Amaran Menteri Pengajian Tinggi : satu lagi hambatan terhadap mahasiswa 0 comments

Amaran dan halangan : Politik pra-matang Menteri Pengajian Tinggi

Tidak cukup dengan pencemaran demokrasi dalam pilihanraya kampus yang lalu, kini Menteri pengajian tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sekali lagi melangkah ke belakang apabila memberi amaran kepada mahasiswa agar tidak terlibat dengan Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Tanpa hujah yang rasional, Menteri Pengajian Tinggi pada pandangan penulis telah mengeluarkan kenyataan pra-matang apabila memberi amaran kepada mahasiswa agar tidak terlibat dengan kempen yang akan berlangsung. Menteri Pengajian Tinggi seolah-olah tidak pandai membaca mood politik mahasiswa yang semakin tidak senang dengan posisi beliau sebagai ‘Kepala’di Kementerian Pengajian Tinggi. Perkembangan ini menjadikan Dato’ Seri Mohamed Khaled semakin tenggelam berbanding Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang dilihat lebih dekat dengan aspirasi baru mahasiswa. 

Amaran dan halangan : Membantutkan pendidikan politik untuk pemimpin muda.
Seharusnya dalam suasana politik yang semakin rencam dan mengelirukan, Menteri Pengajian Tinggi selaku individu yang bertanggungjawab perlu memberi kelonggaran kepada mahasiswa untuk lebih mengenali politik dalam erti kata yang sebenar. Mahasiswa yang mengenal politik dari jauh tidak akan memiliki tahap capaian yang sama berbanding mahasiswa yang turun sendiri ke medan politik secara langsung. Mahasiswa perlu diberi peluang untuk membuat tafsiran secara mandiri setelah mereka terdedah dengan pesta kempen yang bermacam ragam dan cara. Biarkan mahasiswa mengetahui apakah erti kempen kotor, kempen saraf, kempen wang, kempen bersih dan kempen adil. Rencam inilah yang akan melahirkan pemimpin muda yang matang dan memiliki matlamat kepimpinan yang jelas. Limitasi terhadap kebebasan mahasiswa untuk turut berkempen akan membantutkan proses kematangan mahasiswa dalam memahami dan mengurus fahaman politik. Adalah tidak wajar bagi sebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi menghalang rakyatnya daripada menjiwai dan mengamalkan sistem tersebut.

Amaran dan halangan : Membunuh masa depan demokrasi
Pandangan Menteri tidak sepatutnya terlalu sempit dan hanya tertumpu kepada mahasiswa yang turun sebagai anti kerajaan ataupun pro pembangkang. Bagi penulis, mahasiswa perlu dibenarkan untuk turun ke medan politik kepartian sebagai agen semak dan imbang sekaligus mengukur tahap pengamalan demokrasi di Malaysia. Pro kerajaan ataupun Pro pembangkang adalah tidak penting jika diukur pada faedah yang bakal dimiliki oleh mahasiswa hasil daripada pengalaman yang diperolehi secara lansung di medan demokrasi. Menteri sepatutnya memahami bahawa suasana politik masyarakat Malaysia di masa akan datang ditentukan oleh kematangan politik mahasiswa pada hari ini. Jika kefahaman mahasiswa mengenai politik dibiarkan kontang, maka sudah pasti mereka bakal menjadi anggota masyarakat yang pasif dan tidak tahu untuk menghargai demokrasi. Kefahaman politik yang dimaksudkan oleh penulis ialah, kematangan mahasiswa untuk menilai tahap demokrasi secara mendalam sekaligus bijak mengurus perbezaan politik dan tahu bertindak bagi mewujudkan suasana demokrasi yang lebih terbuka. Apakah suatu masa nanti kita ingin menyaksikan kekacauan politik akibat kegagalan rakyat menghormati semangat demokrasi?.

