PANDANGAN :
MAHASISWA PARTISAN (SAYAP PARTI POLITIK),
ANTARA HAK DAN KEPERLUAN


Mula mula Parti Keadilan Rakyat muncul dengan sayap keadilan kampus, dan kini muncul pula idea Ketua Pemuda Umno yang juga ingin menubuhkan Kelab Umno Kampus. Dari sisi positif, kewujudan kelab mahasiswa sayap parti ini merupakan dimensi baru politik anak muda. Oleh itu penulisan ini sekadar ingin memberi perspektif sepintas lalu mengenai pro dan kontra perkembangan politik gerakan mahasiswa ini.  Selama ini Gerakan Mahasiswa sememangnya bergerak secara politikal, namun pindaan AUKU 2012 telah memberi ruang untuk mahasiswa terlibat secara langsung dengan politik kepartian. 

Dalam menilai suasana politik baru mahasiswa ini, kita tidak boleh sekadar bersandar pada hujah ikut-ikutan. Penilaian yang teliti perlu dibuat bagi memastikan mahasiswa benar-benar boleh berperanan sebagai salah satu komposisi penting masyarakat. Gerakan Mahasiswa perlu jelas halatuju yang ingin dicapai dan seterusknya meletakkan posisi yang sesuai samada ingin terus menjadi gerakan Non Partisan, Sayap Partisan atau terus berevolusi menjadi Parti Politik. Hal ini mungkin sedikit janggal untuk lanskap politik Malaysia, namun tidak bagi Negara membangun yang lain termasuk jiran terdekat Indonesia.

SEKILAS PERSEPSI PRO

Selepas pindaan AUKU 2012 diwartakan, anak muda yang berada di institusi pengajian tinggi kini bebas untuk terlibat dengan aktiviti politik kepartian setelah hampir 40 tahun mahasiswa dibiar menjadi penonton bisu kepada permainan politik nasional. AUKU akhirnya telah menjadi faktor penting yang telah menyebabkan kelahiran generasi masyarakat yang lesu dan bersikap prejudis terhadap politik kepartian. Politik pilihanraya yang menjadi teras demokrasi Malaysia menjadi terlalu asing bagi rakyat sehingga menjadi terlalu sukar bagi pemain politik untuk membangkitkan minat rakyat untuk terlibat secara langsung dalam proses demokrasi ini.

Walaupun terdapat faktor lain yang mematikan minat rakyat terhadap politik pilihanraya atau kepartian, namun faktor-faktor tersebut hanya bertindak secara tidak langsung seperti ugutan terhadap kakitangan awam dan suasana politik bercelaru yang menyebabkan rakyat jemu dengan perbalahan politik yang tidak sihat. Tetapi AUKU merupakan jentera yang kemas dan terancang dalam mematikan kecaknaan anak muda terhadap politik pilihanraya yang akhirnya melahirkan generasi malas mengundi. AUKU mencantas potensi anak muda untuk meminati politik dengan menghalang mahasiswa untuk mendekati politik kepartian. Natijahnya, masyarakat yang keluar daripada Universiti menjadi terlalu sinikal dengan parti-parti politik yang disifatkan sebagai kelompok berkepentingan demi mengejar kekuasaan.

Oleh itu penubuhan Kelab Mahasiswa sayap parti politik di kampus merupakan satu solusi bagi memulihkan kecenderungan masyarakat kampus terhadap politik pilihanraya. Inisiatif ini juga boleh dijadikan alat untuk menguji sejauh mana ketulusan pihak Kerajaan dalam membuka ruang kepada mahasiswa untuk terlibat dengan politik kepartian.

