M terlalu kejam apabila beliau sanggup menzalimi rakan sekerja. Biar sebesar manapun salah Anwar Ibrahim, adalah tidak molek untuk beliau diaibkan sebegitu rupa.

Sejak itu kemerdekaan pada perkiraan penulis sudah dianggap seperti jasad kosong yang tidak lagi membawa pengertian yang perlu disanjung tinggi. Bahkan jasa kemerdekaan kerap disalah erti dan dijadikan benteng kebal oleh pemerintah dalam meraih semula simpati rakyat yang semakin beralih angin. Tambah menyedihkan selama 52 tahun yang telah berlalu masih ramai pejuang sejati yang dinafikan hak penghormatan terhadap mereka. Sehingga kini masih ramai yang tidak mengenali siapa sebenarnya Burhanuddin Al Helmi. Apatah lagi nama mujahid zuhud Abu Bakar Al Baqir yang rela syahid asal tidak tunduk pada tali barut barat yang bertopengkan perpaduan dan keamanan. Maka kemerdekaan kita terus menganiaya mereka dengan tanggapan pesimis rakyat yang telah disemai oleh kerajaan ciptaan British.