Di Manakah Kita??? 0 comments


Ayuh keluar dari kepompong selesa.
Terjun ke lembah perjuangan sebenar

Alahai Hiburan 0 comments

Isu Battle Of The Band. Isu Kuno Untuk Pemikir Lapuk.

Fahami Isu.


Pertama setiap mahasiswa Islam perlu memahami isu dengan baik. Isu Battle Of The Band sebenarnya tergolong dalam rangkuman isu hiburan yang sedang menghujani bukan sahaja UMSKAL tetapi semua IPTA dan IPTS lain. Sememangnya tidak terdapat tegahan dalam Islam mengenai hiburan sebagai hak asasi ummat, tetapi konsep hiburan ini perlu diperhalusi dengan cara yang terbaik. Hiburan melampau ini memerlukan satu konotasi yang pasti agar setiap mahasiswa Islam memperolehi suatu guideline yang tetap mengenai apa yang ditafsirkan sebagai melampau.

Masalah yang timbul ialah intepretasi yang pelbagai mengenai istilah melampau menyebabkan percanggahan ini takkan berkunjung sudah. Bagi pihak pro dakwah, mereka mentafsirkan istilah melampau berdasarkan kefahaman mereka walhal dalam masa yang sama peminat hiburan memiliki tafsiran mereka yang tersendiri. Oleh itu perkara ini perlu diselesaikan dengan meminimakan perselisihan pandangan kearah mencari satu titik pertemuan. Kita perlu berusaha keras ke arah memberi kefahaman yang jelas kepada masyrakat kampus. Biar mereka faham mengenai tajuk, isi penting, bukti, contoh dan fakta. Dengan cara ini isu hiburan melampau akan dapat kita bicarakan dengan lebih ilmiah disusuli penerimaan yang baik oleh masyarakat kampus.

Melampau: Tafsiran Kita



Melampau : Tafsiran Mereka





Cegah, Ubah, Atau Alternatif.

Cegah, ubah, atau alternatif. ini merupakan pilihan yang kerap kali menjadi percaturan kita apabila membincangkan masalah hiburan. Sterategi ini seolah-olah telah menjadi manual tetap kepada penggerak dakwah dalam berhadapan dengan isu yang tidak pernah selesai ini. Sedar atau tidak kita sering menjadi pencatur buat mereka sedangkan dalam masa yang sama kita jarang memberi mereka peluang untuk memilih alternatif sendiri. Pandangan pesimis penggerak dakwah terhadap pencinta hiburan menyebabkan krisis kefahaman ini bertukar kepada krisis peribadi akibat fanatik yang tidak menentu. Kita perlu mengakui bahawa kita kerap tersenyum sinis apabila mereka mencadangkan kewujudan Karaoke Box atau Kbox di blok kolej kediaman. Namun tidakkah kita terfikir bahawa cadangan mereka itu mungkin dihasilkan atas toleransi kesedaran mereka yang sudah mula untuk menghormati agama.





MENCEMASKAN !!!!! 0 comments


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada awal ogos 2008 yang lalu, penulis berkesempatan untuk menghadiri jamuan penganugerahan watikah selaku ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang bertempat di sebuah restoren mewah yang bernama Atmosphere. Restoren berkenaan terletak di dalam sebuah bangunan slinder yang tersergam indah dan merupakan hak milik mutlak kerajaan negeri Sabah. Apa yang menarik perhatian saya ialah, restoren mewah ini bukan sahaja menghidangkan makanan eropah sebagai sajian utama tetapi turut menyediakan minuman keras sebagi menu harian.

Sekiranya dilihat secara sepintas lalu, rekaan dalaman restoren ini tidak ubah seperti sebuar bar mewah yang direka khusus buat golongan kelas atasan. Saya semakin tertarik apabila memikirkan bagaimanakah restoren mewah yang menghidangkan minuman keras ini boleh berada didalam sebuah bangunan kerajaan negeri yang bertanggungjawab mentadbir rakyat.
Tambah menyedihkan apabila bangunan tersebut juga merupakan pusat kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam memberi biasiswa kepada ribuan anak negerinya yang memerlukan bantuan halal dan suci.

Kadang-kadang akal ini terfikir juga mengenai humoriti yang wujud. Patutlah negeri Sabah ni pentadbirannya agak lintang pukang ,rupa-rupanya para pemimpinya selalu mabuk. Ibarat ketam mengajar anak berjalan lurus. Perkara ini amat sesuai untuk kita kaitkan dengan keadaan politik semasa yang berlaku di Sabah. Ada yang dilaporkan terlibat dengan rasuah berjuta-juta dan ada juga yang kalah judi berjuta-juta.


