MEDAN TEMPUR 2 comments


Apakah perjuangan kita sudah menumpukan dakwah untuk golongan di atas ?
Jika sudah, apakah sterateginya benar-benar mapan?

Jangan buang masa
Perjuangan kita masih panjang,

AWAS !!!
Jangan hingga
Perjuangan kita menjadi retorik yang SIA-SIA

Kenangan Zaman Sekolah : Sekadar perkongsian 1 comments

Introduksi :

Derap langkah perjuangan ini sentiasa dihiasi ranjau berduri. Kulit muda para pejuang ini sememangnya tidak tertahan menanggung tusukan duri yang terlalu berbisa. Namun kita sebagai jiwa yang ingin mendokong telah diasuh untuk tidak mengeluh. Qudwatunna Rasulullah merupakan insan yang memilih penderitaan dalam kehidupan baginda. Namun baginda sekadar mengadu kepedihan dan kesakitan yang dialami kepada kekasihnya yang sejati. Setiap dikalangan kita sememangnya memahami keresahan jiwa yang dialami oleh para pejuang mentah. Kita tahu disebalik senyuman dan kegembiraan yang terukir itu ada sesuatu yang tersembunyi. Penulis kerap kali melihat para sahabat yang mengesat air mata di pertiga malam secara bersendirian. Hiba memang tidak dapat disembunyikan apatah lagi disaat pengaduan kepada Rabbul 'Izzati.

Cerita Zaman Sekolah :

Ada pengalaman menarik yang ingin penulis kongsikan sewaktu bersekolah di SMK Agama Kota Kinabalu. Penulis pada ketika itu sedang menuntut dalam tingkatan lima dan terlalu hampir dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Penulis memiliki beberapa orang sahabat yang memiliki karekter yang cukup luar biasa pada perkiraan penulis sebagai pelajar yang masih mentah. Mereka merupakan pimpinan pelajar merangkap ahli Badan Dakwah Dan Rohani yang memainkan tugas utama dalam menggerakkan dakwah di sekolah.

Mereka juga bertanggungjawab dalam memastikan surau sekolah sentiasa diimarahkan dengan aktiviti ilmiah dan kerohanian. Maka sudah pasti kehidupan mereka sedikit berbeza dengan pelajar yang lain. Penulis begitu jarang melihat mereka turun ke padang pada waktu petang untuk bermain. Pada waktu kebenaran keluar ke bandar penulis tidak pernah melihat mereka bersantaian seperti pelajar yang lain. Penulis kerap kali diminta untuk membelikan barang keperluan memandangkan masa mereka yang suntuk untuk menguruskan hal berkenaan.

Berkat usaha mereka penulis bersama sahabat yang lain dapat mempelajari ilmu hadith di surau pada hari isnin. Pada hari selasa akan diadakan kuliah sirah antara magrib dan isyak. pada hari rabu akan diadakan usrah umum yang membabitkan semua pelajar. Pada hari khamis diadakan majlis bacaan Yasin dan surah Al-Kahfi. Pada malam jumaat pula para pelajar di sediakan pengisian usrah mengikut kumpulan yang telah diatur. Setiap sabtu para pelajar diarah untuk ke masjid berdekatan sekolah bagi mengikuti pengisian sirah yang diadakan di masjid berkenaan. Pada hari ahad pula penulis sebagai salah seorang naqib usrah akan menyertai liqa' persediaan naqib yang dikendalikan oleh seorang murabbi yang dijemput daripada luar. Pada waktu lain seperti cuti hari sabtu dan ahad, para pelajar disediakan dengan kelas Hubbul Quran bagi mempersiapkan diri dengan ilmu tafsir, hafazan dan qiraat.

Tidak banyak pelajar yang sedar tentang suatu perkara yang terlalu besar tetapi kerap disisih pandang. Perkara tersebut ialah pengorbanan para sahabat yang terpaksa menggadaikan naluri remaja hanya semata-mata ingin memimpin sahabat yang lain ke jalan Allah. Penulis tahu merekalah yang menguruskan segala aktiviti ini. Penulis yakin bahawa Jiwa mereka sudah pasti teringin untuk bebas seperti sahabat lain yang memiliki masa untuk membaca komik, menulis surat cinta, menonton kartun Dragon Ball, keluar ke bandar untuk bersantai, dan bermacam lagi aktiviti yang sepatutnya dilakukan oleh remaja seperti mereka. Namun mereka cukup berbeza.

