ALANGKAH INDAHNYA JIKA HKR112 ADALAH BERSIH 4.0 0 comments
PANDANGAN
: 13 JANUARI 2013
ALANGKAH
INDAHNYA JIKA HKR112 ADALAH BERSIH 4.0
Hampir semua aktivis sosial akur bahawa Kerajaan
Barisan Nasional perlu direhatkan untuk bermuhasabah. Setelah 55 tahun merdeka,
Barisan Nasional kelihatan semakin buntu untuk membawa Negara ke arah yang
lebih baik. Saya kira rakyat juga faham tentang hakikat ini. Biarpun media arus
perdana cuba menyembunyikan segala pekung yang berlaku dalam pemerintahan BN,
namun busuknya sudah terkeluar sehingga rakyat juga boleh menghidu bahawa
Malaysia sedang direndung musibah.
Namun terlalu zalim untuk saya katakan yang BN
tidak akan berubah dan perlu dikuburkan. Kerana belum tentu Pakatan Rakyat
sebagai future Government akan kekal sebagai kerajaan pro rakyat dan
boleh jadi BN akan jadi lebih mesra rakyat selepas bergelar pembangkang.
Memetik ucapan tersohor Abrham Lincoln, All man can stand the adversity, but
if you want to test a man’s character, give him power.
Saya terpanggil untuk mengulas mengenai Himpunan
Kebangkitan Rakyat KL112 yang disifatkan oleh Pakatan Rakyat sebagai sebuah
himpunan yang berjaya. Sekiranya ditanya kepada saya apakah KL112 berjaya ?,
saya akan menjawab, KL112 hanya separuh berjaya. KL112 berjaya menunjukkan
kebangkitan rakyat yang muak dengan sandiwara pemerintah. Tetapi KL112 kurang
berjaya dalam memperlihatkan future government yang benar-benar
bersedia.
Peluang menghimpunkan lebih 100,000 rakyat
seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan
masa depan. Rakyat yang hadir sepatutnya dibekalkan dengan persediaan yang
cukup untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum dan Kerajaan baru selepas PRU ke
13. Dua elemen ini saya kira sepatutnya menjadi fokus utama HKR 112.
Namun saya cukup terkilan apabila rakyat yang hadir
hanya diberikan sehelai risalah Pemantau yang disediakan Bersih 2.0 dan
kemudiannya dihidangkan dengan ceramah demi ceramah yang diulang-ulang
faktanya. Saya sempat mengikuti ceramah HKR di Johor, Penang dan Perak. Di
setiap lokasi saya sering mendengar isi kandungan ceramah yang disampaikan oleh
pemimpin politik adalah statik dan berulang. Sehinggalah ke Stadium Merdeka,
ceramah yang sama masih diulang-ulang. Mungkin hujahnya untuk meraikan rakyat
Selangor yang tidak berkesempatan untuk menganjurkan HKR Selangor, Namun ada
puluhan ribu rakyat lain yang sudah mendengar ceramah yang sama. Saya kira
tidak salah untuk ceramah itu diulang-ulang, tetapi adalah lebih baik sekiranya
KL112 memberi tumpuan kepada penerangan yang lebih penting iaitu peranan rakyat
semasa PRU 13 melalui inisiatif yang disediakan oleh Bersih 2.0. Agak merugikan
apabila wakil Bersih hanya diberi masa 5 minit untuk berucap tanpa diberikan
slot khusus untuk memberi penerangan mengenai Pemantau. Walhal untuk menjayakan
Pemantau, Bersih memerlukan 10,000 sukarelawan rakyat.
Selain mengundi perubahan pada PRU 13, Bersih 2.0
telah menyediakan tugas alternatif yang memperanankan rakyat sebagai agen
pemantau perjalanan PRU 13. Tugas ini
amat kritikal bagi mempengaruhi keputusan PRU. Oleh kerana ruang yang ada tidak
dioptimakan untuk menyampaikan mesej Bersih, maka KL112 hanya berjaya memberi
mesej politik dan tidak berjaya mengoptimakan peranan rakyat untuk berhadapan
dengan PRU 13. Namun saya tidak menyalahkan Pakatan Rakyat secara total, kerana
paling kurang PR telah berinisiatif untuk menghimpunkan rakyat berbanding
banyak NGO yang sedang larut dalam mesyuarat.
Selain memberdaya peranan rakyat untuk berhadapan
dengan PRU 13, saya kira KL112 juga seharusnya digunakan oleh PR untuk
mempersiapkan rakyat mengenai tugas mereka selepas PRU 13. Kerajaan yang
berjiwa besar tidak akan menghabiskan masa bertemu rakyat dengan menceritakan
hal-hal buruk pihak lawan. Namun lebih dinamik jika rakyat dihidangkan dengan
penerangan lebih terperinci mengenai Buku Jingga dan Dokumen Negara
Berkebajikan. Kerana ramai rakyat yang hadir pada KL112 adalah mereka yang
tinggal diluar bandar dan kurang mendapat akses kepada maklumat terkini Pakatan
Rakyat. Oleh itu alangkah baiknya jika mereka dibentangkan mengenai janji dan tindakan
yang akan dibuat oleh PR selepas mentadbir Malaysia. Saya kira perkara ini
lebih relevan untuk diulang-ulang berbanding kutukan dan ulangan cerita-cerita
negatif terhadap pihak musuh. Lebih-lebih bagi apabila rakyat sudah maklum
mengenai kerosakan yang dibuat oleh regim Barisan Nasional.