Apabila merenung permasalahan ini, beberapa persoalan telintas di pemikiran saya. Antaranya ialah, siapakah mungkin pelanggan restoren mewah berkenaan?, adakah restoren berkenaan di buka secara bebas sedangkan ia berada di dalam bangunan kerajaan?, Adakah arak menjadi pelaburan bangunan kerajaan tersebut?, dan jika arak menjadi pelaburan, apakah status biasiswa yang telah diberikan kepada ribuan anak negeri tersebut?. Persoalan-persoalan ini ingin saya kongsikan bersama agar jawapannya dapat kita fikirkan justeru menjadi pedoman dalam menilai kondisi Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Ini bukanlah persoalan kenegerian, tetapi seluruh masyarakat khususnya mahasiswa perlu melihat hal ini sebagai satu wabak yang telah menjangkiti peradaban negara kita. Mana bisa sepotong kek apollo yang sedap dapat dihasilkan jika tepung adunannya sudah rosak dan berulat. Maka kebejatan ini perlu kita robah dari peringkat asasi sehingga revolusi rakyat yang lebih bersih dapat kita hasilkan. Mahasiswa perlu agresifkan The Movement Of Revolusion


"Hidupkan Siswa, Bersihkan Rakyat.
Coretan fikrah:Asriabdullah

Ayuh Asuh Karisma 0 comments

Karisma biasanya hanya terlihat apabila seseorang individu tampil dikhalayak masyarakat. Individu tidak memiliki sebarang hak untuk melabel karisma pada diri sendiri tetapi yang layak menjadi juri hanyalah masyarakat. Oleh itu persediaan untuk tampil dihadapan khalayak perlulah diberi perhatian yang rapi dan terperinci.

Tetapi perlu diingat bahawa seseorang pemimpin perlu membina karisma atas dasar keikhlasan dan ketulusan. Sebarang sifat hipokrasi tidak mendatangkan sebarang faedah bahkan akan membebankan individu itu sendiri. Karisma yang dipamerkan melalui keikhlasan akan terus menjadi aset bagi seseorang pemimpin biarpun tidak lagi bergelar pemimpin.

Tips asas membina karisma :
(Cuplikan dari myAdha.Blogspot.com)

1. Lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan atau maklumat mengenai apa yang akan disampaikan.

2. Gunakan bahasa yang kemas dan tersusun.

3. Gaya bercakap yang dinamis dan sangat berkeyakinan.

4. Penampilan kemas,sopan dan menyenangkan.

5. Tonjolkan diri sebagai orang yang bertenaga, penuh semangat dan aktif.

6. Gaya berjalan, duduk dan berdiri juga harus diberi keutamaan.

7. Ikhlas dan tulus.

INTRO PRK 0 comments

Pertandingan Karisma.

Pilihan Raya Kampus 09 sudah semakin hampir. Kunjung tinjau memperlihatkan rata-rata kampus sudah mula mencatur sedikit sebanyak persediaan untuk bertempur. Banyak kampus sudah pun memulakan gerak kerja seawal yang mungkin dan tidak kurang juga yang belum memulakan lansung sebarang agenda persediaan. Apa jua sterategi samada bersedia atau tidak adalah tertakluk kepada mereka yang semestinya lebih memahami situasi kampus masing-masing.

Apa yang penting ialah, PRK merupakan satu gelanggang yang menjadikan karisma sebagai pengukur kemenangan. Sedikit perbezaan dengan PRU, PRK tidak memperlihatkan persaingan ketara antara Parti ataupun pakatan. Namun karisma yang dimiliki individu tertentu menjadi aset utama yang menghasilkan kemenangan. Berbeza daripada PRU yang memperlihatkan jiwa pengundi sudah melekat kukuh pada parti idaman ataupun parti keturunan. Maka faktor individu tidak lagi dilihat penting asalkan parti yang diminati terus menang dan menang. Oleh itu saya amat tertarik dengan kata-kata seorang sahabat yang mengatakan apabila jiwa pengundi sudah mencintai sesuatu parti, maka calon parti berkenaan pasti akan menang biarpun calon tersebut adalah batu ataupun tunggul kayu.

Karisma... Wacana ini merupakan istilah yang sering dipalu semasa proses kempen berjalan. Ramai calon yang berusaha mempamerkan karisma yang dimiliki secara peribadi ataupun melalui sahabat yang melobi. Namun apakah calon-calon berkenaan memberikan intepretasi karisma yang sebenar semasa berkempen ??? . Penulis optimis bahawa masih ramai calon yang bukan sahaja tidak memiliki aplikasi karisma yang baik, tetapi juga tidak memahami frasa karisma yang sebenar.

Definisi : Karisma

Menurut kamus Dewan edisi ke-tiga Karisma membawa maksud sifat-sifat tertentu seseorang individu yang menjadikannya berupaya mempengaruhi atau menjadi perangsang kepada khalayak ramai. Keadaan ini juga digelar sebagai heroism yang boleh menyebabkan seseorang tokoh itu diminati dan dipuja oleh pengikutnya.

Memetik ungkapan Tony Alesandra dalam bukunya yang bertajuk “Charisma : Seven keys to developing the magnetism”, beliau menyifatkan karisma sebagai kemampuan seorang pemimpin untuk menyampaikan visi dan misinya dengan jelas sehingga pengikutnya tidak merasa keliru dengan halatuju perjuangannya.

Sekadar Persepsi Kontra 0 comments

Apa Halatuju Sebenar?

Mula-mula tertubuhnya PMN (Parti Mahasiswa Negara), dan kini Gamis pula menjadi NGO. Tidakkah method sterategi ini seperti terlalu jelas untuk dibaca? Apakah halatuju Gamis juga adalah politik? Pemikiran luar kotak yang sentiasa dicanang seakan-akan menggambarkan sesuatu yang terlalu abstrak sehingga ahli sendiri tidak memahaminya.