Para sahabat itu tidak pernah mempamerkan keresahan di wajah mereka sewaktu bertemu dengan sahabat yang lain. Mereka sering tersenyum membuatkan orang disekeliling mereka turut merasa senang. Sememangnya penulis juga cukup terkesan dengan akhlak mereka yang menjadi idaman semua orang. Allah telah mentakdirkan penulis untuk mengetahui sesuatu yang sangat bermakna semasa ditempatkan sebilik bersama mereka. Mungkin inilah rahsia kekuatan mereka yang secara jelas mempamerkan kebenaran istilah singa di waktu siang dan 'abid di waktu malam. Dalam kesyahduan malam yang suram, penulis pernah terdengar rintihan yang terlalu mengusik jiwa. Rintihan pengubat jiwa itu lantas memberi kesedaran bahawa disekeliling kita ada jiwa-jiwa hamba yang terlalu mencintai darjat kehambaannya. Rintihan itu terlalu panjang dan berulang-ulang dan penulis hanya mampu mengingati sebahagian daripada rangkapnya. Setiap malam pada waktu yang sama penulis dapat mendengar desikan syahdu mereka yang sehabis usaha cuba menyembunyikan kehibaan yang terlalu mendalam.

"Ya Allah, Hamba ini terlalu lemah, tubuh hamba ini terlalu kerdil, dosa hamba ini menggunung, ilmu hamba ini terlalu dangkal, dan kami terlalu hina Ya Allah. Namun Ya Allah, biarkan kami untuk merasa penderitaan yang lebih. Biar kami merasa kelaparan bagaimana laparnya Nabi Muhammad. Biar kami merasa dibenci bagaimana asingnya Nabi Muhammad. Biar kami dihina bagaimana seksanya Nabi Muhammad dipulau. Kami tidak sabar untuk mengalas perut kami yang lapar dengan batu. Kami merindukan makanan yang sedikit biarpun hanya separuh tamar. Kami ingin tidur diatas batu biarpun belakang kami akan terluka. Kami mencintakan rasa sakit seperti sakitnya Rasulullah di Thaif dan Uhud. Ya Allah ambillah pengorbanan dari hamba mu ini. Akan kami kerah seluruh qudrat dalam mendaulatkan Agama Mu. Akan kami pulangkan seluruh pinjaman mu semata-mata kerana redhamu Mu. Agar Ya Allah, dapat kami rasakan bagaimana gembiranya kerehatan Rasulullah sewaktu bertemu dengan Mu. Kerehatan dari kelaparan yang dialami baginda, kerehatan dari kesakitan yang dirasakan Baginda, kerehatan dari penderitaan yang menyeksa Baginda. Ya Allah hanya engkaulah tempat kami mengadu dengan sebenar pengaduan. Jangan kau palingkan wajah mu dari kami Ya Allah. Jika engkau palingkan rahmat Mu dari kami Ya Allah, siapalah lagi yang akan mendengar pengaduan dari hamba mu ini. Ya Allah, hanya engkau tempat kami bergantung harap. Ya Rasulullah, sesungguhnya kami sangat merindui mu. Kami akan sentiasa memastikan kelopak mata ini basah kerana cinta kami kepada mu. Kami junjung kasih dan cinta mu kepada kami dan kami sahut dengan genggaman jihad yang tidak mengenal istilah henti. Moga pengorbanan kami ini akan menjadi laluan untuk kami dapat bertemu dengan mu biarpun sekadar pandangan dari jauh. Ya Rasulullah kami benar-benar merindui mu".

Rintihan itu terhenti dan kedengaran dengusan yang terlalu halus akibat tangisan yang mengalir. Penulis dari birai katil yang jauh turut merasakan seolah-olah ada sesuatu yang menekan jiwa sehingga perasaan yang kosong terasa begitu mampat.



Evolusi terpimpin 0 comments

Evolusi terus berlaku dalam perkembangan Windows sebagai Operating System (OS) utama dunia. Namun evolusi berkenaan masih mengekalkan ciri-ciri tertentu biarpun usianya telah menelan puluhan tahun .

Jika evolusi ini melupakan kriteria yang asal, Sudah pasti nasib Windows akan menjadi seperti OS lain yang gagal bersaing di pasaran antarabangsa.

Hal ini menggambarkan bahawa Microsoft benar-benar memahami tujuan pembinaan Windows sebagai alat pemudah urusan manusia, oleh itu setiap evolusi yang mereka lakukan sudah pasti menepati kehendak dan keperluan.

