Seketika bersama Dato Sri.. 0 comments

Ucapannya bermula agak perlahan. Penulis menganggap beliau agak tertekan apabila diikat dengan syarat yang lebih memfokuskan pengucapan berbentuk akademik. Lalu pidato beliau kerap kali mengulang seruan agar mahasiswa memperbanyakkan bacaan buku. Sekali kala beliau selitkan juga dengan unsur humor sinis yang menghentam pihak tertentu sambil disambut oleh sorakan mahasiswa yang tidak dapat dipastikan samada mereka memahami apa yang disorak.

Ucapan beliau tampak terlalu kosong sehingga beliau sendiri menutup awal sesi berpidato yang kemudiannya digantikan dengan sesi soal jawab dengan alasan beliau lebih gemar berdialog dengan mahasiswa sebagai peneraju masa depan negara. Maka bermulalah sesi berperasaan antara Dato Seri dan mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Satu persatu bangkit tanjak intelegensia mahasiswa mengajukan soalan demi soalan dan dijawab secara umum oleh Dato Seri.

Melalui cara Dato Seri membentangkan jawapan terhadap segelintir persoalan yang dilontarkan, penulis merasakan ada tona kebosanan dari nada beliau seakan-akan meluat dengan persoalan yang diajukan. Namun ada beberapa soalan yang berjaya menarik minat beliau apabila menyentuh aspek halatuju perjuangan beliau, dan persoalan mengenai kelesuan mahasiswa kini yang tidak seghairah dulu.

Secara peribadi, penulis merasakan ucapan Dato seri kali ini tidak menyengat seperti biasa mungkin disebabkan beberapa faktor :

1. Pihak pentadbiran mungkin mengenakan syarat yang sedikit sebanyak mengganggu fokus beliau
2. Keletihan akibat aktiviti yang berpanjangan dan berterusan
3. Khuatir kemampuan minda warga KUIS untuk menerima ucapannya
4. Wujud minda berlapis yang menyebabkan beliau berwaspada dengan segala ucapan yang dilontarkan.

Jangan menyalak macam...... 0 comments

Kepala masih pening, demam belum kebah. tapi selepas menelaah karya karya rakyat malaysia, khususnya mahasiswa yang semakin mandul fikirannya, jiwa menjadi geram. Natijahnya, tangan terpaksa menulis.

Apa beza binatang dan manusia??? kalau dinilai dari segi kemampuan menyalak, manusia tidak kurang hebatnya. bahkan salakan manusia siap diringi dengan hina menghina, kutuk mengutuk sedangkan salakan binatang hanya sekadar mempertahankan diri, dan memberi amaran bahaya kepada tuannya.

Dipendekkan cerita, binatang selepas menyalak tidak tampil dengan plan tindakan berkala. binatang hanya tahu menyalak tanpa berfikir. Hal ini sudah menjadi takdir azali kepada makhluk yang bergelar binatang. Oleh itu ini merupakan perkara besar yang perlu diinsafi untuk membezakan antara binatang dan manusia. Kalau manusia turut gemar menyalak tanpa ada tindakan susulan yang menunjukkan pemikiran yang matang, maka manusia itu memalukan darjatnya.

Pandangan ini tidaklah pesimis terhadap golongan penyalak tegar, kerana salakan itu perlu demi mengejutkan golongan yang terlena. namun selepas menyalak, perlu ada kronologi tindakan yang berkesinambungan agar yang terjaga tidak terlena semula.

kalau perkataan salak tidak sesuai, boleh tukar kepada perkataan yang lebih sesuai mengikut pandangan masing-masing. sejuta kemaafan dipohon

PANDANGAN SUKA SUKA 0 comments

TENTANG KERAJAAN PERPADUAN

1. PAS sedang memiliki masalah diperingkat tunas yang perlu diperkemaskan sebelum membentuk kerajaan perpaduan. PAS perlu meletakkan jangkaan waspada terhadap sebarang kemungkinan khianat daripada pihak UMNO. Mungkin PAS tidak akan dikhianati sekarang, namun 10 tahun akan datang sewaktu generasi PAS yang mandul memimpin, maka PAS akan terguling.

2. Hubungan yang masih samar dalam pakatan rakyat perlu diperjelaskan secara rasmi. Antara Anwar dan Najib, lebih utama untuk bersama Anwar walaupun kondisi beliau yang sentiasa diliwat dan meliwati. Nafas politik Najib hampir bertemu dengan ayahandanya. Nama Najib Bin Tun Razak perlu ditukar kepada Najib bukan Tun Razak. Begitu juga dengan Lim Kit Siang yang menjadi figure utama dalam pakatan rakyat. Penggabungan dengan UMNO akan menyebabkan PAS kehilangan rakyat. Mungkin yang tinggal hanyalah rakyat kelantan, kedah, segelintir hardcore Islam di merata pelusuk negara dan kelab penyokong PAS kelantan. Maklumlah, bila Anwar mengaum, Tuan Guru pun terkejut.