Perkembangan terkini Gamis seakan-akan mencari publisiti dicelah kekalutan massa. Gamis perlu sedar bahawa fungsi Gamis sebagai front perjuangan mahasiswa masih banyak menimbulkan persoalan. Dalam melangkah ke jendela baru Gamis dilihat perlu memperkasa hebahan mengenai peranan Gamis sebagai wasilah kebangkitan mahasiswa.
Perlu dibezakan diantara keluar gelanggang dengan mencipta gelanggan agar perjuangan kita tidak disifatkan sebagai perjuangan SS (Syok sendiri)

Memetik bicara bekas aktivis mahasiswa:

"Bahkan hasil pemerhatian saya, gerakan mahasiswa kini terutamanya Gamis seperti telah kehilangan hala tuju perjuangan”. (Wan Nordin Wan Yaakob, Harakah daily 26 Jun 08)

“Jika matlamat Gamis untuk menghimpunkan kesemua Persatuan Mahasiswa Islam seluruh Institusi pengajian Tinggi, maka setelah menjadi NGO gerakan mereka ternyata akan berbeza daripada Gamis sebelum ini” (Zaharuddin Abdul Rahman, Harakah Daily 26 Jun 08)

Dari aspek halatuju, manifestasi yang jelas perlu dibuktikan. Rakyat secara umum tidak memiliki pengetahuan yang jelas mengenai objektif perjuangan Gamis. Berbanding Prowaris, Abim, Jim, dan GPMS,Gamis lebih gemar tampil dalam demonstrasi dan mempamerkan mentaliti kebebasan mahasiswa yang libral.

Apakah Arus Sebenar Persatuan Mahasiswa Islam?

Konsep Amar Makruf Nahi Mungkar menjadi dasar hala tuju perjuangan kampus setelah melihat suasana pengamalan budaya ilmu yang bobrok. Konsep ini juga menjadi pegangan mana-mana gerakan yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan (rujukan YAB Nik Aziz Nik Mat. TvPAS.com 26 Jun 08). Semangat berkobar Gamis ini dikhuatiri akan merintis jarak yang lebih jauh diantara Persatuan Mahasiswa Islam dengan Gamis itu sendiri. Ini bukan mengenai PMIUM mahupun mana-mana PMI yang lain. Dalam hal ini, wujud penggerak kampus yang belum cukup subur dengan kewajipan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar. Maka sudah pasti keutamaan di kampus berkenaan berada pada tahap penyemaian fahmu diperingkat asas. Maka akan wujudkah keharmonian diantara kampus yang sebegini rupa dengan method terkini perjuangan Gamis?.

Sememangnya kelemahan kampus tidak wajar menjadi sebab untuk mengendurkan momentum pergerakan Gamis yang semakin laju. Namun sebagai analoginya, semakin laju pecutan sesebuah kenderaan kebiasaannya akan menyebabkan banyak papan tanda tidak sempat dibaca. Dalam mengukur tahap persediaan ahli, janganlah PMIUM dijadikan sebagai tanda aras. Jika pada tahun 1970 aktivis UM sudah menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan, maka perlu ditanya pada kampus lain bilangan memorandum yang telah mereka siapkan. Ekoran hal ini setiap penggerak kampus perlu menilai kondisi masing-masing sebelum mengangkat bendera jihad secara melulu.

Masalah Ahli 0 comments

Mendepani kondisi ahli jemaah yang tidak menentu. Apa Yang Sepatutnya Kampus Lakukan?

Kampus perlu mengkaji pergerakan asas seperti:


Satu.(Tarbiyah)

Sebelum kita merevolusi Usul 20 ajaran Al Imam Hassan Al Banna, maka perlu diteliti samada ahli sudah memahaminya atau tidak. Jangan sampai kita melakukan reformasi terhadap suatu perkara yang tidak kita fahami. Kampus perlu bijak menyesuaikan keadaan agar tidak terpengaruh dengan desakan arus perdana. Penerapan asas perlu diperkasakan melalui sudut tarbiyah agar ahli benar-benar memahami pasak pendirian perjuangan jemaah. Isu ini memang lapuk dan sering dikesampingkan, namun tragedi kebocoran tanzim dan kelemahan sterategi memerlukan muhasabah dalam bidang yang lapuk ini. Halatuju tarbiyah perlu dimurnikan semula agar tidak bermatlamatkan mana-mana pihak tetapi hanya untuk Islam.

Memetik bicara Hujjatul Islam Imam Al Ghazali dalam kitab Penawar Hati. Beliau mengingatkan bahawa manusia sering tidak menyedari bahawa hati mereka sedang memburu dunia disebalik ibadah yang dilakukan. Maka tidak hairanlah jika dipersoalkan bahawa tarbiyah pada hari ini tidak sebisa dahulu yang mampu melahirkan mujahidin yang begitu tegar dalam perjuangan. Hati pejuang muda perlu diisi dengan kefahaman yang baik melalui tarbiyah yang jelas dan berhalatuju. Dalam erti kata yang mudah, ramai pejuang kampus yang bertakbir apabila dilaungkan kalimah perjuangan, namun berapa ramai yang boleh menjawab persoalan asas seperti konsep zuhud dan ikhlas???. Isu ini ditimbulkan bukan untuk mengongkong, tetapi sekadar menampung lompang rialiti yang ada.


Dua.(Pengisian Ilmu)

Setelah hati pejuang kampus disibukkan dengan kecintaan kepada Islam, maka tidak perlu dikhuatiri tahap kejituan jihad yang akan dilahirkan. Tidak perlu diarah kerana hati pejuang muda ini akan terarah dengan sendiri untuk membela agama yang semakin terhimpit. Maka diwaktu ini semangat yang lahir perlu diisi dengan tambahan ilmu agar setiap inci perjuangan sentiasa didasari pada kehujahan yang kukuh.