Kewujudan politik kepartian di kampus juga membolehkan masyarakat kampus memahami selok belok politik Malaysia secara langsung. Hal ini menjadi pendidikan tidak formal yang akhirnya melahirkan generasi anak muda yang sebati dengan proses demokrasi yang matang. Namun, jika aktiviti politik di kampus itu digerakkan oleh pemain politik dari luar, sudah pasti mahasiswa yang menjadi golongan sasar akan berasa janggal akibat sentimen yang telah berakar.   Oleh itu, Politik kampus perlu digerakkan oleh mahasiswa sendiri bagi membolehkan aktiviti kepartian itu lebih dekat dengan masyarakat kampus.

Apabila politik kepartian dipelopori oleh mahasiswa sendiri, manfaatnya bukan sekadar mampu menjadi wahana pendidikan politik kepada masyarakat kampus, namun turut menjadi mekanisme melahirkan generasi pelapis kepimpinan Negara.

Namun, apakah gerakan mahasiswa partisan ini satu keperluan pada masa ini?.. TIDAK !!!.
KERANA :

MAHASISWA PERLU FOKUS PADA USAHA  MEMBERDAYA RAKYAT. (EMPOWERING THE PEOPLE)

Sekiranya disemak kepada peranan mahasiswa dalam sejarah, sememangnya semua pihak mengakui betapa signifikannya fungsi mahasiswa sebagai juru bicara rakyat. Mahasiswa tidak boleh lari daripada peranan memberdayakan rakyat mengenai konsep bernegara. Peranan ini merupakan perkara asas yang perlu diutamakan bagi melahirkan rakyat yang sentiasa merasa bertanggungjawab untuk menjaga dan membangunkan Negara. Hanya rakyat yang sedar mengenai tanggungjawab ini mampu mengurus kefahaman politik dan mengamalkan demokrasi secara bertanggungjawab.

Di tengah-tengah kecelaruan politik nasional, mahasiswa menjadi lapisan akhir untuk rakyat meletak kepercayaan. Hal ini bukan sahaja tertulis dalam sejarah Malaysia, tetapi juga tercatat dalam sejarah Indonesia, Iran, Korea Selatan dan banyak lagi Negara Negara lain yang memiliki sejarah gerakan mahasiswa tersendiri. 

Tidak adil sekiranya parti politik hanya memberi contoh gerakan mahasiswa luar Negara yang menjadi sayap parti politik sebagai hujah untuk menyokong keperluan mewujudkan gerakan mahasiswa sayap parti di Malaysia. Parti Politik seharusnya melihat bagaimana gerakan mahasiswa berfungsi secara keseluruhan. Kebanyakan gerakan mahasiswa yang menjadi sayap parti politik di luar Negara lebih memainkan peranan sebagai agen yang mempromosikan polisi-polisi parti induk masing-masing seperti Oxford University Liberal Democrat menjadi agen penerangan kepada Parti Liberal Democrat.

Maka sudah pasti parti politik Malaysia juga mengharapkan peranan yang sama untuk digerakkan oleh gerakan mahasiswa yang dinaungi mereka. Hal ini perlu disedari dan dipertimbangkan oleh gerakan mahasiswa yang berada di Malaysia. Biarpun ada suara yang mengatakan mahasiswa masih boleh berperanan diluar skop parti walaupun menjadi sayap parti, namun pertimbangan yang perlu dilakukan bukan sekadar disekitar “masih boleh berperanan”, tetapi lebih penting  ialah sejauh mana peranan itu mampu memberi kesan terhadap objektif. 

Sebagai contohnya, walaupun kebanyakan gerakan mahasiswa di United Kingdom merupakan sayap kepada organisasi politik, namun dalam isu-isu utama yang melibatkan kepentingan rakyat, mereka membentuk UK National Union of Student (NUS)  yang dianggotai pelbagai organisasi mahasiswa daripada pelbagai aliran politik.  NUS merupakan badan mahasiswa yang paling vokal dalam mengutarakan isu-isu nasional dan antarabangsa. Hal Ini menunjukkan biarpun dinaungi parti, namun gerakan mahasiswa di UK masih memiliki platform yang kelihatan adil dan tidak bias kepada mana-mana kepentingan politik. Oleh itu, gerakan yang tidak ditempel dengan kepentingan politik masih menjadi nadi utama kepada gerakan mahasiswa United Kingdom. 