Setelah meniliti ucapan-ucapan tokoh di Stadium
Merdeka semasa KL112, saya mendapati hanya ucapan Dr Jayakumar daripada
Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) mengandungi elemen memperkasa peranan rakyat
selepas PRU 13. Beliau mengingatkan rakyat untuk terus menjadi agen yang
kritikal terhadap pemerintah biarpun putrajaya ditadbir oleh kerajaan
baru. Ucapan beliau jelas memberi impak
berbeza dalam kalangan rakyat apabila mood rakyat yang sedang diisi dengan
kemarahan bertukar kepada mentaliti rakyat revolusioner. Ucapan beliau juga
meningatkan rakyat kepada objektif sebenar kebangkitan rakyat iaitu bukan
sekadar ingin menjatuhkan UMNO dan menjulang Pakatan Rakyat, tetapi yang lebih penting
perjuangan untuk memastikan aspirasi rakyat terlaksana. Saya kira ucapan pemimpin
Pro-Rakyat seharusnya sentiasa memperingatkan rakyat untuk berjuang mendapatkan
hak tanpa mengira siapa juga yang memerintah.
Jika Pakatan Rakyat terus mengamalkan politik
meruntuh dan memburukkan, maka Pakatan Rakyat juga akan dilihat tidak
bersungguh dalam memimpin rakyat untuk bermentaliti politik baru. Menghayati
ucapan Martin Luther King pada Ogos 1963, beliau hadir di tengah himpunan
rakyat dan menyampaikan inspirasi perubahan disamping memperingatkan rakyat
untuk jangan berpuas hati selagi tuntutan rakyat tidak terlaksana. We can
never be satisfied as long as our bodies, heavy with the fatigue of travel,
cannot gain lodging in the motels of the highways and the hotels of the cities.
We cannot be satisfied as long as the Negro's basic mobility is from a smaller
ghetto to a larger one. We can never be satisfied as long as a Negro in
Mississippi cannot vote and a Negro in New York believes he has nothing for
which to vote. No, no, we are not satisfied, and we will not be satisfied until
justice rolls down like waters and righteousness like a mighty stream.
Biarkanlah BN atau UMNO bersama media arus perdana
berjalan ke belakang dengan politik kuno mereka. Biarkanlah UMNO terus duduk
dan tertinggal akibat keengganan mereka untuk berubah. Biarkanlah UMNO terus
terkebelakang dengan agenda perkauman, fitnah, dan diskrimasi mereka. Pakatan
Rakyat perlu hadir dengan cara politik baru yang memimpin rakyat menjauhi
politik benci dan mendekati politik ilmu, politik kesatuan dan politik kasih
sayang. Namun ini tidak semua tidak akan tercapai jika peluang bertemu rakyat
dihabiskan dengan menceritakan kegagalan UMNO.
Saya juga merasa kurang senang dengan cara pemimpin
Politik masuk ke Stadium Merdeka sehingga mengganggu fokus hadirin kepada
ceramah yang disampaikan. Beberapa mesej yang cuba disampaikan oleh beberapa
tokoh NGO dilihat terganggu akibat pemimpin politik yang masuk lewat ke
stadium. Hal ini disebabkan rakyat ingin melihat dan bersorak terhadap pemimpin
politik mereka. Sudahlah masa yang diberikan kepada NGO hanya lima minit, masa
yang singkat ini pula diganggu oleh pemimpin politik yang masuk ke stadium
bagaikan selebriti.
Kesimpulannya, jika ditanya kepada saya,
bagaimanakah sepatutnya KL112 berlangsung? Maka saya akan jawab, Bentangkan
semula janji Buku Jingga, Bekalkan rakyat dengan dokumen Buku Jingga dan Negara
Berkebajikan, Bina ikrar agar rakyat sentiasa memerhatikan Kerajaan Baru dan
akan berhimpun semula selepas 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat untuk
mengadili janji dan manifesto Pakatan. Yang lebih penting ialah, berikan ruang
yang cukup kepada BERSIH untuk memberi penerangan mengenai Pemantau Rakyat.
Namun mungkin ini sukar dilakukan kerana KL112 bukan BERSIH 4.0
Sudah tiba masanya Pakatan Rakyat mengamalkan cara
politik yang jauh berbeza dengan UMNO. PR sama dengan BN apabila menghimpunkan
rakyat dalam Stadium, Namun PR perlu berbeza dengan BN dalam usaha menjadikan
rakyat sebagai pemerintah yang paling berkuasa. Diharap, para pemimpin PR
selepas ini akan lebih ghairah membentangkan konsep Malaysia Baru kepada
rakyat.
Sekian.
Tulisan ini disiarkan Harakahdaily bertarikh 14/1/2014
Subscribe to:
Posts (Atom)