Merenung kata-kata khalifah Abu Bakar As Siddiq : “Barangsiapa yang Allah inginkan baginya kebaikan, maka Allah akan fakihkan ia dalam bidang agama”.
Hal ini jelas menceritakan bagaimana ilmu mengenai agama perlu dikuasai atau setidak-tidaknya dipelajari oleh setiap pendokong perjuangan Islam.

Amanah ini perlu terlebih dahulu dipikul oleh setiap pimpinan perjuangan di kampus agar anak didik jihad dapat menimba teladan dan pengajaran. Tidak kira bagaimana peritnya sumber yang ada, setiap pimpinan perlu merangkak untuk mempersiapkan diri dengan ilmu yang diperlukan dalam pasaran jihad. Setiap amalan yang dilakukan tanpa ilmu boleh dianggap sebagai debu yang bukan sekadar mencemar alam tetapi boleh mengakibatkan mata perjuangan menjadi kabur.


Tiga. (Praktikal)

Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Istilah ini timbul apabila wujud segelintir insan yang tidak tahu untuk mengiplementasi ilmu yang telah dipelajari. Menghayati demonstrasi melalui penceritaan adalah tidak sama bagi mereka yang pernah berada dalam situasi sebenar. Pengajarannya ialah, setiap ilmu yang diberi kepada anak didik jihad perlu diasuh secara praktikal. Sebagai contohnya ilmu mengenai perdebatan, pidato, ceramah, dan berkempen perlu didedahkan dengan cara yang lebih efektif. Latihan melalui bengkel-bengkel yang sudah biasa dilakukan kurang memberi kesan akibat suasana palsu yang dicipta.

Jika kita merenung kaedah pembelajaran seorang juruterbang, setelah menguasai teori secara simulasi maka mereka terpaksa menerbangkan pasawat ke langit dengan ditemani guru yang cukup berpengalaman. Mungkin kaedah ini perlu dicuplik dan diciplak bagi membolehkan setiap penggerak kampus mengetahui cara-cara untuk mengaplikasikan setiap bait ilmu yang telah dipelajari.

Wallahu’alam.

Coretan fikrah : Asriabdullah

FUTUR 0 comments

FUTUR : Lumrah Dalam Perjuangan

Introduksi

Futur atau lemah semangat merupakan satu kejadian lumrah yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang bergelar penggerak jihad. Apabila seseorang itu telah memakai lencana jihad maka ia perlu sedar bahawa ia telah mengubah keseluruhan kehidupannya. Penggerak jihad tidak boleh selalu mengidamkan kehidupan biasa yang penuh dengan tawa riang dan tidur berulit mimpi yang selesa. Keinginan ini akan mengakibatkan lunturnya semangat untuk berjuang kerana tidak mampu untuk menongkah perubahan sebagai seorang pejuang.

Kiasan Sejarah Futur

Semasa berlakunya perang Mu’tah pada tahun ke lapan Hijrah bersamaan Ogos 629 masihi, pasukan muslimin yang dibarisi 3000 orang tentera merasa gentar untuk berhadapan dengan bilangan tentera musyrikin yang terlalu besar iaitu seramai 200,000 orang. Peperangan ini dicatatkan sebagai peperangan terbesar yang pernah berlaku semasa hayat Rasulullah.

Tentera muslimin tidak pernah menjangkakan bahawa mereka akan berhadapan dengan musuh yang terlalu ramai. Analogi berhadapan dengan 200,000 orang musuh adalah ibarat seekor tikus yang menanti masa untuk dipijak sang unta. Keadaan ini menyebabkan lahir rasa takut dalam sebahagian tentera Islam di bawah pimpinan Zaid Bin Harithah. Oleh yang sedemikian, tentera Islam mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan langkah yang perlu dilakukan bagi mengatasi delema ketakutan yang membelengu mereka. Daripada mesyuarat tersebut maka lahirlah cetusan fikiran yang antara lain mencadangkan agar tentera Islam menulis surat kepada Rasulullah untuk memohon bantuan tentera ataupun sebarang perintah lain daripada Rasulullah. Ramai yang bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan jiwa-jiwa mereka semakin menggeletar mendengar derapan kaki musuh yang bagaikan gergasi berjalan.

Semasa tentera Islam diambang keghairahan untuk berundur, maka bangkit seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abdullah Bin Rawahah lalu mengungkapkan sebuah pidato yang cukup heroik dan membungkam hati tentera muslimin. Beliau berkata

“Wahai sahabat ku, apa yang tidak kalian cari dalam di rombongan ini sepatutnya merupakan sesuatu yang kita cari iaitu mati syahid. Kita tidak berperang dengan manusia kerana jumlah. Kita tidak berperang dengan manusia kerana kekuatan, dan kita tidak berperang dengan manusia kerana kelengkapan. Kita tidak akan memerangi mereka melainkan kerana agama Islam, dan kerana agama inilah Allah memuliakan kita. Maka wahai sahabat ku ayuhlah kita berangkat, kerana disana hanya ada salah satu daripada dua kebaikan yang menanti kita iaitu kemenangan ataupun syahid”.

Semangat yang luntur kembali membara apabila mendengar ungkapan hikmah seorang sahabat yang begitu menggegar. Lantas tentera Islam yang berbekalkan impian syahid terus mara menghadapi tentera musuh di medan jihad. Di dalam peperangan tersebut antara insan yang gugur syahid untuk menemui kekasihnya adalah Abdullah Bin Rawahah.