Selain itu, Gerakan Mahasiswa juga perlu melihat kepada lanskap politik Negara-negara luar sebelum meniru corak permainan politik mereka. Antara Negara yang memiliki gerakan mahasiswa sayap parti yang terkemuka adalah seperti United Kingdom, Georgia, Bangladesh dan India. 92 % hingga 98 % rakyat ke empat-empat negara ini yang layak mengundi telah mendaftar sebagai pengundi. Berbanding dengan Malaysia yang mencatat 73% pendaftaran pengundi daripada jumlah yang layak mengundi.

Signifikan daripada fakta ini ialah, mungkin masanya sudah sesuai untuk gerakan mahasiswa di United Kingdom, Georgia, Bangladesh dan India melangkah kehadapan dengan terlibat secara langsung dalam  persaingan polisi parti politik masing-masing.  Hal ini kerana jumlah pendaftaran pengundi yang tinggi menunjukkan rakyat Negara tersebut sedar dan faham mengenai keperluan untuk mereka terlibat dalam arus politik nasional. Oleh itu Gerakan Mahasiswa di sana boleh berevolusi daripada berperanan sebagai pencerah mengenai hak dan demokrasi kepada pemudah cara untuk rakyat memilih parti yang terbaik sebagai pemerintah.

Berbeza bagi Malaysia, masih ada peratusan besar rakyat yang bersikap negatif terhadap keperluan untuk terlibat dengan arus politik dan demokrasi. Hal ini didorong oleh pendidikan politik yang tempang dan sistem politik bercelaru yang membingungkan rakyat. Keadaan tambah rumit apabila parti yang memegang tampuk pemerintahan tidak berlaku jujur dengan menafikan hak parti lain daripada menyampaikan polisi masing-masing melalui saluran media yang adil. Hasilnya rakyat sentiasa terdidik dengan doktrin tidak sihat yang menyebabkan lahir pemikiran ekstrim kepartian tanpa menilai pasak rasional dan kebenaran.  

Tidak cukup dengan kurangnya kecaknaan rakyat terhadap politik, mahasiswa dalam universiti juga mengalami masalah yang sama. Hakikatnya hanya 7 % mahasiswa yang benar benar cakna tentang situasi politik Negara. Angka ini dinyatakan oleh Prof Abu Hassan Hasbullah dalam satu forum yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia. Oleh itu masih ada 93 peratus anak muda di pusat pengajian tinggi yang perlu dibangunkan kesedaran mereka mengenai tanggungjawab bernegara.

Perkara inilah yang perlu dinilai oleh gerakan mahasiswa samada bersedia untuk menjadi suara parti politik, atau mahasiswa masih perlu fokus kepada peranan memberdaya rakyat Malaysia sebagai komposisi terpenting Negara. 

MENJADI SAYAP PARTI , MAHASISWA HILANG KEISTIMEWAAN KALIMAH “KEBENARAN”

Sebelum ini, Gerakan Mahasiswa sering mencanangkan bahawa mahasiswa tidak ditunggang oleh mana-mana pihak dan hanya berpihak pada kebenaran. Oleh itu, jika Gerakan Mahasiswa memilih untuk dinaungi parti tertentu, apakah itu membawa maksud kebenaran hanya wujud pada parti tersebut?. 

Dengan menjadi sayap parti, mahasiswa sudah pasti masih boleh berkata-kata atas paksi kebenaran, namun ruang untuk masyarakat mempercayai kata-kata itu semakin sempit akibat kepentingan parti politik yang menempel.  Apabila mahasiswa bercakap soal kebenaran, maka masyarakat yang sinikal akan menganggap ucapan itu sekadar mempromosikan idea parti politik yang menaungi gerakan mahasiswa. Sememangnya tidak salah untuk terus berkata benar sebagai sayap parti walaupun rakyat sukar menerimanya. Namun sekiranya Gerakan Non Partisan itu lebih berkesan untuk membuka hati rakyat bagi menerima idea pencerahan, mengapa perlu Gerakan Mahasiswa menjadi sayap parti politik. 