3. Jika UMNO inginkan perubahan tidak perlu penggabungan dengan PAS, semenjak dahulu lagi UMNO telahpun memahami tuntutan dan keinginan PAS. Buktikan dahulu langkah UMNO untuk berubah. Jika UMNO kebuntuan, PAS akan menghulurkan bantuan. Walaupun tidak berpadu, PAS tetap membantu.

Jadikan Ummah Sebagai Cermin Dakwah 0 comments

Tugas kita adalah mengislahkan semula kehidupan umat yang semakin tersasar jauh daripada syariat yang sebenar. Mereka hidup selesa dalam keadaan biasa tanpa mereka sedari bahawa yang biasa itu adalah bukan hakikat yang benar. Maka mereka tidak menemui alasan mengapa perlu adanya perubahan. Namun ada juga umat diluar sana yang menyedari bahawa perubahan merupakan suatu yang amat kritikal memandangkan kebejatan norma yang semakin memuncak. Namun terlalu banyak penghadang yang menyebabkan semangat reformasi tersebut sekadar ditelan sebagai perkara sarwa yang kurang bermakna. Wujud juga golongan yang anti perubahan kerana perubahan hanya akan membawa ancaman kepada mereka. Mereka pencatur kebejatan dan mereka juga yang memelihara kehancuran.

Tiga golongan di atas sentiasa berlegar di sekitar kita. Ada yang mendabik dada menjulang kemungkaran, ada juga yang tertunduk mengangguk akur pada kefasikan dan ada juga yang berdiam serta membisu akibat kejahilan. Mungkinkah kita terselit dicelah-celah golongan ini ???. Jika tidak, di mana agaknya kedudukan kita???. Tepuk kepala tanya minda, tepuk dada tanya jiwa.

Maka sunatullah menjadikan Da'ie sebagai pengubat bagi segala kerosakan yang berlaku. Seantero lipatan sejarah telah menceritakan betapa kerap Allah mengutuskan para Da'ie untuk memulihkan keadaan umat yang semakin parah. Bezanya di zaman kita tidak ada perlantikan rasmi dari Allah untuk mengiktiraf seorang Da'ie menjadi Nabi ataupun Rasul. Maka tidak perlu ditunggu lagi datangnya Nabi ataupun Rasul untuk mengubat umat di zaman ini. Memadailah dengan kita sebagai insan yang diberi anugerah untuk memahami konsep 'Izzatul Islam yang perlu dijaga dan diperjuangkan.

Perkara ini menjadi asas kepada gerakan kita setelah tersedar dari bayangan duniawi. Maka bergeraklah di atas landasan ini. Paculah apa juga tindakan asalkan perkara asas ini tidak dikesampingkan. Lakukanlah apa juga reformasi mahupun transformasi asalkan pasak perjuangan ini tidak diabaikan.

Jadikan Umat Sebagai Cermin Gerakan Kita. Lihatlah kesan dakwah pada ummah dan bermuhasabah untuk menilai natijah. Jika Dibenci bukan bermakna tidak berjaya. Jika diterima jadikan mangkin untuk terus berusaha.

Indahnya kalau mereka mengerti 0 comments

Meniti hari di celah ruangan yang subur dengan amal islami sememangnya suatu yang amat diingini oleh semua mujahid dakwah. Suasana Bi'ah Islamiah yang dihiasi amal soleh sudah pasti melentur jiwa-jiwa yang gersang untuk terus menikmati kerahmatan dan kasih sayang Tuhan. Perkara ini menjadi idaman setiap mujahid dakwah yang tidak pernah jemu untuk melaungkan kalimah Dakwah dan Islah.

Fikiran sedikit berkecamuk apabila memikirkan mengenai dua benua yang terlalu berbeza keadaannya. Ada benua yang gersang dan tandus dan ada pula benua yang subur dengan pelbagai semaian Iman dan Islam. Sedih apabila mengingatkan tegarnya pejuang kalimah Allah di tanah gersang yang cukup tandus akibat kekontangan Iman. Mereka membawa panji Tauhid dalam keadaan dhaif namun tidak pernah merasa lelah apatah lagi mengalah. Biarpun merangkak gerakan mereka tetap bergerak sehingga Allah mempamerkan semaian dakwah yang sudah mula bertunas. Sudah namanya mujahid dakwah, tunas kecil itu tidak pernah diabaikan bahkan menjadi pendorong semangat untuk terus memperkasa usaha amal dan jihad.

Namun berbeza pula di benua yang subur ini. Seperti ada yang tempang dicelah tanaman yang hidup subur dan segar. Tanaman yang subur itu seperti tidak dipelihara dengan baik sehingga kelihatan seperti semak yang menyakitkan mata memandang. Mungkin mereka terleka menikmati manfaat kebun tersebut sehingga terlupa untuk mencantas lalang yang tumbuh. Buah-buahan yang terlalu banyak gugur ke tanah sehingga menjadi busuk dan berulat. Daun-daun kering bertaburan di merata tempat sehingga sukar dikesan serangga berbisa yang mungkin bersembunyi dan berselindung. Amat dikhuatiri andainya bau busuk buah yang gugur akan menganggu pekebun-pekebun lain sehingga mereka melemparkan pelbagai tohmahan dan cercaan kepada kebun yang semakin semak ini. Mungkin pada waktu itu sudah agak terlewat untuk kebun ini dibersihkan semula kerana dikhuatiri binatang berbisa akan mencederakan pekebunnya.