Amaran dan halangan : Patriotisme yang terhalang
Sebagai menteri yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin perlu bertindak secara telus atas dasar cintakan Negara dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang didasari kecenderungan politik beliau. Sifat prejudis Menteri Pengajian Tinggi terhadap mahasiswa ini akan mengakibatkan membarahnya persepsi negatif yang menyifatkan mahasiswa sebagai mangsa kekalutan politik Barisan Nasional. Menteri sepatutnya melihat kebangkitan mahasiswa sebagai harapan kepada Negara dan bukannya mengukur kebangkitan tersebut sebagai ancaman kepada parti. Pada perkiraan penulis, Menteri Pengajian Tinggi perlu menilai dari segenap sudut sebelum menghukum mahasiswa yang berkempen dengan persepsi yang negatif. Jika benar mahasiswa terlibat dengan agenda kempen yang ‘tidak sihat’, maka perlu ada pemantauan yang sewajarnya dilakukan. 

Kesimpulan.
Saya kira, isu ini tidak memerlukan kupasan yang bersifat terlalu akademik kerana logik yang biasa juga boleh mengukur samada limitasi tersebut bermoral ataupun tidak. Saya percaya mahasiswa sudah cukup matang untuk bertindak secara rasional tanpa perlu campur tangan daripada pihak luar. Sudah tiba masanya untuk pihak Menteri Pengajian Tinggi memberi kepercayaan kepada mahasiswa untuk menyumbang secara terus dalam memperbaiki sistem demokrasi Malaysia. Saya mengakui bahawa pilihanraya tidak boleh dijadikan alat tunggal untuk mengukur tahap demokrasi di Malaysia, namun saya juga meyakini bahawa tanpa pilihanraya yang bersih dan adil, demokrasi pasti mati. Saya bukan hanya berbicara soal untuk melahirkan pengundi yang cemerlang, namun saya juga mempersoalkan apakah relevan amaran Menteri Pengajian Tinggi jika kita ingin melahirkan pemimpin politik yang terbilang.

Dasawarsa Kebangkitan Mahasiswa 0 comments

2009 dan 2010 akan mencipta sejarah baru untuk Malaysia. Sejarah yang bakal mewarnai buku-buku tulisan generasi akan datang. Peristiwa ini juga akan meniti di bibir manusia dan terus menjadi topik perbualan para pencinta sejarah. Biarpun hal ini bukan suatu perkara yang pasti, namun kebangkitan Mahasiswa pasca 09/10 tetap akan menjadi menjadi titik pemula untuk satu dasawarsa yang baru dan menjadi simbolik kepada kelahiran semula roh perjuangan 1970-1980. Dasawarsa ini juga akan mencetak helaian cerita yang bakal dipersenda seperti mana generasi terdahulu yang telah memulakan sejarah yang tidak pernah diiktiraf. Bahkan adalah tidak mengejutkan jika dasawarsa ini akan dikategorikan sebagai sejarah hitam Malaysia yang telah dinodai oleh Mahasiswa. Apa juga bentuk persepsi yang bakal timbul, kebangkitan ini tidak akan berhenti sehingga dasawarsa ini sempurna dengan sejarah demi sejarah yang baru.

Justifikasi.

1. Namun amat menyedihkan jika kebangkitan ini terlalu cepat mengalah pada waktu. Belum sempat roh revolusi sampai kepada rakyat, mahasiswa sudah lelah akibat ketandusan matlamat dan cara. Persoalan yang sering dilemparkan oleh mereka yang dengki kepada mahasiswa ialah, apakah aktivisma mahasiswa abad ini memiliki survival yang kukuh??? Mereka mencipta tanggapan bahawa golongan mahasiswa hari ini hanya membina tugu sementara dan akan roboh apabila tidak bergelar mahasiswa. Aktivis hanya mencari kepuasan dengan melepaskan semangat muda kerana menyedari risiko yang mendatang tidak sehebat mana. Hujah mereka berdasarkan pembawaan mahasiswa yang hanya berlegar di sekitar isu kampus dan terlalu kurang menyentuh sensitiviti masyarakat. Isu kampus selalunya akan mati di kampus dan kematian itu akan mengheret semangat aktivisma mahasiswa ke kubur yang sama.