Gerakan Mahasiswa mungkin perlu lebih mirip kepada konsep Badan Bukan Kerajaan yang tidak terikat dengan mana-mana kepentingan politik. Sekiranya diteliti, antara faktor yang mendorong kesedaran rakyat di Negara-negara seperti yang dinyatakan di atas ialah gerakan Badan Bukan Kerajaan mereka yang aktif membangunkan kesedaran rakyat. Sebagai contohnya, Bangladesh memiliki sbuah NGO yang tercatat dalam senarai 10 NGO terbaik dunia iaitu BRAC (Bangladesh Rural Advancement Committee) yang memperjuangkan isu kemiskinan rakyat Bangladesh dan juga masyarakat antarabangsa.


Mengapa perlu gerakan mahasiswa terburu-buru mengambil contoh gerakan mahasiswa eropah dalam berilfiltrasi menjadi sayap parti politik? Kenapa kita tidak melihat gerakan mahasiswa Gwangju, Korea Selatan yang sehingga ke hari masih mempertahan status Non Partisan biarpun 98% rakyat Korea Selatan yang layak mengundi telah mendaftar sebagai pengundi. Begitu juga dengan Kumpulan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI) yang begitu keras mempertahankan status Non Partisan biarpun banyak pihak yang cuba mengatakan mereka memiliki hubungan struktural dengan Partai Keadilan Sejahtera, Indonesia. Sifat Non Partisan inilah yang mendorong tercetusnya reformasi 98 yang menggulingkan pemrintahan koruptor dan seterusnya mendidik rakyat Indonesia sehingga 99 % yang layak mengundi telah mendaftar sebagai pengundi.

MAHASISWA PERLU TOLAK TOHMAHAN “PERJUANGAN 40 TAHUN AUKU KERANA MAHASISWA KETAGIH POLITIK”

Perjuangan AUKU selama 40 tahun bukan semata-mata ingin menuntut hak mahasiswa untuk menjadi ahli politik. Hal yang perlu difahami ialah perjuangan mahasiswa menentang AUKU ialah untuk memulihkan status universiti sebagai gedung ilmu yang berautonomi dan tidak dimanipulasi oleh undang-undang sempit yang menjaga kepentingan pemerintah.

Oleh itu Gerakan Mahasiswa perlu berhati hati dalam berevolusi menjadi sayap parti politik. Gerakan Mahasiswa perlu terlebih dahulu perlu menetapkan pendirian samada ingin mengiktiraf pindaan AUKU atau menolak secara total undang-undang lapuk berkenaan. Sekiranya mahasiswa menolak pindaan AUKU, namun dalam masa yang sama Gerakan Mahasiswa mengiktiraf ruang untuk menjadi ahli politik, maka tindakan itu akan dilihat tidak konsisten dengan pendirian. Hal ini sama seperti sikap tidak konsisten sesetengah gerakan yang menolak Akta Perhimpunan Aman 2012 tetapi dalam masa yang memohon kebenaran Polis untuk berhimpun secara aman.

Sikap gopoh menjadi sayap parti politik ini akan mengiktiraf tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab yang selama ini mengatakan perjuangan mahasiswa menentang AUKU hanyalah untuk kepentingan politik parti tertentu. 