Manifestasi Daripada Sejarah

Daripada kisah diatas kita dapat membuat beberapa kesimpulan yang boleh dijadikan panduan untuk penggerak jihad pada hari ini. Dalam peperangan Mu’tah tersebut wujud dua kriteria utama yang menggambarkan intipati sifat tentera-tentera Islam. Sifat yang pertama ialah golongan yang mengharapkan bantuan tentera daripada Rasulullah kerana gerunkan bilangan tentera musuh. Manakala sifat yang kedua pula ialah golongan yang tidak wujud dalam falsafah hidup mereka untuk berundur dan memalingkan bucu pedang daripada pihak musuh.

Dua sifat diatas turut berlaku dalam era perjuangan moden ini. Golongan pemikir Islam menyifatkan ada dua istilah baru yang boleh kita gunakan bagi dua kriteria tersebut.

CAMPERS adalah istilah untuk golongan pertama yang pada mulanya bersemangat tinggi untuk melaksanakan jihad tetapi mula merasa lelah dengan tribulasi yang menduga perjuangan mereka. Golongan ini masih mampu mengambil risiko namun kebiasaannya risiko tersebut adalah yang sangat rendah. Sekiranya dibiarkan berlarutan, golongan ini mampu hanyut dan berpaling dari halatuju jihad akibat semangat perjuangan yang pudar.
Istilah ini diistinbatkan daripada kisah sebahagian tentera Islam dalam perang Mu’tah yang mengharapkan bantuan tentera tambahan daripada Rasulullah.

CLIMBERS. Inilah istilah yang sepatutnya tercatat dalam prinsip hidup setiap penggerak Jihad. Climbers merupakan golongan yang sentiasa memiliki motivasi yang tinggi untuk istiqamah dalam perjuangan Islam. Mehnah dan ujian dianggap sebagai gula dan garam yang menerbitkan lagi rasa enak dalam perjuangan mereka. Mereka tidak hanya mampu memotivasikan diri sendiri namun turut membakar semangat jihad sahabat seperjuangan. Abdullah Bin Rawahah merupakan individu yang secara lansung menceritakan identiti Climbers yang perlu dicontohi oleh setiap perindu syahid. Kekuatan tentera musuh yang ramai tidak dianggap halangan tetapi dijadikan jambatan yang memudahkan lagi untuk beliau bertemu Allah melalui jalan syahid.

Kesimpulan

Kelemahan dalam perjuangan akan tetap berlaku dan boleh menimpa sesiapa sahaja. Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan memurnikan niat dalam pejuangan dan menjadikan Al fahmu sebagai dasar utama. Perjuangan atas dasar semangat sukar untuk diramal kemandiriannya kerana elemen ini ibarat layang-layang yang bergantung pada sokongan angin. Namun gerakan jihad yang didasarkan kepada Al fahmu akan membibit iman yang tinggi dan sukar untuk digoyah kerana pasaknya yang begitu teguh. Oleh itu marilah bersama kita memantapkan tarbiyyah didalam jiwa bagi memperkasakan jihad dalam arena perjuangan.

11 September : Ulasan Ringkas Pertembungan Barat Dan Islam 0 comments

Ulasan Ringkas Pertembungan Barat Dan Islam
Pada Era Milinium.



Introduksi :

Dalam membicarakan perihal pertembungan barat dan Islam ini, kita perlu menyulusuri beberapa persoalan bagi mencari pokok pangkal masalah yang berlaku.

Antara soalan-soalan tersebut adalah seperti :

1. Siapakah sebenarnya yang bertembung ?
2. Siapakah yang memulakan pertembungan?

Setelah mendapat jawapan bagi persoalan diatas, barulah kita dapat merungkai mengapa pertembungan terus berlaku tanpa ada garis nokhtah yang menamatkan pertembungan ini.


Persoalan I. : Siapakah Yang Sebenarnya Bertembung? :


Pihak yang terlibat di dalam pertembungan ini sudah pastilah Islam. Namun pihak yang bertentangan dengan Islam ini terlalu sukar untuk kita rangkumkan kerana sterategi mereka yang begitu terancang. Adakah yang menentang Islam ini adalah golongan Yahudi Israel, atau Amerika Syarikat, atau Belanda, atau Denmark, atau Russia, atau Perancis, atau Australia atau Keseluruhan Masyarakat Barat?

Pokok pangkalnya Al Quran telah menceritakan bahawa Yahudilah yang tidak pernah senang dengan Islam. Yahudi telah berjaya menabur duri di sekitar tanah Barat sehinggakan Islam berjaya dijadikan makanan buruan. Kuasa Barat seperti Amerika Syarikat hanyalah menjadi boneka kebijaksanaan Yahudi sehinggakan masyarakat dunia tidak dapat melihat keterlibatan Yahudi di dalam pertembungan ini. Yahudi berjaya membakar semangat masyarakat kafir di barat sehingga mereka bersatu dalam menyusun sterategi bagi memerangi Islam secara bersepadu.

Apakah mesej daripada hakikat ini?