2. Mahasiswa sering berteriak dengan laungan "student power" dan bermacam lagi istilah perjuangan. Namun apakah mahasiswa tidak menyedari bahawa "kuasa" yang sering dijeritkan itu tidak langsung menggusarkan tirani. Bahkan mereka memperbudakkan kebangkitan ini dengan memberi gula-gula untuk mendiamkan mahasiswa yang berbuat bising. Mahasiswa sudah mengusung keranda, menarik kuda, berbaring di jalanan, sehingga ada yang sanggup dipenjara, namun natijah untuk perjuangan itu masih menghampakan. Apakah sebenarnya motif keras kepala yang cuba dipamerkan oleh kerajaan zalim ini??? mereka seoalah-olah masih selesa dengan kebangkitan yang berlaku. Mungkinkah respon mahasiswa masih berada dalam lingkungan pagar yang mereka cipta sehingga mereka tidak merasa bimbang dengan kebangkitan ini.

Kesimpulan.

Timbul kerisauan apabila memikirkan survival kebangkitan mahasiswa zaman moden ini. Rencam cabaran dan persepsi terlalu banyak samada yang berpunca dari dalam gerakan ataupun pihak luar yang tidak pernah selesa dengan pembaharuan. Semua pihak yang menyedarai kondisi Malaysia pada hari ini seharusnya memberi sokongan penuh kepada idealisma mahasiswa agar pecutan ini tidak terhalang. Mahasiswa sebagai generasi muda hadir menawarkan diri sebagai pejuang keadilan dan kebenaran. Oleh itu menjadi peranan masyarakat yang cintakan Malaysia untuk memberi sokongan dan dorongan kepada pejuang muda ini.

Secara peribadi penulis tetap optimis kepada mahasiswa sebagai agen perobah. Apajua persepsi yang mendatang, penulis yakin bahawa persepsi tersebut akan bertindak sebagai "Recharge"
yang akan terus menyalakan api kebangkitan mahasiswa.

Isu isu terbaik 1 Malaysia 0 comments

Utusan Malaysia. 3 Mei 2009. "Gagasan Satu Malaysia adalah konsep yang mempunyai pengisian jitu dan bukannya kenyataan retorik politik semata-mata. Perdana Menteri berkata, konsep berkenaan juga akan diterjemahkan secara evolusi melalui proses tertentu yang bukannya berlaku dalam satu malam sahaja"

Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

1. Isu kepala lembu perlu dijadikan isu Satu Malaysia. Jika tidak, akan terjunamlah kredibiliti Dato' Najib sebagai PM 1 Malaysia. Kiranya isu ciptaan bloodline UMNO ini boleh dijadikan radas untuk mengukur keikhlasan PM mewartakan Satu Malaysia sebagai dasar perjuangan.

2. Isu Teoh Beng Hock. Mengapa kematian Teoh tidak dinilai berdasarkan konsep 1 Malaysia. mengapa kematian beliau begitu sukar untuk diiktiraf sebagai kes jenayah. Apakah kerana beliau mati dibangunan yang mendokong konsep 1 Malaysia? Mengapa sehingga kini keputusan bedah siasat masih tidak dikemukakan kepada masyarakat umum? Apakah rakyat 1 Malaysia tidak berhak untuk mengetahui kisah sebenar?

3. Kes Altantuya Sharibuu. Mengapa kes tersebut tidak berkonsepkan 1 Malaysia apabila seluruh rakyat masih tertanya-tanya motif pembunuhan beliau. Apa perkaitan sirul dengan Altantuya sehingga kambing hitam kezaliman itu dihukum gantung? Mengapa rakyat tidak mendapat jawapan yang memuaskan apabila wujud spekulasi yang mengaitkan Najib dan Rosmah dengan pembunuhan Altantuya?

4. Rosmah Puaka. Teka-teki ini masih tidak dijawab secara telus terutamanya oleh empunya badan iaitu isteri PM 1 Malaysia. Biarpun ada dokumentari amatur yang berkeliaran di internet, Rosmah dengan tenang berhadapan dengan masyarakat tanpa memberi respon yang ditunggu rakyat. Jika video itu fitnah, mengapa pereka video tersebut tidak diheret ke mahkamah? Atau apakah rosmah mengkhuatiri jika respon beliau hanya akan membuatkan isu tersebut menjadi lebih berat dan memberi impak yang lebih negatif kepada beliau? Namun sebagai isteri PM 1 Malaysia, adalah tidak muhibbah untuk membiarkan rakyat terus berperasangka dan membenci tanpa diberi penjelasan.