Mungkin terlalu ideal untuk mengumpamakan perubahan windows ini sebagai manhaj evolusi yang diguna pakai oleh Microsoft. Namun perkara ini perlu menjadi contoh oleh mana-mana pihak yang berhasrat untuk melakukan perubahan ke arah penambahbaikan.

Apakah akan ada lagi revolusi?? 0 comments

Era peralihan pimpinan sedang melanda seluruh dunia.

UNTUK PEMIMPIN

Ini tindakan untuk tahap perancangan yang biasa.

1. Fahami tasawwur asasi.
2. Semak capaian semasa
3. Postmortem kan capaian yang lepas
4. Kaji evolusi yang perlu
5. Pelan gerak kerja berkala
6. Persiapkan jentera pelaksana

Persoalan yang timbul ialah kenapa masih wujud masalah halatuju organisasi yang tidak jelas walhal perkara ini merupakan asas yang perlu diselesaikan diperingkat pemahaman tasawwur. Apakah begitu sukar untuk mendalami tasawwur asasi sehingga gerakan kerap tersasar daripada kehendak sebenar pasaran. Jika peringkat pertama gagal dilaksanakan dengan baik maka perkara tersebut akan menyumbang masalah untuk mencatur sterategi ke dua, tiga dan seterusnya.

Maka atas dasar inilah konsep fahmu perlu ditelusuri dengan baik agar pengertiannya benar-benar menepati hakikat yang sebenar. Oleh itu hakikat ini perlu didokong dengan fahaman tasawwur yang jelas untuk melahirkan fahmu yang benar-benar mapan sekaligus menjadi pemudah dalam merencana keperluan gerakan.

Untuk mencatur sesuatu yang luar biasa kita tidak perlu menjadi hebat.
Namun kita perlu melalui tahap yang biasa untuk menghasilkan sesuatu yang hebat.
Tidak ada yang lahir terus menjadi hebat kecuali manusia pilihan Tuhan. Setiap khalqillah perlu melalui tahap biasa untuk menjadi hebat. Apa yang penting biarlah perkara luar biasa yang terhasil itu benar-benar berguna dan bermanfaat.


UNTUK AHLI

Apakah organisasi kita wujud hanya untuk memikir masalah ahli yang tidak berkunjung sudah?
Apakah organisasi kita lahir hanya untuk mencari penyelesaian surau yang tidak makmur?
Apakah oganisasi ini ditubuhkan hanya untuk menyusun program latihan ahli yang saban tahun berulang?
Apakah organisasi ini lahir hanya untuk memimpin bagi pemimpin dan mentaati untuk yang menjadi ahli?

Organisasi ini lebih daripada segalanya selagi mana Islam menjadi manhajnya. Tidak ada yang lebih penting daripada organisasi ini kerana perjuangan ingin memartabatkan Islam masih belum selesai. Kita tidak seharusnya tertipu dengan rencam dunia yang kerap menimbulkan persoalan sampingan sehingga menggugat kejelasan halatuju yang telah tercipta.

Jika kita mahasiswa maka caturlah sterategi sebagai mahasiswa. Jika kita bukan lagi mahasiswa maka caturkanlah mengikut keadaan semasa. Namun akal kita perlu sentiasa diasah untuk berfikirlah lebih daripada tahap biasa. Hidup pemberian Tuhan ini tidak seidealistik yang kita rancangkan. Maka belajarlah untuk bersterategi sebagai seorang penganggur, petani, tukang sapu, dan apa sahaja gelaran yang boleh terjangkau oleh pemikiran.

si penulis ini terlalu dhaif dan hanya sekadar berkongsi pandangan yang juga terlalu dhaif

Gaza : Tetap Subur walau Bermandi Darah 0 comments

Mencari Pemenang Dalam Pertarungan Di Gaza.
Berjayakah Ehud Olmert Mendirikan Mahligainya Di Gaza????

Akhirnya tentera Israel berundur daripada semananjung Gaza dengan tangan kosong tanpa sebarang kebanggaan. Penulis yakin apa yang mereka miliki hanyalah kepuasan setelah berjaya meratah ribuan nyawa rakyat palestin yang tidak berdosa. Apakah mereka berjaya mematahkan perjuangan Intifadhah HAMAS? Berapakah jumlah pejuang HAMAS yang berjaya mereka tewaskan? atau mereka hanya beraksi gagah dihadapan rakyat yang tidak bersenjata? Adakah mereka telah berjaya memusnahkan serangan roket Al Qassam yang berpusat di Gaza? segala-galanya samar apabila sehingga hari terakhir pejuang Al Qassam masih mampu melancarkan serangan roket terhadap tentera penceroboh. Bahkan sumber sahih mengatakan bahawa tentera Israel yang berundur diselubungi kekecewaan yang tidak menentu sehingga meyebabkan gangguan emosi yang kritikal
(Berita Harian 19/01/09).