Pertembungan hari ini bukan lagi pertelingkahan ideologi ataupun kebudayaan antara Muslimin dan Barat, tetapi sudah terlalu jelas bahawa gabungan kufar dari Barat semakin menunjukkan keghairahan untuk meruntuhkan Islam secara keseluruhan. Mereka ingin melangsaikan dendam yang telah tercetus sejak berkurun yang lalu. Mereka sudah puluhan kali ditewaskan Islam dan kini mereka optimis untuk tidak tertewas lagi. Namun bagi umat Islam yang berpegang teguh dengan Al Quran, kita perlu yakin bahawa tidak semua masyarakat Barat turut serta dalam pertembungan ini. Oleh itu golongan zimmi perlu kita hormati selagi mana mereka tidak mempamerkan ciri-ciri ofensif yang nyata.




Persoalan II : Siapakah Yang Memulakan Pertembungan?:

Persoalan ini perlu diperjelaskan melalui beberapa konsep yeng berbeza bagi memudahkan pembaca menilai siapakah sebenarnya pencetus kepada pertembungan ini.

Konsep Pertama : Sejarah.

Kita sedia maklum bahawa Nabi Muhammad S.A.W mendapat tentangan hebat daripada Musyrikin Mekkah sewaktu baginda melancarkan pengislahan ditanah arab itu.
Namun kita juga sedia maklum bagaimana penerimaan harmoni masyarakat Madinah semasa menyambut kehadiran Baginda yang berhijrah keluar dari tanah kelahirannya. Di tanah Madinah inilah terhidangnya jawapan mudah mengenai pertembungan antara Yahudi dan Islam.

Walaupun lembaran sirah banyak menceritakan kebiadaban Yahudi pada tahun-tahun sebelumnya, namun penulis lebih gemar untuk menyemak coretan sejarah yang berlaku semasa kegemilangan Islam Madinah. Bagi mereka yang gemar untuk mengkaji sejarah, jawapan yang terbit dari bibir mereka sudah pasti meyakini bahawa kaum Yahudi merupakan pencetus sebenar kepada pertembungan yang berlaku. Semasa masyarakat Aus dan Khazraj hidup dalam keadaan aman, muncul kaum Yahudi yang cuba memporak perandakan keadaan dengan meniupkan bara ‘asobiyah yang sudah terpadam hasil daripada kedamaian Islam. Tindakan ini hampir menyebabkan berlakunya pergaduhan dan pembunuhan sesama saudara dalam masyarakat Madinah. Namun keadaan genting itu berjaya diperdamaikan semula oleh Rasulullah yang merupakan ketua negara Madinah pada waktu itu.

Pernah juga berlaku semasa umat Madinah hidup dalam keadaan aman dan damai, terjadi sebuah peristiwa yang menyebabkan seorang pemuda Islam terbunuh kerana mempertahankan maruah seorang muslimah. Muslimah tersebut telah dipaksa oleh segolongan pemuda Yahudi untuk membuka penutup mukanya. Akhirnya berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan kematian pemuda Islam berkenaan. Banyak lagi peristiwa yang boleh diungkap bagi menceritakan kebiadaban Yahudi terhadap umat Islam. Sifat berang golongan Yahudi terhadap Islam ini berpunca daripada kegagalan mereka menerima hakikat bahwa Rasul akhir zaman tidak diturunkan dari kalangan mereka. Dalam kitab kaum Yahudi sendiri mengakui bahawa akan ada Rasul akhir zaman yang akan menamatkan era kegelapan jahiliyah kepada cahaya keimanan. Mereka mengharapkan agar Rasul tesebut akan lahir dari keturunan mereka namun Allah telah mencaturkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bukanlah insan pilihan yang berketurunan Yahudi.

Konsep Kedua : Realiti Moden

Jika kita mengatakan Islam pencetus keganasan di zaman Moden, maka apakah wujud bukti yang jelas terhadap pertuduhan ini. Masyarakat Barat menjadikan keganasan yang dicetuskan muslimin sebagai dalil pandangan pesimis mereka terhadap Islam. Mereka menjadikan peristiwa 11 September sebagai pokok pangkal kebangkitan Barat dalam menghapuskan kekejaman Islam. Dari saat itu juga nama Osama Bin Laden telah digembar-gemburkan sebagai duta keganasan yang terus dilindungi oleh negara-negara Islam. Hasil daripada usaha bersepadu pihak Barat ini berjaya melahirkan kalimah dan istilah yang melabelkan Islam sebagai Ibu keganasan Dunia. Maka pihak Barat dengan mudah membuat kesimpulan bahawa pertembungan hari ini adalah berpunca daripada ketaksuban penganut Islam yang gemarkan keganasan

Setiap bait fitnah yang dilemparkan Barat ini sebenarnya sudah terjawab dengan tindakan mereka sendiri.

1.Jika mereka mengatakan Osama Bin Laden duta keganasan Islam dalam peristiwa 11 September, maka apakah mereka tidak menghitung jumlah nyawa yang terkorban semasa kerakusan mereka merobek tubuh Afghanistan? Apakah setimpal jumlah kematian 11 September berbanding lautan darah di bumi Afghan?

2. Jika mereka melihat tragedi pengeboman di Bali sebagai salah satu intipati kekejaman Islam, maka apakah mereka membutakan mata terhadap jutaan nyawa rakyat Iraq yang dihukum tanpa perbicaraan?. Berapa ramaikah anak-anak kecil Iraq yang telah mereka rampas ayahnya?, dan berapa ramaikah isteri-isteri di Iraq yang telah kehilangan suami akibat kezaliman tentera Amerika?.

3. Jika Barat kerap mengatakan Islam sebagai punca keganasan, kenapa mereka tidak menerjah kaum Yahudi di Palestin seperti mana yang mereka lakukan terhadap Islam?. Walhal seluruh Dunia mengakui kezaliman Zionis Yahudi yang cuba merampas bumi Al Aqsa daripada masyarakat Islam Palestin.