5. Isu enjin jet hilang. Isu ini amat memalukan bagi sebuah negara yang kononnya memiliki sistem pertahanan yang canggih. Menteri pertahanan 1 Malaysia sepatutnya meletak jawatan kerana kecuaian beliau ini mampu memudaratkan keselamatan negara. Jika enjin jet sebesar kereta kancil boleh dicuri dan dibawa ke luar negara, maka tidak hairan jika harta negara yang lebih kecil seperti bom C4 boleh diseludup keluar dan digunakan untuk mengebom manusia.

6. Isu Kalimah Allah. Gali lubang kubur sendiri, itulah yang boleh disifatkan kepada kerajaan apabila isu ini dipolitikkan. Dengan menggembar gemburkan konsep 1 Malaysia, rakyat beragama kristien menghadapi kecaman yang amat hebat apabila usaha mereka untuk berkongsi kalimah Allah diluluskan mahkamah. Mengapa mereka yang diserang?, bukankah sistem perundangan dan perlembagaan negara kita yang telah membenarkan mereka untuk menggunakan kalimah tersebut? Maka lebih logik untuk kita menyerang mereka yang mencipta sistem tersebut dan telah menyalahgunakannya untuk kepentingan politik. Bagi Agama Islam, Kristien hari ini adalah tidak sama dengan agama samawi yang telah diturunkan kepada Nabi Isa. Maka penggunaan kalimah Allah pada agama kristien pada hari ini sudah tentu bersalahan dengan tafsiran agama yang sebenar. Perkara ini perlu dijelaskan kepada mereka secara dialog dan perbincangan yang pada perkiraan saya lebih bersifat 1 Malaysia berbanding demo di masjid-masjid.

7. Isu liwat versi kedua Anwar Ibrahim. Isu ini terlalu membelakangkan konsep 1 Malaysia. Apapun kita tunggu dan lihat keputusannya yang juga bakal menjadi titik paling hitam dalam sejarah 1 Malaysia

Zaman ini memerlukan Gerakan kita. Abaikan kata orang lain. 0 comments

Sedikit mengenai PRK

Seusai pilihanraya kampus, nyata Pro Aspirasi masih teguh di hati rakyat. Biarpun sokongan terhadap mereka semakin merosot, namun kemenangan mereka perlu dijadikan kayu ukur untuk menilai prestasi gerakan kita. Namun kali ini saya tidak berhasrat untuk bercerita panjang soal politik kampus yang pada pandangan saya terlalu luas untuk dilontar secara penulisan. Secara rumusan, saya katakan bahawa Mahasiswa Pro UMNO masih selesa kerana mereka sudah berjaya mencipta keturunan demi keturunan yang buta, mandul dan bacul.

PRK Gambaran Kesungguhan Gerakan Kita

Kalah atau menang sebenarnya bukanlah perkara yang perlu kita gusarkan. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana kita sebagai gerakan mahasiswa bersedia untuk mengisi masa kekalahan ataupun masa kemenangan. Bagi saya, setelah bertahun ditewaskan dengan sejarah yang begitu perit, gerakan mahasiswa masih kurang mempelajari apa yang dikatakan sebagai "berubah untuk memerintah". Metod aktivisme yang masih sama dan ditambah dengan perkembangan kualiti yang terlalu perlahan mengakibatkan suasana kampus mahupun negara tidak merasa impak kehadiran gerakan mahasiswa. Hakikatnya yang bertempik akan terus bertempik dan yang gemar memerhati akan menjadi pemerhati yang setia. Ahli gerakan tidak perlu mempersoalkan mengapa usaha selama ini seolah-olah tidak mendatangkan hasil, namun kita perlu terlebih dahulu menilai sejauh mana gerakan ini meresap didalam jiwa dan minda setiap ahli. Apakah kita mampu menafikan bahawa masih wujud minda pesimis dalam kalangan ahli gerakan sendiri terhadap gerakan ini? Sesungguhnya kita sememangnya perlu menghormati percanggahan pandangan, namun janganlah percanggahan itu dijadikan alasan untuk membunuh gerakan.