MAHASISWA BERSEDIA MENJADI AGEN PARTI, TETAPI PARTI POLITIK BELUM BERSEDIA MENERIMA MAHASISWA

Melihat kepada situasi semasa politik malaysia, persaingan antara parti lebih cenderung kepada politik kuasa dan kekuatan. Parti politik kurang mempertaruhkan pertandingan idea, tetapi lebih kepada perebutan kuasa sehingga sanggup bermain kotor seperti  politik wang, fitnah, dan samseng. Bilangan pengikut yang ramai dijadikan dalil untuk menunjukkan kekuatan sesebuah parti politik. Lebih parah apabila Parti Politik yang memerintah gagal membezakan antara kepentingan rakyat dan kepentingan parti menyebabkan rakyat menilai tujuan politik hanyalah untuk kekuasaan.

Politik di Malaysia juga menunjukkan persaingan pra-matang apabila sering berlaku prejudis antara parti. Idea parti lawan sering dilabel negatif walaupun idea itu boleh dibincangkan demi kepentingan rakyat. Akhirnya imej yang terbentuk ialah parti politik sering bermusuhan antara satu sama lain sehinggakan kepentingan rakyat dikorbankan. Sikap ini merebak sehingga ke peringkat ahli dan penyokong parti menyebabkan prejudis yang menebal antara satu sama lain.
  
Parti politik di Malaysia dilihat bukan sahaja gagal mengurus hubungan antara parti, tetapi juga kurang berjaya dalam menghidupkan budaya demokrasi di peringkat dalaman parti. Perbezaan pandangan antara pemimpin sesebuah parti sering memperlihatkan bagaimana berlakunya polemik tidak sihat sehingga mewujudkan blok blok yang berbeza. Blok yang dimaksudkan disini ialah kumpulan kumpulan tertentu dalam sesebuah parti yang dipisahkan dengan ideologi berbeza.  Sememangnya perbezaan adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, namun perbezaan yang berjaya diurus tidak akan mewujudkan blok yang hanya melemahkan kesatuan sesebuah parti.  Idea berbeza sering dianggap sebagai ancaman sehingga menyebabkan pembawa idea sering ditekan dan idea itu dipinggirkan. Kegagalan mengurus perbezaan ini menyebabkan proses perkembangan parti politik di Malaysia terlalu perlahan jika dibandingkan dengan parti politik di Negara-negara membangun yang lain.
   
Terbukanya ruang untuk mahasiswa menjadi sayap parti politik bermakna ruang untuk Parti Pemerintah mendiskriminasi parti lawan juga semakin terbuka. Sekiranya sayap mahasiswa pembangkang dan sayap mahasiswa kerajaan tertubuh seacra rasmi, maka persaingan tidak sihat juga berpotensi untuk berlaku secara halal. Sudah pasti sayap mahasiswa parti kerajaan akan mempunyai kelebihan yang sama seperti yang dimiliki parti kerajaan. Maka lanskap politik mahasiswa juga akan tercemar dengan diskriminasi oleh pihak yang memegang kuasa.

Oleh itu, memetik ucapan Dato S. Ambiga apabila ditanya wartawan selepas pihak tidak bertanggungjawab melakukan aksi senaman punggung dihadapan rumahnya, beliau mengatakan tindakan mengamalkan demokrasi dengan cara tidak sihat seolah-olah membiarkan rakyat bermain di tepi cerun yang licin (Slippery Slope). Hal ini kerana ruang demokrasi yang digunakan secara membuta tuli hanya akan menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebebasan yang ada.

Gerakan Mahasiswa perlu berperanan dalam mengislah budaya politik dalam kalangan Parti Politik di Malaysia. Sekiranya gerakan mahasiswa mampu memberdaya rakyat agar lebih celik demokrasi, maka keadaan ini akan memaksa Parti Politik untuk lebih serius dalam mempraktikkan politik ilmu, nilai dan prestasi. Semestinya tugas semak dan imbang ini akan lebih berkesan sekiranya dilaksanakan atas kapasiti Non Partisan dengan mengambil kira lanskap politik rakyat Malaysia.