Barat tetap tegar untuk berlindung disebalik peristiwa 11 September yang masih samar kesahihannya. Peristiwa ini mereka jadikan sebagai alat pemati hujah umat Islam yang cuba bangkit bagi mendedahkan kebenaran yang sebenar. Oleh itu secara lansung kita dapat memahami bahawa peristiwa 11 september ini juga merupakan sebuah retorik ciptaan Barat yang ketandusan modal untuk menyerang Islam. Maka siapakah yang sebenarnya menjadi punca kepada pertembungan antara Barat dan Islam di zaman Moden ini?.
Tepuk Dada Tanyakan Iman

Penutup : Pengislahan Semula Jiwa Umat Islam

Islam tidak pernah menganjurkan keganasan dalam perlaksanaannya sebagai sebuah sistem kehidupan. Apa yang mungkin berlaku pada dewasa ini adalah gambaran negatif yang dipamerkan oleh segelintir masyarakat Islam yang mungkin kurang memahami hakikat kerahmatan yang terkandung di dalam Islam itu sendiri. Namun umat Islam perlu sedar bahawa musuh-musuh Islam sentiasa mengintai ruang dan peluang bagi merebahkan Islam sehingga lumpuh dan tidak mampu untuk bangkit semula.

Islam merupakan agama rahmat yang mengimplementasikan mahabbah dan kecintaan sesama makhluk. Islam tidak hanya memerintahkan manusia untuk menghormati sesama manusia, tetapi turut mengarahkan umatnya agar mengasihi makhluk yang lain samada haiwan mahupun tumbuhan. Istilah peperangan dalam Islam hanya wujud apabila berlaku pencabulan hak seperti mana yang telah digariskan dalam Al Quran dan As Sunnah.

Dalam surah Al Baqarah ayat 190 – 195, Allah telah mensyariatkan etika peperangan yang perlu dipatuhi oleh setiap umat Islam.

“Dan Perangilah (kerana menegakkan dan mempertahankan) Agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”

Melalui ayat diatas para Syeikhul Islam telah menetapkan bahawa terhadap
dua sebab utama yang membolehkan umat Islam untuk berperang.

I. Menentang serangan musuh bagi mengelak berlakunya fitnah sehingga Agama hanya menjadi milik Allah
II. Membela orang-orang Islam yang lemah dan dizalimi oleh golongan kufar

Umat Islam hanya dibenarkan berperang untuk sebab diatas. Allah menyeru dengan keras agar umat Islam tidak memulakan perperangan. Apabila tercetusnya perperangan, maka terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh mujahidin Islam untuk membolehkan perperangan tersebut mendapat keredhaan Allah. Syarat-syarat tersebut adalah seperti :

1. Tidak boleh mengkhianati perjanjian
2. Dilarang menggunakan senjata secara membabi buta
3. Mesti memberi layanan baik kepada tawanan perang
4. Tidak boleh bertindak untuk membalas dendam
5. Dilarang membunuh orang cacat, orang tua, wanita, biarawan, paderi serta orang gila.
6. Tidak boleh menyerang dari belakang
7. Tidak boleh memenggal atau menyiksa mayat musuh
8. Tidak boleh membunuh orang awam dan dilarang memperkosa wanita
9. Tidak boleh membakar ladang dan membunuh petani dan pedagang.
10. Menepati perjanjian damai diantara pihak musuh.
Daripada syarat-syarat diatas jelas memperlihatkan kepada kita bagaimana kasih sayang Islam yang tidak menggemari peperangan. Maka segala pertikaian mengenai Islam yang wujud sejak mutakhir ini merupakan provokasi moden para musuh yang tidak pernah senang dengan Islam. Menjadi tanggungjawab kita sebagai mujahidin muda untuk bingkas bangkit dalam landasan jihad bagi memurnikan semula persepsi masyarakat terhadap Islam. Golongan pemuda perlu sentiasa subur dengan ilmu pengetahuan agar segala khilaf kefahaman mengenai Islam dapat kita atasi secara hikmah dan berkesan.

Pertembungan antara kufar dan Islam ini bukanlah perkara baru dan tragedi ini akan terus berlaku selagi mana umat Islam tidak kembali kepada sunnah sebenar. Barat akan terus selesa dengan cara mereka apabila menyaksikan hanya Ahmadi Neejat Dan Hassan Nasrullah yang begitu tegar menentang kekejaman mereka. Umat Islam secara keseluruhannya perlu kembali berpadu dibawah khalifah yang satu untuk memastikan kegemilangan suatu masa dahulu dapat digapai semula.

Wallahu’alam.


Coretan fikrah - Asriabdullah.Blogspot.com.



Sumber rujukan :

1. Hj Abdul Hadi Awang – Fikrah, Harakah, Dan Daulah
2. Fathi Yakan – Api Kebangkitan Islam & Cabaran Abad ke 21
3. Muhammad sa’id Ramadhan Al Buti – Fiqh Al Sirah jilid 2
4. Riduan Mohamad Nor – Penghinaan Terhadap Rasulullah S.A.W
5. Kolej Alam Syah Islamiah – Ayat-ayat Ahkam
6. Kolej Alam Syah Islamiah – Hadis-hadis Ahkam.