Suasana Zaman Ini Yang Kejam Semestinya Memerlukan Kita

Mungkin nada penulisan ini sedikit berbaur emosi dek kerana terbawa-bawa isu semasa yang melanda negara. Kepincangan kefahaman mengenai demokrasi mengheret rakyat Malaysia untuk selesa berteduh dibawah kepimpinan zalim yang berselindung disebalik perlembagaan. Terkadang secara peribadi merasakan seluruh rakyat Malaysia seakan-akan pasrah dengan keadaan dan terpaksa menjalani kehidupan seperti biasa demi menjaga periuk nasi dan keluarga. Satu persatu isu kezaliman melintasi kaca televisyen dan rakyat seolah-olah terpaksa menelan segala macam benda yang disumbat ke dalam benak mereka. Perkara ini terus berlaku dan kezaliman terus berputar dengan mangsa yang berbeza mahupun berulang.

Peristiwa Memali, Anwar Ibrahim, Royalti Minyak Terengganu, Kenaikan harga minyak, Altantuya Sharibuu, Teoh Beng Hock, royalti minyak kelantan, dan kini Anwar Ibrahim kembali. Walaupun episod seterusnya masih tidak diketahui siapa, di mana dan bagaimana, namun yang pasti kekejaman itu tetap akan berlaku. Maka apakah segala kekejaman ini mendorong kita untuk tidur lebih lena tanpa memikirkan nasib Agama dan umat? Saya yakin setiap gerakan yang wujud menjadikan segala episod kezaliman ini sebagai sumber kebangkitan. Namun momentum perubahan bukan hanya bergantung kepada penubuhan sesuatu gerakan, Perubahan menuntut kepada sebuah gerakan yang memiliki penggerak yang benar-benar sedar tentang tasawur perjuangan dan kewajipan untuk berjuang.

Konflik Gerakan Yang Pelik

Amat pelik dan menghairankan apabila golongan yang mengaku menjunjung perjuangan masih mampu untuk berpangku tubuh dan melihat kezaliman ini berputar tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Sememangnya sebagai jihadist yang bijak menilai situasi, kita tidak seharusnya melatah dengan keadaan sehingga melakukan tindakan yang "gelojoh". Namun apakah kerana terlalu ber"sterategi" kita kelihatan seperti tidak lansung bertindak untuk mendepani kebejatan ini?. Lebih menyedihkan apabila wujud ahli gerakan yang lebih gemar untuk berfalsafah mengkritik golongan yang berjuang sedangkan mereka sendiri begitu liat untuk turun bertarung secara berdepan dengan kezaliman. Biarpun ada betulnya segala kritikan yang dilempar kepada golongan yang dikatakan "gelojoh"ini, namun janganlah kritikan itu bersifat melampau sehingga mampu mematikan semangat yang seharusnya dipandu dan bukannya diserang dengan persepsi yang meliar. Bagi pandangan saya, tindakan yang dikatakan "gelojoh" itu perlu ditafsir secara positif kerana semangat itu lahir daripada dasar yang murni dan niat yang suci.

Abaikan Konflik, Kita Perlu Terus Berpencak

Menilai keadaan zaman yang semakin pincang, maka saya meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap keupayaan mahasiswa untuk mencorak kembali hakikat kebenaran. Mahasiswa tidak terikat dengan kepentingan politik, kerjaya, rumah tangga, mahupun sebarang kepentingan individu yang lain. Bagi yang mahasiswa yang biasa, Akademik adalah segalanya. Bagi yang sedikit luar biasa, aktiviti kemahasiswaan menjadi kerja sampingan untuk mengumpul merit ko kurikulum. Namun sebagai mahasiswa ahli gerakan, mungkin kehidupan kita tergolong dalam kategori ekstra luar biasa sehingga ada dikalangan manusia yang melabelkan kita sebagai pemuda tidak normal. Biarlah kita dilabelkan sebagai gila, tidak siuman, pemberontak, pembangkang atau apa juga gelaran yang mereka sukakan, namun label itu akan menjadi inspirasi untuk perjuangan ini diteruskan.

Memang mahasiswa sedang menggila, dan kami sedang menggilakan kebenaran yang hakiki. Mahasiswa sememangnya tidak siuman, dan kami tidak siuman bagi mereka yang sanggup berdiam terhadap kezaliman. Kami akan terus membangkang dan memberontak sekiranya Agama tidak dijulang dan nilai kemanusiaan terus dibenam dengan kekejaman dan kezaliman.