KESIMPULAN

Memberdaya kesedaran rakyat untuk terlibat dengan demokrasi berpaksikan ilmu, rasional, dan prestasi, merupakan tugas utama Gerakan Mahasiswa di Malaysia. Sememangnya menjadi hak mutlak setiap Gerakan Mahasiswa untuk memilih samada ingin menjadi pemain politik kepartian secara langsung. Namun Gerakan Mahasiswa perlu membuat pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira faktor keperluan dan keutamaan.

Gerakan Mahasiswa perlu memikirkan antara hak untuk menjadi sayap parti dan keperluan memberdaya rakyat berpaksikan politik ilmu, rasional dan prestasi.



Tulisan ini disiarkan Malaysiakini bertarikh 5/9/2012

PERTEMUAN KUNING MALAM MERDEKA, PERINGATAN BUAT KERAJAAN MALAYSIA 0 comments


PERTEMUAN KUNING MALAM MERDEKA, PERINGATAN BUAT KERAJAAN MALAYSIA

Setiap rakyat Malaysia yang mengimpikan sebuah Pilihanraya yang bersih dan adil semestinya menyokong penuh penganjuran Janji Bersih yang dijadualkan akan berlangsung pada malam ambang Merdeka ini. Pertemuan aman berbaju kuning ini merupakan satu lagi acara solidariti rakyat Malaysia untuk menyuarakan tuntutan agar pihak kerajaan menunaikan janji membersihkan sistem Pilihanraya. Penganjuran Janji Bersih di ambang merdeka ini tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman kepada sambutan kemerdekaan kerana Hari Kemerdekaan adalah milik setiap rakyat Malaysia. Oleh itu terpulang kepada setiap rakyat Malaysia untuk menjiwai sambutan kemerdekaan samada ingin berbaju kuning, biru, hijau mahupun merah. Apa yang penting ialah sambutan kemerdekaan mestilah penuh etika dan tidak melanggari batas tatasusila yang sudah sebati dengan budaya rakyat Malaysia. 

Melihat kepada lemahnya komitmen kerajaan dalam melaksanakan transformasi terhadap sistem pilihanraya, adalah wajar untuk rakyat meneruskan desakan secara konsisten. Oleh itu pertemuan kuning malam ambang Merdeka ini sangat bersesuaian dengan tema sambutan kemerdekaan peringkat persekutuan iaitu Janji Ditepati. Kerajaan Malaysia tidak seharusnya berpuas hati dengan laungan transformasi dan perlaksanaan beberapa inisiatif seperti TR1MA dan BR1MA, sedangkan masalah pokok yang lebih penting untuk masa depan demokrasi masih tidak diselesaikan.

Pihak Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada permasalahan yang lebih utama iaitu melaksanakan tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil. Pilihanraya merupakan hak hakiki setiap rakyat yang perlu dijaga dan dihormati. Membiarkan pilihanraya berlangsung dengan penuh kecelaruan merupakan pengkhianatan yang serius terhadap hak rakyat.

Pilihanraya yang tidak bersih seolah-olah menutup peluang rakyat untuk memilih kepimpinan Negara secara adil setelah mereka membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan sedia ada. Sekiranya Kerajaan benar-benar menjunjung prinsip rakyat diutamakan, Kerajaan seharusnya jujur dalam menyediakan ruang demokrasi yang adil untuk rakyat memilih pemimpin. Pilihanraya yang bersih dan adil juga akan menjadi satu evaluasi yang telus untuk mengukur tahap penerimaan rakyat terhadap segala usaha yang telah kerajaan lakukan.  

Sekiranya Kerajaan Malaysia tidak menyemarakkan usaha menyuburkan demokrasi, maka sudah pasti semangat demokrasi dalam kalangan rakyat juga akan menjadi suram. Alexander Woollcott seorang tokoh sejarah Amarika pernah membuat satu kenyataan yang disiarkan dalam New York Megazine yang mengatakan demokrasi hanya akan berfungsi, sekiranya manusia menggunakannya dengan baik. Oleh itu apabila pilihanraya dibiarkan tercemar, maka tidak hairan sekiranya rakyat memilih jalan raya sebagai alternatif demokrasi yang lain.