Israel juga sudah pasti dibebani kerugian yang besar apabila mereka menggunakan senjata perang kelas pertama berbanding tentera Al Qassam yang hanya meggunakan roket sebagai senjata utama. Media HAMAS mempamerkan terdapat jentera perang Israel seperti Jet pejuang dan kereta kebal yang musnah akibat serangan balas tentera Al Qassam dalam peperangan 22 hari tersebut. Maruah Israel juga tercalar apabila masyarakat dunia secara lantang dan keras mengecam kebinatangan mereka yang membelakangkan hak asasi dan konsep keamanan sejagat. Maka apakah yang disifatkan sebagai kejayaan oleh Ehud Olmert dalam kempen peperangan tersebut? Apakah jumlah nyawa yang terkorban dan serpihan runtuhan bangunan di Gaza mampu menampung kerugian dan maruah Israel yang telah tercalar?
(Jewish Community.COM 18/01/09). Perkara ini boleh menjadi jawapan kepada persoalan siapakah yang sepatutnya ditabalkan sebagai pemenang di Gaza.




PERSISME untuk Palestin 0 comments

INILAH MASANYA. WALAUPUN AGAK TERLEWAT

Mahasiswa perlu bersatu dalam menunjukkan persaudaraan sejagat yang ampuh. Mahasiswa perlu berdiri teguh bersama keberanian dan kebenaran agar hasrat yang diperjuangkan dapat dicapai. Ayuh kita nyatakan kecintaan kepada saudara kita di Palestin. Mereka sedang mengemis simpati dan doa daripada kita. Hari demi hari bedilan kejam tentera zionis merampas kebahagiaan yang menjadi hak asasi rakyat Palestin. Di dalam kekalutan ini mungkin ada sesuatu yang boleh kita lakukan sebagai bukti kecil kerbersamaan jiwa kita yang turut merasai penderitaan mereka.

Ada cerita yang mengatakan bahawa ibu-ibu di Palestin kini terpaksa merebus rumput untuk dijadikan makanan kepada anak-anak mereka. Si ibu terpaksa mencabut rumput di jalanan kerana sumber makanan yang terhad akibat disekat dan dimusnahkan oleh tentera zionis. Ibu-ibu Palestin ini terpaksa bertarung nyawa untuk berkeliaran mencari makanan setelah suami mereka menjadi mangsa kezaliman tentera Yahudi. Ramai juga ibu yang keluar mencari makanan untuk anak mereka tetapi tidak pulang kerana menjadi santapan peluru Israel. Dikhabarkan juga lebih seratus orang kanak-kanak telah menjadi mangsa kerakusan Israel dalam merobek tubuh Gaza yang hanya merupakan sebidang tanah gersang dan miskin. Ada dikalangan kanak-kanak tersebut yang hancur dek bedilan peluru pepandu pesawat Israel dan ada juga yang mati akibat kelaparan. Kenapa perlu si Ibu dan si Anak menjadi mangsa dalam perbalahan tentera ini?. Si ibu tidak menggalang senjata dan si anak kecil terpaksa menanggung derita.

Pertubuhan OIC masih dalam usaha perbincangan untuk mencari langkah terbaik dalam berhadapan dengan kegentingan di tebing Gaza tersebut. Malaysia pula sedang berkira-kira untuk meluluskan rang pemulauan barangan Israel dan Amerika Syarikat. Mungkin di sinilah kita boleh mencelah untuk memberi sedikit sumbangan sebagai bukti yang kita juga ingin berperanan dalam membela nasib saudara kita di Palestin.

Antara inesiatif yang boleh dilakukan adalah seperti:

1. Memboikot semua barangan buatan Israel dan Amerika Syarikat serta sekutu kutunya

2. Memberi sumbangan kewangan ataupun sebarang material lain kepada rakyat Palestin melalui pertubuhan Amal yang berdaftar dan diiktiraf di peringkat nasional.

3. Menyebarkan maklumat mengenai kondisi semasa rakyat Palestin kepada rakan agar semua pihak sentiasa bersimpati dan mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

4. Bagi organisasi seperti Persatuan Mahasiswa atau Badan Dakwah boleh melakukan himpunan Amal bagi menyatakan simpati kepada rakyat Palestin dan sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Malaysia yang masih berusaha untuk membantu saudara kita di Palestin.