Ramadhan 0 comments

Ramadhan, bulan untuk umat manusia. Sambutannya perlu diadakan dengan meriah secara zahir mahupun batin. Tak salah kalau saya mengajak sekalian yang ada untuk kita berpesta sepanjang bulan ramadhan. Bukan pesta Avril Lavigne, tetapi pesta Taubat dengan Ibadat.
(Tingkat 'Amal, Perkasakan Jihad)

Hal Politik Malaysia : Gimik Dan Polimik 0 comments

16 September semakin menggamit kerisauan kerajaan disamping bakal disambut penuh girang oleh pakatan pembangkang. Apa yang menarik ialah UMNO dibelengu dilema tersendiri dan Pakatan Rakyat juga dibelengu dilema yang tersendiri.

Beberapa persoalan masih sukar untuk dirungkai. Ayuh kita telusuri satu persatu.

1. Apakah 16 September perancangan PR atau Anwar ???
2. Rialitikah Impian Malaysia baru atau sekadar polimik Anwar ???
3. Apa pendirian PAS dalam halatuju 16 September ???


1. Apakah 16 September perancangan PR atau Anwar ???

Berapa ramai yang melompat, siapa yang akan melompat, dari mana yang akan melompat.. Semua persoalan ini hanya mampu dijawab oleh Anwar and the geng. Petunjuk yang sering diberikan oleh Anwar hanyalah ungkapan 16 September dan Malaysia Baru. Maka teka teki ini seakan-akan mengheret pihak tertentu menjadi pak turut terhadap percaturan Anwar Ibrahim. Walhal Anwar Ibrahim saban kali melakukan kejutan luar jangka dan luar norma.


2. Rialitikah Impian Malaysia baru atau sekadar polimik Anwar ???

Rialiti atau tidak hanya jawapan tunggu dan lihat mampu diberikan. Namun bagi penulis impian ini tetap sukar direalisasikan selagi mana kerajaan masih memegang kuasa. Apa sahaja boleh berlaku sebelum tarikh 16 September yang akan tiba. Namun sedikit elemen pembuka harapan adalah kedangkalan pemikiran kerajaan yang ada mungkin menjadi mangkin terhadap kejayaan Malaysia Baru 16 September. Andai kata kerajaan pada hari masih dipimpin oleh Tun Mahathir maka penulis pasti Pakatan Rakyat memerlukan steretegi yang lebih berkesan.

Seharusnya Pakatan Rakyat memberi penumpuan terhadap pemerkasaan jiwa rakyat berlandaskan kemerdekaan hakiki. Spirit kemerdekaan yang dimiliki oleh rakyat negara jiran perlu dicontohi jika Pakatan Rakyat mahu 16 Sepetember dicatat sebagai kemerdekaan yang lebih bermakna. Perlu diingat bahawa elemen rakyat lebih berkesan berbanding elemen lompat yang mempamerkan kelemahan digniti dan kredibiliti.


3. Apa pendirian PAS dalam halatuju 16 September ???

Parti yang satu ini hanya membibitkan jawapan yang sama apabila ditanya mengenai pendirian mereka terhadap halatuju Anwar Ibrahim. Sedikit mengelirukan apabila terdapat pemimpin parti ini yang enggan mengulas lanjut isu ini walhal dalam masa yang sama Harakah menjadi agen penting dalam mempromosikan agenda 16 September.

Sedikit pengubat apabila pimpinan PAS mengeluarkan lafaz taklik yang menggambarkan pandangan keseluruhan mereka bukan sahaja terhadap Anwar tetapi juga Pakatan Rakyat.
PAS perlu ingat bahawa UMNO pernah dikatakan tidak bermaruah apabila menjatuhkan kerajaan PAS dengan kaedah sama yang bakal digunakan oleh Pakatan rakyat terhadap UMNO.
Lantaran itu penulis merasakan PAS akan berhadapan dengan krisis kedua selepas isu muzakarah PAS-UMNO kelihatan agak lega.


Namum secara kesimpulannya, sebagai rakyat kita memerlukan plan peribadi sebagai pencatur halatuju politik negara. Sememangnya cara Anwar Ibrahim kelihatan seperti merempuh pintu belakang parlimen dan akan merobah segala dan sesuatu dengan cara yang kurang bermaruah. Namun rakyat tidak memiliki pilihan lain bagi merobah kerosakan yang sekian lama meracun Malaysia. Apa yang diharapkan ialah rempuhan pintu belakang Anwar Ibrahim akan mampu membuka pintu hadapan yang lebih luas demi masa hadapan negara yang lebih cerah.

Bagi penulis, plan pertama untuk rakyat adalah untuk berdiri teguh bersama pakatan rakyat ke arah pembentukan Malaysia Baru. Sekiranya perancangan ini gagal, maka rakyat perlu beralih kepada plan kedua iaitu dengan memupuk kekuatan berasaskan kesedaran untuk bangkit menolak kezaliman dan kebobrokan kerajaan yang sedia ada. Jika perancangan ini juga kelihatan buntu, maka rakyat perlu menyemai keazaman bahawa segalanya kan berubah menjelang pilihan raya yang akan datang.

Wallahu'alam.

Assalamualaikum 0 comments

Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH yang memberi qudrat kepada saya untuk menyiapkan blog yang tidak seberapa ini. Mudah-mudahan kehadiran blog ini akan memberi tambahan seri kepada ilmu alam maya yang semakin pesat berkembang. Moga Allah sentiasa memberi rahmat dan maghfirah berwasilahkan Wacana Ilmiah ini.