Setelah 55 tahun merdeka, adalah tidak wajar untuk kerajaan Malaysia terus membiarkan sistem pilihanraya berjalan dalam keadaan yang cukup meragukan. Lebih parah apabila pilihanraya ini dibiarkan kotor dalam keadaan cabang-cabang demokrasi yang lain juga masih tidak hormati seperti sekatan terhadap kebebasan media, limitasi terhadap hak berhimpun dan masih ada tahanan tanpa bicara yang belum dibebaskan.

JIka Kerajaan ingin sambutan 55 tahun kemerdekaan menjadi lebih bermakna, maka Kerajaan perlu bersedia untuk membuat perubahan besar dalam arena demokrasi Malaysia. Mengulangi cerita yang sama pada setiap 31 Ogos hanya menimbulkan rasa bangga pada sejarah, tetapi tidak memberi sebarang makna sekiranya Negara dibiarkan berada dalam keadaan demokrasi lapuk.

Adalah amat dirisaukan sekiranya kerajaan membiarkan Negara terlalu lama berada dalam keadaan demokrasi usang, rakyat mungkin akan hilang percaya pada pilihanraya. Akhirnya rakyat terpaksa memilih jalan-jalan demokrasi yang lain seperti mana yang digunakan oleh rakyat mesir dalam menumbangkan regim diktator Hosni Mubarak.   

Oleh itu keberadaan lapisan rakyat berbaju kuning pada malam ambang merdeka diharap dapat mengingatkan pihak kerajaan agar segera mengambil inisiatif untuk memulihkan keadaan demokrasi Malaysia. Hal ini perlu dimulakan dengan melaksanakan tuntutan BERSIH agar kepercayaan rakyat terhadap pilihanraya dapat dipulihkan.

Sekian


Tulisan ini disiarkan Harakahdaily bertarikh 14/8/2012


55 TAHUN MERDEKA, ISA MASIH MENJAJAH

Oleh :
Syukri Razab
Penyelaras Suaram,
Sekretariat Gerakan Mansuhkan ISA

Pelbagai isu berlaku bersempena dengan bulan kemerdekaan ini. Bermula dengan slogan Janji Ditepati yang dikritik hebat, kini logo dan lagu tema kemerdekaan ke 55 juga mengalami respon negatif daripada masyarakat umum. Keadaan ini menunjukkan Barisan Nasional seperti terlalu terdesak dalam menagih sokongan rakyat. Sifat desprado ini hanya menimbulkan rasa jelek yang merosakkan mood rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan. Adalah amat tidak bertanggungjawab bagi sesebuah parti untuk menggunakan hari bersejarah milik seluruh rakyat demi menjaga kepentingan politik tertentu. 

Jika soal logo dan lagu pun tidak berjaya ditangani dengan baik, maka tidak hairan isu ISA masih tidak selesai. Sudah hampir setahun sejak ISA diumumkan mansuh oleh Perdana Menteri, namun masih ada 42 orang tahanan ISA terkurung diceruk Kem Tahanan Kamunting. Apalah erti Hari Merdeka bagi mereka. Sejak 2010 mereka disumbat ke dalam Neraka ISA dan diperlakukan seperti binatang. Dapat dibayangkan betapa jeleknya perasaan kesemua tahanan ISA dengan slogan slogan seperti Janji Ditepati mahupun Satu Malaysia. Sejak 2010, pelbagai slogan melintasi ruang udara Kem Tahanan, namun mereka masih dikurung tanpa diperlakukan dengan sewajarnya sebagai seorang manusia.