Mungkin masih terdapat alternatif lain yang boleh kita lakukan sebagai langkah pembelaan kita terhadap nasib rakyat palestin. Apa yang dinyatakan di sini hanyalah sekadar cadangan mudah bagi memberi laluan kepada mereka yang ingin berbakti kepada masyarakat Gaza yang sedang ditindas.

Sebagai penutup, penulis agak tertarik dengan pandangan seorang sahabat dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Kota Kinabalu yang menyatakan bahawa :

"Kita mungkin merasa berat untuk memberi sumbangan kepada sahabat kita di Palestin, namun kita perlu merasa malu kerana dalam keadaan yang tidak kita sedari rakyat Palestin yang sedang menderita itu sebenarnya sedang memberi sumbangan kepada kita. Sumbangan yang bagaimana?. iaitu sumbangan peringatan untuk kita mensyukuri nikmat kedamaian dan keharmonian yang kita rasakan sekarang. Dan amat memilukan apabila sumbangan ini mereka berikan dengan pengorbanan yang begitu tinggi. Oleh itu kita perlu berusaha untuk membalas sumbangan besar mereka ini"
-
Pena menyulam madah

Sekian.

Demonstrasi memang sampah, tapi sampah jua memiliki nilai.




1430 : Rakyat Berazam Pemimpin 0 comments

Tahun baru 1430 telahpun menjelang. Sambutannya meriah seperti tahun-tahun terdahulu. Setiap jiwa rakyat malaysia semestinya tersemat dengan keazaman baru dalam menongkah masa yang mendatang. Namun ada juga segelintir rakyat yang menyambut kedatangan tahun baru ini dengan resah dan gelisah. Bagi yang fakir dan miskin, azamnya sudah pasti mengharapkan tahun baru datang dengan membawa rahmat untuk memberi keluarganya lebihan rezeki. Bagi yang terlantar sakit sudah pasti mengharapkan agar tahun baru ini bakal membawa sinar harapan untuk sembuh kembali. Bagi yang cintakan kedamaian, sudah pasti mengharapkan agar kedamaian yang dirasakan akan berkekalan dan terpelihara dari sebarang anasir yang mencalar.

Apa yang pasti ialah, setiap azam yang terlintas s
emestinya meletakkan harapan ingin menjadikan hari esok lebih baik daripada hari-hari yang sudah berlalu. Namun penulis merasakan hari ini sudah tiba masanya untuk rakyat malaysia mencipta azam-azam yang lebih sejagat dan tidak hanya meletakkan sasaran peribadi. Hasrat peribadi yang saban tahun berulang dan bersifat streotype hanya akan membawa kemajuan kepada individu tertentu disamping memberi kesan yang lembab kepada masyarakat sekeliling.

Hakikatnya Negara Malaysia memerlukan azam baru dalam bidang ekonomi yang diambang kemelesetan meruncing. Negara kita juga memerlukan azam baru dalam bidang perpaduan bangsa yang keeratannya semakin merekah. Negara Malaysia jua memerlukan azam baru dalam bidang pendidikan yang masih belum menemui formula tetap seperti negara maju yang lain. Dalam bidang politik, negara Malaysia memerlukan azam yang baru bagi menjernihkan suasana yang kencang dan kotor. Perundangan negara kita jua memerlukan azam baru bagi membersihkan segala krisis yang mencemarkan kedaulatan yang tersohor. Bagi aspek Agama pula, negara malaysia memerlukan azam baru bagi mempertahankan Agama Islam dan meletakkan kedudukan agama rasmi ini di tempat yang sepatutnya.

Inilah azam-azam yang sepatutnya terlintas di dalam jiwa setiap rakyat malaysia yang perlu menjiwai karakter pemimpin. Kita sudah terlalu lama membiarkan pemimpin negara berfikir dengan cara mereka sehingga satu persatu kegagalan menerjah masuk ke negara kita. Negara kita sebenarnya memerlukan rakyat yang memiliki keazaman yang tinggi, berpemikiran tajam dan berdaya saing dalam merialisasikan segala hasrat dan impian. Jika setiap rakyat sudah memiliki karakteristik pemimpin, maka himpunan rakyat ini akan menghasilkan sebuah gelombang yang melampaui tsunami seterusnya akan menghanyutkan Malaysia Lama dan merintis ke arah kelahiran Malaysia Baru.

Tanamkan Azam Untuk Kita Dan Negara