Oleh itu mujahid dakwah, janganlah kita memandang remeh terhadap jejak langkah perjuangan ini. Biarpun jalannya nampak selesa, namun tidak salah untuk kita menyangka bahawa jalan itu dipenuhi duri. Janganlah kita gemar untuk mencari keselesaan yang hanya akan menjarakkan peluang untuk kita merasa keperitan perjuangan Rasulullah. Hal ini tidak memberi makna bahawa kita perlu mencari kepayahan dan keperitan dalam perjuangan. Namun jika perkara itu perlu sebagai mangkin perjuangan, maka apakah salah jika kita menciptanya????

Namun percayalah bahawa tekanan dan kepayahan pasti hadir jika perjuangan ini benar-benar tulus dan suci.

Ulama' Dan Profesional Ulama 0 comments

Istilah Ulama Profesional merupakan satu wacana yang perlu sentiasa dihangatkan perbincangan mengenainya. Kalimah Profesional Ulama perlu ditukar kepada Ulama Profesional kerana budaya mengulama'kan golongan profesional hanya akan menjadi bencana besar untuk umat Islam. Kelahiran ulama' mi celup atau mi segera ini perlu diselia sebaik mungkin agar tidak mendatangkan komplikasi kepada gerakan Islam sedia ada.

Frasa Ulama hanya boleh diberikan kepada ahlinya. Siapakah ahlinya?? sudah tentu mereka yang fakih di dalam bidang agama. Siapakah golongan yang fakih dalam bidang agama? sudah tentu mereka yang mendalaminya, memahami usulnya, memahami tasawurnya, memahami hukum hakamnya, menguasai bahasa Al Quran, serta mampu menyampaikan dan mengamalkan keseluruhan isi Al Quran Sunnah yang dipelajarinya.

Kenapa Isu Ini Dibangkitkan???

Tidak salah untuk golongan profesional dilabelkan sebagai ulama', namun darjat itu mestilah bersesuaian dengan falsafah ilmu yang dimilikinya. Kita perlu ingat bahawa sarjana Islam di zaman silam banyak terdiri daripada individu profesional dalam bidang tertentu. Namun kefakihan mereka dalam bidang agama sememangnya tidak dapat dinafikan sehingga mereka mampu menjadi titik rujukan ummah.

Penulis merasa khuatir apabila frasa Ulama begitu mudah diberikan hanya kerana seseorang itu mampu berceramah sambil memetik ayat Al Quran dan hadith lalu didengar oleh ratusan manusia dihadapannya. Hanya kerana sesorang itu bergraduasi pengajian Islam, bahasa Arab, Syariah, Usulluddin dan sebagainya, individu tersebut terus diberi gelaran ulama tanpa menilai puluhan aspek-aspek yang lain. Apa yang lebih merisaukan ialah apabila golongan profesional seperti Jurutera, Doktor, Arkitek, Wartawan, dan sebagainya begitu mudah dilabelkan sebagai ulama hanya kerana sering bersolat jemaah subuh, mampu berceramah sambil berdalil, dan berkopiah haji.

Apakah Pandangan Ini Terlalu Pesimis Terhadap Kewujudan Profesional Ulama??

Tidak, pandangan ini tidak bermaksud untuk merendahkan mana-mana pihak. Apa yang termaktub ini sekadar inesiatif dalam memastikan kalimah Ulama itu terus terpelihara dari dijadikan begitu murah oleh golongan tertentu. Sebenarnya adalah tidak mustahil untuk menyaksikan kelahiran profesional ulama dalam kalangan umat pada hari ini. Namun biarlah gelaran itu kena pada tempatnya.

"sesiapa yang Allah inginkan baginya kebaikan, maka Allah fakihkan ia dalam bidang Agama"Hadith Riwayat Abu Daud

secara rumusannya, pejuang muda di luar sana perlu sedar diri dengan status masing-masing. Jika kita tidak mahir dalam sesuatu bidang, maka serahkanlah pada yang ahli. Apatah lagi dalam bidang agama yang begitu kompleks, dengan sekadar ilmu agama celup yang kita miliki, maka janganlah kita begitu lantang dalam menghukum dan berhujah. Amat menyedihkan apabila banyak dari kalangan ustaz celup yang bukan sahaja berani mempertikaikan, bahkan mengingkari suruhan Ulama.

Kita sememangnya menyedari betapa gerakan Islah pada hari memerlukan pelapis Ilmuan yang ingin kita gelarkan sebagai ulama'. Namun ketandusan ini tidak memberi makna kita perlu gopoh dalam mencari dan membina hasrat tersebut. Peruntukkanlah masa untuk mendalami ilmu Agama secara bersungguh-sungguh kerana ruang dan peluangnya sudah terlalu banyak.