Ditahan dengan pertuduhan atas angin, tahanan ISA ini terus dikurung tanpa diberi peluang untuk membela diri di Mahkamah. Kerajaan terus mempertahankan tindakan ini dengan mengatakan mereka bertindak berasaskan maklumat risikan. Namun tidak ada siapa yang berhak mencabar keabsahan maklumat risikan ini selain daripada Menteri Dalam Negeri. Oleh itu jika Menteri menganggap maklumat itu betul, maka tahanan akan dikurung bertahun lamanya di Kem Tahanan Kamunting.

Apakah ISA menyelesaikan masalah? Tidak sama sekali. Bahkan ISA hanya menjadi medan mengasah dendam antara rakyat dan kerajaan. Individu yang ditahan bukan sahaja dihukum tanpa bicara, tetapi turut diseksa dengan pelbagai jenis penderaan fizikal dan mental. Sami Hammood, seorang tahanan warga Iraq, diperlakukan bagai binatang semasa dalam tempoh 60 hari pertama di bawah ISA. Dibelasah, dibogelkan, dilumur cili kisar seluruh badan, bahkan cili turut disumbat ke bahagian sulit, apakah ini kaedah yang dikatakan akan menyelesaikan masalah?

Mustawan Ahbab seorang pemuda Indonesia yang telah lama tinggal di Malaysia, bahkan dia juga merupakan graduan lepasan universiti tempatan. Ogos 2010 menjadi sejarah hitam buat seluruh keluarga Mustawan apabila dia ditangkap dihadapan anak dan isterinya. Lebih pilu apabila peristiwa itu berlaku selepas keluarga itu baru selesai bersahur pada hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa. Rumahnya digeledah sehingga bakul pakaian yang hendak dibasuh juga diselongkar. Anak kecil Mustawan yang berumur setahun lebih merangkak dan duduk di atas riba bapanya sewaktu bapanya itu dipaksa duduk bersila atas lantai dalam keadaan kepala diserkup dengan kain hitam. Polis memberitahu Isteri Mustawan bahawa suaminya akan dibebaskan dalam masa seminggu. Dalam keadaan kebingungan Isteri Mustawan hanya mampu percaya kata-kata Polis itu. Namun hakikatnya, Oktober ini genap 2 tahun Mustawan dikurung di Kem Tahanan Kamunting.

Seorang lagi tahanan ISA, Radzali Kassan terpaksa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan setelah 8 hari tidak mengambil makanan dan minuman. Tidak cukup dengan itu, Radzali diterajang, ditampar bahkan diludah di muka oleh pegawai Kem Tahanan kerana enggan berhenti daripada mogok lapar. Semasa Radzali ditahan, Isterinya diminta untuk memberi kerjasama dengan tidak berhubung dengan mana-mana NGO ataupun Media, dengan itu suaminya akan dijaga dengan baik dan akan dibebaskan awal. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Walaupun isterinya akur pada arahan Polis, Radzali Kassan tetap dibelasah semasa berada dalam tahanan dan hanya akan dibebaskan pada Mac 2013 berdasarkan perintah tahanan.
Selain Mustawan, Radzali dan Sammy, masih ada 39 orang lagi tahanan ISA yang semestinya memiliki cerita tersendiri mengenai kezaliman yang telah mereka alami. Kesemua penyeksaan yang mereka alami ini bukanlah cerita baru. Tetapi merupakan sambungan kepada episod kezaliman yang pernah dilalui oleh bekas tahanan ISA yang lalu.

Saya kira, ISA hanya menjadi medan yang menyemarakkan dendam antara rakyat dan pemerintah. Laungan seperti tranformasi, Janji ditepati, demokrasi dan sebagainya hanya menaikkan rasa jelek rakyat terhadap pemimpin yang menyembunyikan kezaliman disebalik slogan.

Apalah makna kemerdekaan bagi mangsa akta zalim ISA? Dapat saya bayangkan betapa membaranya kemarahan para isteri, dan anak-anak tahanan mendengar laungan Kemerdekaan pada setiap 31 Ogos dalam keadaan suami atau ayah mereka masih tidak bebas daripada penjajahan akta zalim ISA.